SN271 – SEJARAH EMAS UMAT ISLAM DI BAWAH NAUNGAN KHILAFAH

SN Keluaran 5 Ogos 2011
 
  alt

SEJARAH EMAS UMAT ISLAM DI BAWAH NAUNGAN KHILAFAH
 

 
[SN271] Sejarah perjuangan dan kegemilangan umat Islam dalam pentas peradaban dunia berlangsung sangat lama iaitu sekitar 13 abad, yang bermula sejak zaman kepemimpinan Rasulullah SAW di Madinah (622-632M), sehinggalah tumbangnya Kekhilafahan Turki Uthmani pada tanggal 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924). Kejayaan Muhammad SAW dalam membangun peradaban Islam yang tiada taranya dalam sejarah dicapai dalam jangka waktu 23 tahun di mana 13 tahun darinya merupakan langkah persiapan ketika zaman Makkah (Makkiyyah) dan 10 tahun terakhir ketika di zaman Madinah (Madaniyah). 23 tahun ini merupakan rentang waktu yang kurang dari satu generasi, dimana bagindaSAW telah berhasil memegang kekuasaan atas bangsa-bangsa yang jauh lebih tua peradabannya saat itu khususnya Rom dan Parsi. Hal ini sudah tidak dapat diperdebatkan lagi baik di kalangan kaum Muslimin mahupun non-Muslim.
Begitu juga kejayaan Islam di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin yang sudah terpateri kukuh dalam lipatan emas sejarah keagungan Islam sehingga ke hari ini. Di abad Rasulullah SAW dan Khulafa’ ar-Rasyidin inilah agama Allah telah diterapkan dengan sempurna dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, yang membenarkan Firman Allah, “Pada hari ini telah Akusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Akuredhai Islam itu sebagai agama kamu” [TMQ al-Ma’idah (5):3].Generasi di masa itu merupakan generasi terbaik sebagaimana dikehendaki oleh Allah SWT, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munka, dan beriman kepada Allah” [TMQAli Imran (3):110].

Kegemilangan Islam ini diteruskan lagi di era kekhilafahan selepas Khulafa’ ar-Rasyidin dan hal ini turut terbungkus indah dalam sejarah Islam. Namun malangnya, banyak dari bungkusan emas sejarah Islam ini telah dicemari oleh tangan-tangan kotor dari Barat yang hasad dan dengki melihat keagungan kandungannya. Mereka berusaha merubah dan mencemari kandungannya dengan lumpur dan najis dan setelah itu bungkusan inilalu dipersembahkan oleh Barat kepada umat Islam. Sebahagian umat Islam menerimanya dengan pasrah, tanpa dapat lagi melihat kilauankeindahannya dan tanpa mahu membersihkan kekotorannya. Maka, terpalitlah umat Islam dengan kekotoran yang sama. Sautun Nahdhah kali ini Insya Allahcuba membersihkan sedikit debu yang meliputi bungkusan emas ini agar ternampak sedikit sinar keindahannya oleh mereka yang mempunyai penglihatan.

Zaman Khilafah Umayyah (661-750M)

Zaman kekhilafahan Umayyah berlangsung selama lebih kurang 90 tahun. Beberapa orang Khalifah terkenal Bani Umayyah antaranya adalah Muawiyah bin Abi Sufyan (661-680M), Abdul Malik bin Marwan (685-705M), Al-Walid bin Abdul Malik (705-715M), Umar bin Abdul Aziz (717-720M) dan Hasyim bin Abdul Malik (724-743M). Awal Daulah Umayyah lebih difokuskan kepada peluasan wilayah kekuasaan. Pengembangan wilayah yang terhenti sejenak pada masa Khalifah Utsman dan Ali dilanjutkan kembali oleh Daulah Umayyah. Pada zaman Muawiyah, Tunisia ditakluki. Di sebelah Timur, Muawiyah berjaya menguasai daerah Khurasan sehinggalah ke sungai Oxus dan Afghanistan sampai ke Kabul. Angkatan lautnya melakukan serangan ke ibukota Bizantium, Konstantinopel. Pengembangan wilayah ke Timur yang dilakukan Muawiyah kemudian diteruskan oleh Khalifah Abdul Malik. Sang Khalifah mengirim tentera menyeberangi sungai Oxus dan berhasil menundukkan Bukhara, Khawarizm, Ferghana dan Samarkand. Tenteranya malah sampai ke India dan dapat menguasai Balukhistan, Sind dan daerah Punjab sampai ke Maltan.

