Mat Tudung: Tatkala Hukum Islam Diketepikan Atas Nama ‘Karya’

Sebuah filem tempatan berbahasa Melayu keluaran KRU Productions berjudul Mat Tudung telah mencetuskan kontroversi apabila jalan penceritaannya dibuat berkisar tentang watak utama lelakinya yang mengenakan pakaian menyerupai wanita. Filem tersebut telah mula ditayangkan di pawagam sejak 28 Julai baru-baru ini.

Pelakon utama filem tersebut, Fizz Fairuz, cuba menjustifikasikan watak tersebut dengan memberikan alasan bahawa amalan tersebut telah berlaku sejak zaman dahulu lagi apabila kaum hawa dilarang daripada terlibat dalam persembahan pentas dan peranan mereka digantikan oleh pelakon lelaki. Pelakon tersebut turut menyatakan bahawa isu tersebut tidak wajar dipersoalkan ‘kerana seni itu perlukan minda yang terbuka untuk menerima dan menafsirnya, kemudian barulah ia bergelar karya’.

“Apapun, pandangan saya ini bukan bermaksud saya bersikap konservatif, cuma ia adalah satu pendapat yang benar dan tidak menyalahi hukum syariat selagi niat yang ditetapkan adalah demi mencari rezeki yang halal menerusi cara relevan,” ujarnya sewaktu ditemuramah oleh wartawan Utusan Malaysia ketika sesi fotografi di Putrajaya, baru-baru ini.

Alasan yang diberikan itu langsung tidak dapat diterima sebagai hujah demi menjustifikasikan tindakannya melakonkan watak yang berpakaian seperti wanita. Apakah sumber yang dijadikan rujukan terhadap pendapatnya bahawa kononnya ia adalah ‘benar dan tidak menyalahi hukum syariat’? Tidakkah pelakon tersebut pernah mendengar dalil-dalil berikut yang jelas menunjukkan keharaman lelaki untuk berpakaian menyerupai wanita (dan juga wanita menyerupai lelaki)?

Abdullah Ibnu ‘Abbas ra menerangkan bahawa: “Rasulullah saw melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” [HR Bukhari]

Rasulullah SAW telah bersabda: “Bukan daripada golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.”  [Musnad Ahmad dengan sanad yang dinilai sebagai hasan oleh Ahmad Syakir].

Niat yang murni semata-mata tidak sedikitpun boleh menghalalkan perbuatan yang telah dijelaskan haram di sisi syarak. Apatah lagi sekiranya tujuan perbuatan tersebut dilakukan sebagai satu bentuk hiburan yang tidak mendatangkan manfaat terhadap pembentukan keperibadian Muslim, malah melalaikan lagi ummah daripada memikul kewajipan hidup yang sewajarnya. Wallahua’lam.

Sumber: “Fizz Fairuz tempelak stesen TV swasta”, Utusan Online,