Bahana Sistem Kapitalisme: Nenek dijatuhi Hukuman Gantung

Nenek dijatuhi hukuman gantung
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
[email protected]

KUALA TERENGGANU 30 Mac – Seorang nenek yang mempunyai tujuh cucu dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 92.68 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariah Hamad, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan selepas beliau berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah atas tuduhan dihadapinya.

Mariah disabitkan dengan tuduhan mengedar dadah tersebut kira-kira pukul 3.45 petang, 3 Ogos 2009 di pekarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot dekat sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dengan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Mohd. Yazid dalam penghakimannya menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa tidak mengetahui kandungan bungkusan yang diambilnya daripada seorang wanita di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang pada hari kejadian.

Menurutnya, keterangan tertuduh bahawa dia hanya mahu membantu wanita itu menyerahkan bungkusan kepada seorang lelaki kerana dia bersama suami hendak pergi ke rumah waris suaminya pada hari tersebut juga boleh disangkal.

‘‘Ketika disoal pendakwa raya, tertuduh tidak kenal waris suami yang hendak ditemui di Kuala Berang itu dan tidak tahu kenapa mahu jumpa waris itu.  Mahkamah juga mendapati tidak munasabah guna jalan pantai untuk ke Kuala Berang tetapi jika hendak ke Masjid Padang Nenas memang perlu guna jalan pantai. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh tidak bercakap benar,’’ katanya.

Mariah yang memakai baju kurung dan bertudung kelihatan tenang ketika hakim membacakan hukuman namun dia beberapa kali memandang ke galeri awam seperti mencari-cari ahli keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang @ Mamat manakala tertuduh diwakili peguam, Tara Singh Delip.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa seorang wanita bersama seorang anak dan ditemani suaminya cuba melakukan transaksi dadah bernilai kira-kira RM150,000.
Sumber:  Utusan Online 30 Mac 2011

Ulasan:

Bahana sistem kapitalisma tidak mengenal mangsa. Pilu rasa dihati mengenangkan hayat si nenek bakal berakhir di tali gantung angkara dadah durjana.  Ideologi kapitalisma mengajar manusia bebas berbuat apa sahaja antara punca seseorang itu tidak berfikir panjang akan kesan perbuatannya apatah lagi hukuman yang bakal diterima di akhirat kelak.  Tidaklah menghairankan kerana asas/aqidah ideologi kapitalisma itu sendiri meletakkan agama sekadar di pinggiran dan tidak layak untuk mengatur hidup manusia.  Dengan kata lain, memadailah agama diposisikan dalam aktiviti ibadah ritual semata-mata namun bukan sebagai aturan hidup seharian.

Duhai apakah gerangan si nenek tekad bergelar pengedar dadah durjana?  Sekadar suka-suka? Untuk melangsaikan hutang atau mungkin demi sesuap nasi buat mengisi perut si anak dan cucu kesayangan di rumah?  Pernahkan persoalan-persoalan ini diperhalusi dan ditangani terlebih dahulu oleh pihak yang dipertanggungjawab mengurusi kehidupan umatnya?  Ternyata ideologi kapitalisma sekadar melihat masalah di atas sebagai masalah sosial semata-mata tanpa melihat faktor-faktor yang lain seperti aspek ekonomi, pendidikan, pemerintahan, hukuman mahupun politik sedangkan faktor-faktor ini saling terkait antara satu sama lainnya.  Hakikatnya ianya hanya dilihat dari skop yang amat sempit.  Amat pasti ideologi kapitalisma yang meletakkan sistem kehidupan yang rosak dalam masyarakat ini langsung tidak dilihat sebagai pesalah yang patut dihukum, tetapi yang dihukum ialah para pelaku jenayah yang lahir dari ideologi itu tadi.  Sistem kapitalisma telah terbukti tidak pernah mensejahterakan hidup manusia. Yang ‘sejahtera’ adalah mereka-mereka yang tidak habis-habis mengeksploitasi orang lain demi kepentingan hawa nafsu mereka. Berapa ramai dalam kalangan muslimah kita baik gadis bawah umur,ibu mengandung, janda sehinggalah nenek tua telah diperdaya dan terperangkap angkara dadah dengan memperjudikan nasib mereka menjadi pengedarnya. 

Wahai muslimin dan muslimat sekalian!  Dengarkan Kalamullah berikut dalam firmanNya yang berbunyi  Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia, yang menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah”. [TMQ Ali Imran (3) :104]. Sudah tiba masanya ungkapan ‘umat terbaik’ di atas direalisasikan dalam hidup nyata kalian dengan mengembalikan semula ideologi islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sebagai wadah dan sistem untuk mengatur hidup manusia.  Allah memperingatkan: ”Dan tidaklah kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam’‘  [TMQ al-Anbiya (21) :107].  Marilah bersama-sama berusaha dan berjuang agar umat manusia hidup mulia dan sejahtera sebagaimana yang telah dirasai oleh umat yang pernah hidup dibawah naungan khilafah yang mana Khalifah (pemimpinnya) sentiasa menjaga kebajikan dan mengambil berat urusan umatnya seperti yang dirasai oleh umat Khalifah Umar ibn Abdul Aziz.. Semoga Allah membuka pintu hati kalian untuk bangkit dan berpaling dari sistem yang rosak dan merosakkan dan menggantikannya dengan sistem Khilafah.  Wallahu’alam