Pakej wanita Idaman Atau Pakej Idaman Wanita?
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
[email protected]
Foto WAHIDAH ZAINAL
________________________________________
Gadis ini tidak pernah melepaskan apa saja peluang untuk mencuba dan mengambil cabaran baru. Berasal dari Selangor, Nur Amalina Azain, merupakan gadis ayu yang penuh keyakinan.
Siapa sangka pada usia 18 tahun, dia yang mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi kepercayaan oleh keluarganya untuk menguruskan sebuah spa.
Memenangi pencarian Carefree® Girl baru-baru ini, Nur Amalina diberi peluang menjadi pelakon.
“Saya berasa gembira memenangi pencarian Carefree® Girl. Memang impian saya untuk menjadi personaliti televisyen dan pelakon. Pertandingan ini memberi peluang untuk saya realisasikannya. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan siri drama televisyen baru ini bersama-sama Scha, Marsha, dan Awal.”
”Terima kasih Carefree memberikan peluang kepada saya,” ujarnya yang bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang perakaunan.
Walaupun baru pertama kali menghadiri sesi fotografi, gadis manis ini jelas matang dalam tutur bicaranya.
Hadir dengan gaya bersahaja, Nur Amalina mempunyai pakej gadis impian iaitu bijak, cantik dan rendah diri.
Bahkan dia tidak mahu leka dengan impian sebagai pelakon, sebaliknya Nur Amalina mahu mengorak kejayaan dalam bidang pelajaran dan menjadi seorang akauntan.
Gadis periang ini juga suka sukan yang lasak seperti rock climbing dan bermain piano untuk meluahkan perasaannya.
Sumber: Utusan Online, 17/4/2011
Sesetengah lelaki zaman sekarang mengidamkan seorang wanita yang ‘sedap mata memandang’ untuk menjadi kekasihnya atau isterinya. Ada yang menentukan ciri ‘sedap mata memandang’ itu seperti cantik, lemah lembut, ayu, rendah diri, sopan dan sebagainya. Inilah hakikatnya bahawa sifat-sifat wanita idaman itu sendiri berbeza mengikut individu dan membuktikan bahawa racun berbisa demokrasi yang ‘menghalalkan’ kebebasan berpendapat bagi setiap individu telah merebak ke benak kaum muslimin walaupun sesuatu perkara itu sudah mempunyai ketetapannya dalam Islam.
Tolok ukur untuk menilai kepribadian diri seorang wanita bukanlah berlandaskan kecantikan atau kebijakannya dalam akademik tetapi dengan ukuran kuantiti dan kualiti amal perbuatannya dalam melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya semata-mata untuk meraih keredhaan-Nya. Inilah kunci untuk menjadi wanita penghuni syurga yang sepatutnya diidamkan oleh setiap individu muslim.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mu’min, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam keta’atannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” [TMQ. al-Ahzab (33): 35]
Jadi, kita tidak bebas memandang kaum perempuan menurut keinginan kita sendiri, tetapi membatasi mentaliti (pandangan) kita sesuai dengan ketentuan Islam. Sebagai contoh, jika seorang laki-laki berusaha mencari jodoh, Rasulullah SAW memberikan petunjuk dengan hadits yang sangat terkenal, diriwayatkan oleh Abu Hurairah sebagai berikut: “Seorang perempuan dinikahi karena empat perkara. Kekayaannya, nasabnya, kecantikannya, dan agamanya. Maka kahwinilah yang baik agamanya, niscaya engkau akan beruntung.” [HR al-Bukhari]
Kita tidak semestinya menilai keperibadian wanita atas dasar sesuatu yang sangat dangkal, seperti kecantikan.
Bila seorang lelaki Muslim itu ingin mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, maka dia perlu berusaha mencari seorang isteri yang memiliki pemahaman yang baik tentang tugas-tugas seorang Muslimah; yang akan melaksanakan tugas-tugas seorang isteri sebagaimana yang diperintahkan Islam; yang akan merawat dan memelihara pemikiran anak-anaknya dengan tsaqafah Islam dengan penuh kasih sayang; dan yang akan menjaga suaminya agar tetap taat beribadah sebagaimana sang suami menjaga agamanya.
Dari Abdullah bin ‘Amr radhiallahu ‘anhuma bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Dunia ini adalah perhiasan/kesenangan dan sebaik-baik perhiasan/kesenangan dunia adalah wanita yang solehah.” [HR. Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad]
Lelaki dan perempuan muslim perlu menyedari sepenuhnya bahawa pakej wanita idaman yang diberitakan seperti itu hanyalah sebuah mitos yang dimanfaatkan oleh musuh Islam. Mereka bertujuan untuk mengalihkan pemikiran dan perhatian kita daripada aqidah kita yang benar seperti firman Allah SWT : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [TMQ al-Baqarah (2):120]