Futuhat (pembukaan) ke Barat secara besar-besaran dilanjutkan pada zaman Al-Walid bin Abdul Malik. Pada masa pemerintahannya yang berjalan lebih kurang sepuluh tahun, tercatat (pada tahun 711M)satu ekspedisi militer dari Afrika Utara menuju wilayah Barat Daya, Benua Eropah. Setelah Al-Jazair dan Maghribi dapat ditundukkan, Tariq bin Ziyad, seorang panglima Islam, dengan pasukannya, menyeberangi selat yang memisahkan Maghribi dengan Benua Eropah dan berjaya mendarat di suatu tempat yang sekarang dikenal dengan nama Gibraltar (Jabal Tariq). TenteraSepanyol dapat dikalahkan. Dengan demikian, wilayah Sepanyol menjadi sasaran futuhat selanjutnya. Ibukota Sepanyol, Cordova, dengan cepatnya dapat dikuasai. Menyusul setelah itu kota-kota lain seperti Seville, Elvira dan Toledo yang akhirnya dijadikan ibukota Sepanyol yang baru setelah jatuhnya Cordova. Pasukan Islam memperoleh kemenangan dengan mudah kerana mendapat dukungan dari rakyat tempatan yang sejak lama menderita akibat kekejaman penguasanya.

Pada zaman Umar bin Abdul Aziz, serangan dilakukan ke Perancis melalui pegunungan Pyranees. Serangan ini dipimpin oleh Aburrahman bin Abdullah Al-Ghafiqi yangmenyerang Bordeaux dan Poitiers. Dari sana beliaucuba menyerang Tours. Namun, dalam peperangan yang terjadi di luar kota Tours, Al-Ghafiqi terbunuh dan tenteranya mundur kembali ke Sepanyol. Disamping daerah-daerah tersebut, pulau-pulau yang terdapat di Laut Mediterranean juga jatuh ke tangan Islam pada zaman Bani Umayyah.

Dengan keberhasilan futuhat ke beberapa wilayah, baik di Timur mahupun Barat, wilayah kekuasaan Islam di zaman Bani Umayyah ini semakin meluas. Wilayah-wilayahnya meliputi Sepanyol, Afrika Utara, Syria, Palestin, Jazirah Arab, Irak, sebahagian Asia Kecil, Parsi dan Afghanistan, termasuk wilayah yang sekarang dikenali sebagai Pakistan, Uzbekserta Kyrgyz di Asia Tengah.Disamping futuhat, Bani Umayyah juga banyak berjasa dalam pengembangan bahasa Arab sehingga menjadi bahasa pengantar dunia (lingua franca), sekaligus menjadi bahasa diplomatik antarabangsa diantara Barat dan Timur bahkan berkembang menjadi bahasa pertuturansehinggalah ke zaman renaissance. Kemajuan tradisi intelektual dan ilmu pengetahuan pada zaman Daulah Umayyah di Andalusia dirasakan oleh masyarakat Eropah.

Dalam bidangekonomi, Islam telah menguasai dunia perdagangan sejak permulaan Daulah Umayyah (661-750M) lagi dimana pesisiran lautan Hindi sampai ke Lembah Sind, terjalin kesatuan wilayah yang luas dari Timur ke Barat yang membentuk laluan dagang yang lancar di dataran antara China dengan dunia Barat yang dikenali sebagai Jalan Sutera (silk road) yang terkenal. Kemudian, terbuka pula jalur perdagangan melalui Teluk Parsi dan Teluk Eden yang menghubungkannya dengan kota-kota dagang di sepanjang pesisir Benua Eropah. Ini menyebabkan keperluan Eropah pada saat itu amat tergantung kepada kegiatan dagang di dalam wilayah Islam.

