DiSebalik Tudung : Mengapakah Simbol Islam Paling Menonjol Ini Semakin Tersebar?
Menerima atau melarang, sebuah doa atau sebuah penjara, tudung Muslimah semakin tersebar: Siapakah yang memakainya dan mengapa? –
Oleh: Wartawan Caryle Murphy
Riyadh, Arab Saudi – Ia membebaskan. Ia menindas. Ia sebuah doa. Ia sebuah penjara. Ia melindungi. Ia membinasakan.
Jarang sekali dalam sejarah manusia sehelai kain mempunyai banyak peranan. Terbabit dalam banyak kontroversi. Sering disalah anggap, disalah fahami dan dimanipulasi.
Cebisan kecil atau gulungan kain ini adalah tudung Muslimah.
Bagi yang bukan Islam,berkemungkinan ia adalah lambang Islam yang paling menonjol, dan yang paling kontroversi. Dari Texas ke Paris, ia telah menjadi terkenal dan telah menjadi tumpuan kesalah fahaman ditempat kerja, ketika membuat keputusan mahkamah, manakala di Eropah, menjadi perdebatan di Parlimen samada ia harus diharamkan ataupun tidak.
Tudung kepala telah mendapat profil yang tinggi akibat dari beberapa faktor termasuk meluasnya kesedaran dan sifat ingin tahu mengenai Islam semenjak 9/11, akibat pencerobohan tentera Amerika Syarikat keatas negara –negara umat Islam seperti Iraq dan Afghanistan, dan peningkatan komuniti imigran Muslim di Amerika Syarikat dan Eropah.
Ia juga telah diumpamakan sebagai satu magnet yang menambah kepada permasalahan sepertimana yang dialami oleh seorang penduduk Illinios, Amal Abusumayah yang mendapati bahawa seorang wanita yang tidak senang hati dengan pembunuhan yang terjadi di Fort Hood, Texas telah menarik tudung kepalanya ketika berada disebuah kedai runcit.
“Barat telah menjadikan tudung satu simbol yang klise tentang penindasan, kezaliman dan ketaksuban umat Muslim, dimana kesemuanya itu tidak berkaitan dengan alasan mengapa wanita-wanita Muslim memakai tudung,” kata Jennifer Heath, pengarang buku “The Veil: Women Writers on Its History, Lore dan Politics.”
Segala tumpuan terhadap tudung kepala telah membuat umat Islam berasa amat kesal kerana keyakinan terhadap agama lebih bererti bagi mereka daripada apa yang dipakai oleh wanita dikepala mereka. Tetapi yang jelas, tudung telah membawa banyak perselisihan faham diantara umat Islam. Perdebatan kontemporari mengenainya, walaupun belum menyebarluas, telah menimbulkan persoalan-persoalan fundamental yang berkaitan dengan kemahuan sendiri, status wanita dalam masyarakat, malah, bagaimana mentafsir Al-Quran, kitab suci umat Islam.
Dalam ertikata yang lebih luas, tudung Muslimah ini juga merujuk kepada pelbagai tudung kepala. Yang sering dipakai adalah skarf yang menutupi rambut dan leher, samada berwarna hitam dan ringkas ataupun berwarna-warni dan labuh sepertimana yang dipakai oleh wanita di Kaherah dengan melilitkannya dikepala dan mengurai hingga kepinggang.
Skarf kepala sering dirujuk sebagai hijab atau hejab dalam bahasa Arab yang bererti satu tutupan atau skrin, manakala muhajabat bermaksud “wanita yang bertutup.”
Terdapat satu konsensus yang meluas diantara cendekiawan Islam diseluruh dunia yang menyatakan bahawa wanita dikehendaki sekurang-kurangnya menutup rambut mereka. Oleh itu, skarf kepala atau tudung kepala adalah dianggap wajib dalam Islam.
Tudung kepala lain yang dipakai oleh wanita Muslim juga berada dalam kategori “tudung”. Bergantung kepada sesebuah negara, perlengkapan ini ada yang dianggap optional dan ada yang menyatakannya wajib. Malah ia sering diperkatakan sebagai wajib atas dasarkan agama atau adat resam – satu perkara yang sering saling bertindih dikebanyakkan negara umat Islam.
