Kempen Hidup Amat Berharga,Tiada Harganya Disisi Allah

2,780 kes penderaan kanak-kanak tahun lalu
Oleh JUNHAIRI ALYASA
[email protected]
 
ROSNAH (dua dari kanan) beramah mesra dengan Chan Hui Xin, 7, ketika melawat Wad Pediatrik HKL selepas melancarkan Kempen Hidup Amat Berharga di Kuala Lumpur semalam. 
 
KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,780 kes penderaan kanak-kanak dicatatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun lalu.

Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, penderaan emosi, fizikal dan seksual itu meningkat berbanding 1,685 kes pada tahun 2008.

Menurut beliau, statistik itu tidak termasuk pelbagai kebejatan sosial lain seperti pembuangan bayi, sumbang mahram, pelacuran dan eksploitasi kanak-kanak.

Apakah puncanya, adakah kurang didikan atau kasih sayang, jawapannya pasti ada pada kita semua dan penawarnya mesti segera dicari,” katanya ketika merasmikan Kempen Hidup Amat Berharga yang bertemakan 1Malaysia 1Jiwa 1Cinta di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam

Sumber: Kosmo Online


Kempen Hidup Amat Berharga, Tiada Harganya Disisi Allah
Sememangnya tidak dinafikan, perhatian dan tumpuan terhadap nasib kanak-kanak penerus generasi umat oleh pelbagai pihak dari kalangan pemerintah yang prihatin, amatlah ketara.  Mutakhir ini, jika diperhatikan, satu demi satu kempen dilancarkan bagi membendung peningkatan mengerikan angka statistik ancaman terhadap kanak-kanak merangkumi pelbagai bentuk ancaman seperti kes penderaan dan pelbagai kesan lain yang lahir dari masalah sosial yang amat meruncing di saat para pemerintah yang mengurus dan memelihara umatnya disibukkan dengan laungan-laungan kempen berbagai “Satu”. 

Setelah kempen Kami Prihatin dilancarkan oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi menangani masalah pembuangan bayi yang sedang bermaharajalela, rakan seperjuangannya yang prihatin ini juga tidak mahu ketinggalan memainkan peranan beliau dengan melancarkan pula Kempen Hidup Amat Berharga dengan tema “Satu’ yang amat sinonim dengan konsep pemerintahan ketika ini iaitu “1Malaysia 1Jiwa 1Cinta”.

Alangkah sedihnya apabila kita bakal melihat kegagalan demi kegagalan usaha-usaha murni para pemerintah ini dalam cubaan mereka untuk mendapatkan angka-angka yang lebih ‘cantik’ bagi memenuhi statistik Laporan Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka sebelum pilihanraya berikutnya .  Mungkin juga mereka benar-benar ikhlas ingin memberikan perlindungan dan memastikan harapan anak-anak yang bakal menjadi generasi penerus yang hebat demi kelangsungan kehidupan masyarakat cemerlang ini terpenuhi.  Apapun tujuan “para pejuang” kanak-kanak ini, mereka seharusnya berpijak di landasan yang benar dan menggunakan akal yang dikurniakan Allah SWT itu untuk mengkaji dan berfikir dengan sangat cemerlang, apakah penyelesaian sebenar dan tuntas terhadap permasalahan dan ancaman kanak-kanak yang terhidang di hadapan mata mereka ketika ini.

Sesungguhnya kanak-kanak adalah asas penentu  masa depan kaum dewasa, agama, bahkan masa depan peradaban.  Entah bagaimana agaknya masa depan dunia jika anak-anak kita masih dipaksa bertahan pada kejahatan sistem sekular kapitalis yang diterapkan ke atas mereka dari segala sisi, pada masa kini. Sudah tentunya keadaan ini tidak boleh dibiarkan seandainya nasib seluruh umat manusia tidak mahu dijadikan pertaruhan.

Wahai Ketua Pergerakan Puteri UMNO, usahlah kamu merayu dan merintih menanyakan apakah punca kepada semua bencana ini dan menyeru kepada pencarian penawar kepada barah yang meracuni anak-anak yang bakal menentukan nasib umat ini. 

Jika kamu benar-benar ikhlas dan beriman kepada Allah dan RasulNya, tinggalkan lah sistem sekular kapitalis penuh beracun, yang kamu gunakan dengan harapan akan menjadi penawar kepada anak-anak generasi umat terbaik ini.  

Kembalilah kamu kepada penawar sebenar yang telah tersedia di hadapan mata kamu sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini lagi iaitu Al-Quran dan As-Sunnah serta jadikanlah Islam Kaffah itu sebagai satu-satunya ubat dan solusi kepada penghujung pencarianmu.

Ingatlah peringatan dari Allah SWT:
 ”Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat dalam keadaan buta“. [TMQ Thaha (20): 124]

Wahai kaum Muslimin! Ingatlah bahawa Allah SWT juga berfirman:

Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan-perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [TMQ ar-Rum (30):41].

wallahu alam