Zaman Khilafah Abbasiyah (750-1258M)

Zaman kekhilafahan Abbasiyah berlangsung selama 508 tahun, suatu rentang waktu yang cukup lama dalam sesebuah peradaban. Tidak seperti pada zaman Umayyah, zamanawalDaulah Abbasiyah lebih difokuskan kepada pembinaan peradaban dan kebudayaan Islam berbanding peluasan wilayah. Fakta sejarah mencatat bahawazamanDaulah Abbasiyah merupakan zamanpencapaian cemerlang dunia Islam dalam bidang sains, teknologi dan pelbagai jenis keilmuan. Pada saat itu, dua pertiga bahagian dunia dikuasai oleh Kekhilafahan Islam. Zaman sepuluh Khalifah pertama dari Daulah Abbasiyah merupakan masa keemasanperadaban Islam dimana Baghdad mengalami kemajuan ilmu pengetahuan yang sangat pesat. Secara politik, para Khalifah benar-benar merupakan tokoh yang kuat dan Khilafah menjadi pusat kekuasaan politik dan agama sekaligus. Di sisi lain, kemakmuran masyarakat mencapai tingkat tertinggi. Puncak pencapaian kemajuan peradaban Islam terjadi pada masa pemerintahan Harun Al-Rasyid (786-809M) di mana banyak pusat pengajian dan perpustakaan yang besar didirikan.Harun Al-Rasyid juga menggunakankekayaan yang banyak untuk dimanfaatkan bagi keperluan sosial. Hospital, lembaga pendidikan dan perubatan serta farmasi didirikan. Pada masa itu terdapat paling tidak sekitar 800 orang doktor. Pada masa inilah Negara Islam (Khilafah) menempatkan dirinya sebagai negara terkuat yang tak dapat ditandingi, jauh meninggalkan negara-negara yang masih tenggelam dalam kegelapan selama berabad-abad. Pada saat itu terjadiletusan kemajuan di berbagai bidang keilmuan yang telah melahirkan berbagai karya ilmiah yang luar biasa.

Pada masa pemerintahan Abbasiyah inilah lahirnya para imam mazhab fiqh yang empat iaitu Imam Abu Hanifah (700-767M), Imam Malik (713-795M), Imam Syafi’i (767-820M) dan Imam Ahmad bin Hanbal (780-855M), para imam mazhab yang hebat dan terukir indah namanya hingga ke hari ini dengan sumbangan yang luarbiasa di dalam fiqh Islam.Prestasi yang gemilang sebagai implikasi dari ketamadunan Daulah Abbasiyah juga jelas terlihat dengan lahirnya para ilmuwan Muslim yang masyhur dan berkaliber di peringkat antarabangsa seperti Al-Biruni (fizik dan perubatan), Jabir bin Hayyan dalam ilmu kimia, Al-Khawarizmi dalam ilmu matematik, Al-Farazi, Al-Fargani, Al-Bitruji (astronomi), Abu Ali Al-Hasan bin Haythami dalam bidang kejuruteraan dan optik, Ibnu Sina (Avicenna) yang dikenali sebagai BapaIlmu Kedokteran Moden, Ibnu Khaldun (sejarahdan sosiologi),Al-Razi (guru Ibnu Sina)dalam bidang kimia dan perubatan yang telah menghasilkan 224 judul buku, Al-Battani (Al-Batenius), seorang ahli astronomi, Al Ya’qubi, seorang ahli geografi, sejarawan dan pengembara, Al-Buzjani (Abul Wafa) yang mengembangkan beberapa teori penting di bidang matematik (geometri dan trigonometri) dan ramai lagi dengan karya-karya mereka yang hebat. Selain itu, pada masa ini, Islam telah memberikan sumbangan besar kepada dunia dalam bentuk tiga alat penting iaitu kertas, kompas dan bahan letupan (gunpowder).