Contohnya seperti kain tudung tradisi di Iran iaitu cadar, sejenis pakaian labuh atau jubah hitam yang menutupi keseluruhan anggota badan wanita yang labuh hingga ketanah. Wanita-wanita ini juga sering menutupi sebahagian daripada muka mereka ketika dikhalayak ramai. Manakala tudung kepala yang lebih moden bagi wanita –wanita Iran pula adalah skarf kepala yang dipadankan dengan sejenis baju kot luar yang labuh dan berlengan panjang.
Wanita-wanita di Saudi Arabia pula memakai skarf hitam berbentuk segiempat panjang yang dilipat dua dan dipadankan dengan abaya, sejenis jubah hitam yang longgar. Ramai juga yang menambah niqab(purdah), sehelai kain yang berbentuk segiempat sama bagi menutupi muka dan hidung mereka dan kadangkala menyembunyikan keseluruhan wajah kecuali dua biji mata.
Litupan yang paling dikatakan bersifat membatasi adalah burqa yang dipakai oleh wanita-wanita Afghanistan, sejenis baju luar panjang yang besar menutupi keseluruhan anggota badan wanita dari kepala hingga kehujung kaki termasuk muka.
Orang yang bukan Muslim pula sering beranggapan bahawa bertudung adalah simbol penindasan terhadap wanita. Perkara ini mungkin benar didalam masyarakat seperti di Iran dan Arab Saudi dimana status lelaki lebih dominan manakala wanita pula dianggap sebagai kelas kedua dan mereka dikehendaki untuk menutup kepala dan anggota badan ketika keluar rumah.
Tetapi bagi kebanyakan wanita Muslimah, termasuk yang tinggal di Amerika Syarikat, secara sukarela telah memilih untuk bertudung kerana komitmen agama. Mereka mempercayai bahawa mereka mematuhi perintah Tuhan dan menyangkal sebarang tanggapan bahawa dengan bertudung, hak mereka dirumah atau ditempat kerja akan berkurang.
“Ia adalah sesuatu yang kamu suka lakukan kerana ia membuatkan seolah-olah kamu dekat dengan Allah dan kamu telah melakukan satu perkara yang benar,” kata Reem Ossama, seorang wanita Mesir, ibu kepada tiga orang anak yang sentiasa bertudung ketika keluar rumah. “Allah telah memerintahkan kita supaya bertudung…. untuk melindungi maruah kita, untuk melindungi wanita supaya kita tidak hanya dipandang kerana kecantikan badan dan muka kita sahaja tetapi kerana pemikiran dan personaliti kita.”
Selain dari alasan keagamaan, kebanyakan wanita Muslimah telah memilih untuk bertudung kerana ingin menunjukkan ketaatan mereka dalam agama mereka terutama dalam keadaan sekarang dimana Islam dikecam hebat dari orang yang bukan Islam. Ini adalah satu cara bagi wanita untuk berkata, “Saya bangga menjadi seorang Muslim dan saya mahu dihormati.”
Sentimen ini juga kuat dinegara-negara umat Islam dimana umatnya merasakan bahawa identiti Islam mereka diancam oleh penyebaran global budaya Barat. Bagi kebanyakan wanita dinegara-negara ini, menjadi “tulen” bererti memakai tudung kepala yang Islami.
Alasan yang lain bagi bertudung adalah kerana kurangnya kebebasan memilih. Bagi sesetengah wanita, terutama dinegara-negara yang membangun berkata, mereka memakai tudung untuk menghindari gangguan dan pandangan lelaki terutama ditempat-tempat umum seperti didalam sistem pengangkutan awam.
Malah, ada juga kebiasaan yang disebabkan oleh tekanan dari bapa, suami dan abang-abang mereka yang mahu saudara-saudara perempuan mereka dilihat oleh masyarakat sebagai “anak perempuan yang baik” atau “wanita yang baik.” Lelaki-lelaki ini hanya memberi respons kepada kebiasaan dalam masyarakat yang mempunyai tanggapan bahawa wanita yang bertudung mematuhi larangan Islam yang berkaitan janji temu diantara lelaki dan perempuan serta hubungan luar nikah.
Mohamed Gebriel, suami Ossama berkata bahawa, ada lelaki yang menyuruh saudara-saudara perempuan mereka bertudung kerana mereka “cemburu”. “Mereka tidak suka isteri-isteri mereka dipandang oleh lelaki lain.” Gebriel, seorang Pengarah Urusan difirma perunding perniagaan di Riyadh, bukanlah seorang lelaki seperti itu. Tetapi, beliau berkata bahawa sepertimana kebanyakan lelaki Muslim yang lain, dia menghormati wanita yang bertudung kerana “kami melihat ia sebagai satu simbol bahawa wanita tersebut menghargai dirinya, bermaruah, tidak materialistik atau ingin menjadi satu simbol seks.”
Pada masa yang sama, Gebriel menekankan bahawa dia mempunyai “ramai teman-teman Muslim, teman-teman perempuan yang tidak berhijab dan ini tidak menjadi masalah baginya kerana ia hanya satu perkara kecil dari keseluruhan entiti manusia.”
Lazimnya, cendekiawan Islam memetik dua ayat dari Al-Quran untuk menyokong konsensus mereka mengenai wanita Muslimah wajib atau harus menutup rambut mereka.
Pertama adalah ayat 33:59 yang ditujukan kepada Rasulullah dan keluarganya: “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:” Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu.” [TMQ Al Ahzab(33) : 59]
Manakala, ayat 24:31 pula menyatakan, “Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya.” [TMQ An Nur(24) : 31]
Tetapi, Ashraf Zahedi, seorang sosiologi dan sarjana di Universiti California, Berkeley Beatrice Bain Research Group menulis, “ Ayat-ayat ini menekankan kesopanan dan menutupi dada dan leher. Tidak ada yang merujuk kepada menutup rambut atau tudung kepala.”
Zahedi adalah salah seorang daripada sejumlah kecil cendekiawan perempuan Islam yang semakin terkenal, yang sering mempersoalkan konsensus tudung kepala yang telah lama dipersetujui. Leila Ahmed, Amina Wadud dan Asma Barlas pula adalah diantara lain yang mempertikaikan bahawa tafsiran Al-Quran selama ini telah dibuat oleh lelaki, dimana sokongan mengenai kesetaraan gender oleh kitab suci ini dikatakan samar – samar.
Sepertimana yang diperkatakan oleh Barlas, seorang professor politik di Ithaca College di New York, ketika memberi ucapan di Universiti Groningen, Belanda dalam tahun 2006 berkata, “Saya adalah diantara orang-orang yang mempertikaikan alasan yang Al-Quran telah dibaca sebagai teks patriaki, pasti berkaitan dengan siapa yang telah membacanya, bagaimana dan dalam konteks apa. Dari segi sejarah, hanya cendekiawan lelaki sahaja yang mentafsir Al-Quran sentiasa dalam sistem masyarakat yang mengutamakan lelaki. Inilah sebab mengapa saya mengatakan bahawa terdapat kesalahfahaman yang ketara dalam tafsiran Islam, dan saya percaya bahawa perlu ada tafsiran yang benar dari kitab suci yang lain.”
Dalam satu temuramah melalui telefon, Barlas menjelaskan bahawa Al-Quran telah menyeru supaya lelaki merendah diri dan sopan (Ayat 24:30). Tetapi, dia berkata, “kita tidak pernah mempersoalkan prinsip moral seksual lelaki Muslim, itulah sebabnya kadang –kadang saya merasa kecewa dengan segala perbincangan mengenai tudung kepala kerana saya mendapati sebenarnya lelaki yang mendapat banyak manafaat dari ini. Ia pada dasarnya membiarkan mereka dari dipersoalkan bagaimana mereka perlu membentuk kelakuan yang baik”. “Tidak ada perbincangan bagaimana mereka harus berpakaian atau berkelakua. Mengapa wanita pula yang sentiasa dibebani dengan tanggungjawab terhadap prinsip moral atau identiti masyarakat?”
Manakala, wanita Muslimah yang lain, menggunakan arena politik untuk mencabar pandangan bahawa kesopanan dalam Islam mengkehendaki wanita bertudung. Pada bulan Mei yang lalu, 4 orang wanita telah melakar satu sejarah apabila mereka telah dipilih ke Parlimen Kuwait. Pihak konservatif merasa marah kerana dua dari mereka, Rola Dashti dan Aseel Al Awadhi – tidak memakai tudung dan telah mengemukakan petisyen di mahkamah bagi menghalang kedua-duanya dari parlimen kerana mereka telah melanggar peraturan Islam dengan tidak bertudung.
Dalam bulan Oktober, Mahkamah Tertinggi di Kuwait telah memberikan wanita-wanita ini kemenangan dengan membatalkan petisyen tersebut dan telah membuat keputusan dengan menyatakan bahawa perlembagaan negara tersebut menjamin kesetaraan gender dan kebebasan memilih dalam agama.