Pendek kata, bermula dari dunia Islamlah ilmu pengetahuan mengalami cetusan (penyebaran dan penularan) dan pengembangan ke dunia Barat yang sebelumnya diliputi oleh zaman gelap (dark ages)sehingga mendorong munculnya zaman renaissancedanenlightenment (pencerahan) di Eropah selepas itu.Menurut George Barton, ketika dunia Barat sudah mula matangdan merasakan perlunya ilmu pengetahuan yang lebih mendalam, perhatiannya yang utamatidak lagi ditujukan kepada sumber-sumber Yunani, tetapi kepada sumber-sumber Arab (Islam).Sebelum Islam datang, menurut Gustav Le Bon, Eropah berada dalam keadaan kegelapan, tidak satupun bidang ilmu yang maju bahkan mereka lebih percaya kepada perkara yang karut-marut (tahyul). Sebuah kisah menarik pernah terjadi pada zaman Daulah Abbasiyah pada waktu kepemimpinan Harun Al-Rasyid, tatkala beliau mengirimkan jam sebagai hadiah kepada Charlemagne seorang penguasa di Eropah. Penunjuk waktu yang setiap detiknya berbunyi telah dianggap oleh pihak gereja sebagai mengandungi jin, sehingga mereka merasa takut dengannya.

KemunduranEropah pada zaman pertengahan (abad 9M) bukanlah hanya pada aspek intelektual, bahkan jugadalam aspek fizikal. Hal ini sebagaimana digambarkan oleh William Draper, “Pada zaman itu, ibukota pemerintahan Islam di Cordova merupakan kota paling bertamadun di Eropah. Terdapat 113,000 buah rumah, 21 kota pertahanan, 70 perpustakaan serta masjid-masjid dan istana yang banyak. Cordova menjadi masyhur di seluruh dunia, dimana jalannyaberturap dan diterangi dengan lampu-lampu sementara keadaan di London 7 abad sesudah itu (yakni abad 15M), satu lampu umumpun tidak ada. Di Paris berabad-abad sesudah zaman Cordova, orang yang melangkahi ambang pintunya pada saat hujan, melangkah sampai mata kakinya terbenam ke dalam lumpur”.

Pada pertengahan abad ke-9M, peradaban Islam telah meliputi seluruh Sepanyol. Islam masuk ke Sepanyol setelah Abdurrahman ad-Dakhil (756M) berhasil membangunkan pemerintahan yang berpusat di Andalusia.Melalui Sepanyol, Sicily dan Perancis Selatan yang berada di bawah pemerintahan Islam, peradaban Islam memasuki Eropah. Bahasa Arab menjadi bahasa antarabangsa yang digunakan oleh pelbagai bangsa di dunia. Baghdad di Timur dan Cordova di Barat menjadi dua kota raksasa Islam yang menerangi dunia dengan cahaya yang bergemerlapan.

Semaraknya pengembangan teknologi dan ilmu pengetahuan di dunia Islam dimanifestasikan dengan banyaknya perpustakaan yang terdapat di kota-kota di wilayah Islam yang jumlahnya amat mengagumkan. Sejarah mencatat bahawa perpustakaan di Cordova pada abad ke 10mempunyai lebih 600,000 jilid buku. Perpustakaan Darul Hikmah di Kaherah mempunyai 2,000,000 jilid buku. Perpustakaan Al-Hakim di Andalusia pulamemiliki pelbagai buku dalam 40 bilikdi mana setiap bilik tersebutterdapat 18,000 jilid buku. Di perpustakaan Abudal Daulah di Shiraz (Iran Selatan) pula, buku-bukunya memenuhi 360 buah bilik. Sementara ratusan tahun sesudahnya (abad 15M), menurut catatan Ensiklopedia Katolik, perpustakaan Gereja Canterbury yang merupakan perpustakaan dunia Barat yang paling kaya saat itu, jumlah bukunya tidak melebihi 1,800 jilid sahaja.Dari pusat-pusat peradaban Islam yang meliputi Baghdad, Damsyik, Cordova, Sevilla, Granada dan Istanbul inilah, sumbangan besar terhadap pertumbuhan dan perkembangan peradaban moden di dunia Barat diasaskan.