Sejarah moden memberikan banyak contoh bagaimana lelaki dan regim politik yang didominasi lelaki telah menggunakan isu tudung sebagai satu cara untuk mengawal wanita, malah dibantu oleh masyarakat sebagai satu cara untuk mempromosikan ideologi sekular mahupun Islam.
Pada setengah abad ke21, contohnya di Turki dan Iran, pemimpin yang berorientasikan sekular terlalu ingin untuk memodenkan negara-negara mereka sejajar dengan Barat telah mengharamkan tudung ditempat awam dimana ini telah membawa kepada tekanan yang besar kepada wanita-wanita Muslim yang taat. Di Iran, wanita yang berdegil untuk tidak membuka tudung telah disingkirkan secara paksa oleh polis dari tempat-tempat awam. Ramai yang tidak mahu keluar rumah, menurut Zahedi dalam kajiannya berkenaan tudung didalam keluaran Journal of Middle East Women’s Studies, edisi musim luruh 2007.
Pada hari ini, Turki masih melarang tudung kepala di universiti – universiti awam. Di Iran, Revolusi Islam dalam tahun 1979 telah membatalkan pengharaman bertudung, malah telah bertindak sebaliknya dengan menghendaki semua wanita termasuk yang bukan Muslim menutup keseluruhan kepala dan badan. Matlamatnya adalah untuk membuktikan bahawa Islam dan bukan Barat yang dijadikan rujukan oleh masyarakat Iran.
Zahedi juga menjelaskan bahawa revolusi Iran telah membawa kepada kepercayaan yang berakar umbi tentang sifat erotik rambut perempuan. Seorang penulis lelaki konservatif berpendapat bahawa “telah terbukti yang rambut wanita memancarkan sejenis sinar yang mempengaruhi lelaki sehingga membuatkannya teruja dari normal.”
Tambah Zahedi, tudung telah memberikan satu justifikasi tentang “keperluan menguasai kekuatan seksual perempuan.” Beliau turut menulis bahawa daripada “mempersoalkan tentang seksual lelaki Iran yang tidak terkawal, regim tersebut telah memaksa wanita untuk menyembunyika rambut dan tubuh mereka bagi melindungi lelaki.”
Undang-undang yang hampir serupa telah diterapkan oleh Taliban ketika mengambil alih kuasa di Afghanistan dalam tahun 1996. Mereka telah mewajibkan burqa yang selama ini dipakai kerana tujuan keagamaan dan adat resam keatas semua wanita Afghan. Ketika perang saudara di Algeria dalam tahun 1990an, puak radikal Islam telah membunuh ramai perempuan yang tidak bertudung. Dan dikawasan Gaza yang dikuasai oleh Hamas, pelajar – pelajar sekolah perempuan telah diwajibkan untuk memakai tudung kepala. (Manakala beberapa batu di Israel, komuniti Ortodoks Yahudi mewajibkan wanita –wanita yang telah berkahwin untuk menutup rambut mereka.)
Barlas juga menyelar orang –orang Barat yang mempolitikkan tudung apabila mereka menggunakannya sebagai satu simbol Islam, dengan biasanya menghubungkaitkannya dengan penindasan wanita dalam masyarakat Islam. “Saya telah mencabar ramai para hadirin dari Barat untuk memberitahu saya apakah gambaran sebenar tentang seorang wanita Amerika yang tipikal,” dia menulis dalam sebuah email. “Apabila mereka mendapati agak sukar, maka saya tanyakan mengapa mereka hanya memilih seorang wanita yang bertudung untuk mewakili keseluruhan wanita Muslim.”
Hari ini niqab dan burqa telah dianggap sebagai satu bentuk kejahatan yang sangat serius yang telah menimbulkan perdebatan panas di Eropah dan sebahagian negara yang majoriti penduduknya adalah umat Islam.
Para cendekiawan Islam tidak bersetuju jika wanita Muslim menutup muka mereka. Di Mesir, Sheikh Mohammed Sayyed Tantawi, ketua Universiti Al Azhar, Kaherah, sebuah pusat pembelajaran Islam yang tersohor, pernah menegur seorang pelajar perempuan yang memakai niqab ketika beliau membuat lawatan kesebuah sekolah. Beliau telah menyuruh pelajar tersebut menanggalkan niqabnya dan berkata bahawa niqab “tidak ada kiatan dengan Islam dan ia hanyalah satu adat resam sahaja.”