Zaman Khilafah Utsmaniyyah Dan Runtuhnya Khilafah

Pasca berakhirnya kekuasaan Daulah Abbasiyah, kepemimpinan Islam diteruskan dengan KhilafahDaulah Uthmaniyah. Daulah Uthmaniyah yang selama lebih dari enam abad kekuasaannya (1299-1924M),telah dipimpin oleh 36 orang sultan, sebelum akhirnya runtuh dan terpecah menjadi beberapa negara kecil.Pada zamanKhilafah Uthmaniyyah, sejarawan sepakat bahawa zaman Khalifah Sulaiman Al-Qanuni (1520-1566M) merupakan zaman kejayaan dan kebesaran yang pada masanya Negara Khilafah terlalu jauh meninggalkan negara-negara Eropahbaik di bidang teknologi, militer, sains, politik dan sebagainya.Kesultanan ini menjadi pusat interaksi antara Barat dan Timur selama lebih kurang enam abad kewujudannya. Pada puncak kekuasaannya, Khilafah Uthmaniyyah terbahagi kepada 29 wilayah dengan Konstantinopel (sekarang Istanbul) sebagai ibukotanya. Pada abad ke-16 dan ke-17, Khilafah Uthmaniyyah menjadi salah satu kekuatan utama dunia dengan armada lautnya yang terbesar dan terkuat. Pendek kata, kekuasaan dan kekuatan Khilafah Uthmaniyyah cukup digeruni dan dihormati kawan dan lawan.

Namun sayangnya, kekuatan Khilafah terkikis secara perlahan-lahan pada abad ke-19, sehingga mengalami kemunduran dan seterusnya runtuh pada abad ke-20. Musuh-musuh Islam telah mengambil waktu selama lebih dari satu abad untuk melepaskan ikatan ideologi Islam dari tubuh umat Islam dan Negara Islam, yang pada akhirnya, pada tanggal 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924M), kuffar Barat, melalui Mustafa Kamal Attaturk laknatullah, yang merupakan ejen British,telah berjaya meruntuhkan Daulah Khilafah dan menggantikannya dengan Republik Turki sekular. Sejak itu, berakhirlah sebuah pemerintahan Islam dan sebuah institusi politik yang selama ini menjaga Islam dan umatnya dan sejak itu jugalah, bermulanya penderitaan umat Islam di bawah penguasa sekular dan sistem pemerintahan kufuryang diterapkan ke atas mereka.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika kita mengamati sejarah, sesungguhnya faktor utama kekalahan dan melemahnya umat Islam bukanlah terletak pada kekuatan musuh-musuh Islam, tetapi lebih disebabkan oleh kelemahan umat Islam itu sendiri kerana telah meninggalkan ajaran Islam. Setelah pemikiran Islam ditinggalkan dan digantikan dengan pemikiran kufur Barat, ia bukan sekadar menjatuhkan umat Islam dari kedudukannya yang tinggi, malah telah turut meruntuhkan sebuah Daulah Islam yang telah dibina dengan kukuh sejak sekian lama. Akal yang jernih menjelaskan kepada kita bahawasegala kemenangan, kemajuan dan kemuliaan yang dikecapi oleh umat Islam selama lebih dari 13 abad, adalah kerana umat Islam berada dan bersatu di bawah naungan pemerintahan Islam(Khilafah). Walaupun ada segelintir dari Khalifah yang tergelincir dari jalan yang lurus, namun mereka tetap menerapkan Islam di dalam pemerintahan dan tidak menggantikannya dengan sistem dan undang-undang kufur, tidak sebagaimana pemerintah Muslim yang paling ‘baik’ pada hari ini, yang memerintah dengan sistem dan undang-undang kufur. Justeru, tidak ada cara lain untuk mengembalikan semula keagungan sejarah Islam, kecuali dengan berusaha mengembalikan semula Negara Islam (Khilafah) yang telah runtuh ini.Inilah yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia dan Insya Allah dengan usaha yang bersungguh-sungguh dari setiap Mukmin yang ikhlas, Khilafah akan tegak kembali dengan izin Allah dalam masa yang terdekat ini.Amin ya Rabbal Alamin..