Sesungguhnya niqab tidak pernah menjadi pakaian asli di Mesir. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini, ia diterima pakai oleh wanita – wanita muda yang memilih stail Saudi yang konservatif dalam mempraktikkan Islam. Kerajaan Mesir juga telah mengharamkan pemakaian niqab diseluruh dormitori perempuan di universiti-universiti.
“Kita semua bersetuju bahawa niqab bukanlah satu keperluan agama,” jelas Abdel Moati Bayoumi, seorang cendekiawan di Al Azhar kepada Associated Press. “Masanya telah tiba” untuk bersemuka dengan idea bahawa niqab adalah mandatori apabila mengetahui bahawa “pihak Taliban memaksa wanita memakai niqab.”
Malah di Arab Saudi dimana niqab berakar umbi dalam adat resam suku kaum dan dipakai dengan meluas, turut mempunyai pendapat yang berbeza-beza diantara wanita. “Bahagian wanita yang manakah yang paling cantik?” tanya Laila M. Bahammam, seorang wartawan Saudi. “Muka dan rambutnya. Oleh itu, kecantikan ini perlu ditutup.”
Tetapi, Ahlam A. Al Qatari, seorang doktor Saudi berkata bahawa dia “akan melancarkan kempen menentang pemakaian niqab” jika boleh berbuat begitu. Sementara dia “bersetuju seratus peratus” dengan menutup rambut. Tambah beliau, niqab “adalah berbeza. Ia adalah satu tradisi, bukan satu ibadah atau peraturan Islam. Dalam Islam, kamu menutup rambut, bukan muka dan saya fikir untuk memudahkan berkomunikasi secara sopan diantara masyarakat dan orang –orang yang berbeza dan untuk mengenali satu sama lain secara sopan, maka perlu untuk mendedahkan muka untuk berhubung dengan dekat serta memandang mata.”
Di negara – negara Barat, tutup muka(purdah) telah menjadi satu masalah kerana berbagai alasan. Dimasa yang memerlukan peningkatan dari segi keselamatan, adalah perlu bagi polis, agen tiket penerbangan, para hakim dan guru-guru dibilik-bilik darjah untuk mengenalpasti siapakah yang dihadapan mereka.
Malah, ia juga merupakan satu cabaran kepada Barat yang mempunyai andaian bahawa penutup muka melambangkan penipuan atau menyembunyikan sesuatu. Didalam masyarakat yang menekankan komunikasi secara dekat serta memandang mata, penutup muka(purdah) boleh menjadi satu halangan yang besar untuk integrasi dan juga menyebabkan kegelisahan. Mantan Menteri Luar British, Jack Straw pernah melabelkan niqab sebagai satu “penyataan yang dapat dilihat sebagai pemisahan dan perbezaan” dan juga akan “membuatkan hubungan yang baik dan positif diantara dua komuniti lebih sukar.”
Beberapa negara Eropah telah mempertimbangkan cadangan untuk mengharamkan niqab dan burqa ditempat-tempat umum dan sebuah organisasi terkenal di Kanada baru-baru ini telah menggesa kerajaan untuk meluluskan usul larangan ini.
Di Perancis, dimana tudung kepala Islami (dan sebarang simbol keagamaan yang ‘menonjol’) telah diharamkan disekolah-sekolah negeri dalam tahun 2004. Presiden Nicolas Sarkozy berkata bahawa “tidak ada tempat untuk burqa” dinegaranya. Tetapi setelah membuat kajian mengenai isu tersebut, agensi berita telah melaporkan pada bulan lepas, parlimen Perancis telah memutuskan untuk tidak mengharamkan burqa secara formal, walaupun begitu, ia mungkin akan mencadangkan pengharamannya dibeberapa tempat awam.
Tudung kepala Islami pula adalah satu perkara yang lain. Sepertimana tudung Islami yang lain, ia telah mendapat tempat dinegara Barat dan juga dinegara yang majoritinya Islam sebagai satu penyataan mengenai
nilai keagamaan.
Malah ia juga satu penyataan fesyen sepertimana Reem Ossama ingin tunjukkan. Dia membuka laci untuk mengambil beberapa keluaran “Hijab Fashion”, sebuah majalah di Kaherah yang dipenuhi dengan gambar-gambar model berpakaian labuh dan sut seluar – kesemuanya dipadankan dengan tudung kepala yang menarik.
“Kami, wanita Muslim, mempunyai fesyen kami tersendiri,” jelas Ossama sambil menyelak-yelak halaman majalah tersebut. “Kamu boleh bertudung dan kelihatan cantik.”
Sumber : Newswatch Khilafah.com