Peningkatan Kes Cerai: Bilakah Penghujung Kemelut Wanita Muslimah???
KOTA BHARU: Umat Islam tidak harus melihat kadar perceraian yang tinggi di negara ini satu perkara negatif kerana perpisahan suami isteri mengikut lunas undang-undang itu, sebenarnya mampu menyelesaikan banyak masalah dihadapi wanita.
“Saya melihat perkara ini (perceraian) daripada aspek positif iaitu masyarakat Islam kini sudah sedar dan celik undang-undang, boleh menyelesaikannya mengikut lunas yang dibenarkan Islam,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Katanya, perceraian pasangan Islam setiap 15 minit di negara ini menggambarkan satu kesedaran bahawa banyak kes yang tidak menemui jalan penyelesaian sebelum ini, sudah diselesaikan melalui lunas undang-undang.
“Kita jangan lihat perceraian itu satu perkara yang teruk sangat kerana ia perkara yang halal, malah perceraian itu sebenarnya mampu menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi kaum wanita,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Halal Kelantan 2011, di Kompleks Islam Darulnaim, di sini, semalam, yang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Beliau mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Mac lalu ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya, dengan menyebut perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009, menunjukkan purata pasangan Islam yang bercerai mencatatkan rekod mengejutkan iaitu satu pasangan bercerai setiap 15 minit.
Berdasarkan rekod JAKIM pada 2009, menunjukkan perceraian terus meningkat setiap tahun dan ia mencetuskan kebimbangan mengenai keharmonian rumah tangga terutamanya golongan muda.
Ditanya sama ada berlakunya perceraian seperti itu disebabkan kekurangan hakim, Mashitah menafikannya dan menegaskan banyak kes sudah diselesaikan.
“Memang tidak dinafikan, setakat ini kita memang memerlukan banyak lagi hakim bagi menyelesaikan kes, namun banyak kes dapat diselesaikan dengan mengadakan perbicaraan pada waktu malam atau hari cuti selain ditambah dengan hakim perempuan,” katanya.
Beliau berkata, berlakunya kes perceraian membabitkan pasangan Islam disebabkan suami dan isteri masing-masing tidak memahami tanggungjawab serta ilmu berumahtangga.
“Dalam kajian yang kita lakukan, perceraian berlaku bukan disebabkan ketidakseragaman undang-undang syariah, namun ia membabitkan pasangan berkenaan iaitu tidak memahami tanggungjawab selain kurang ilmu rumah tangga,” katanya.
Oleh BASIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR – Kegagalan lelaki menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga dikatakan menjadi punca utama peningkatan kes jumlah pasangan Islam yang bercerai berbanding pasangan bukan Islam di negara ini.
Pakar Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, penemuan itu adalah hasil kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Apabila suami gagal melaksanakan tanggungjawab dalam rumah tangga, kewujudannya tidak lagi dianggap penting, malah ada isteri yang menganggap ketiadaan suami bukan lagi satu beban tetapi rahmat,’’ katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie kelmarin mengenai kes pasangan Islam yang bercerai meningkat daripada 22,289 kes sepanjang tahun 2008 kepada 27,116 kes pada tahun lalu.
Pada masa yang sama, jumlah kes perceraian pasangan bukan Islam menurun kepada hanya 3,633 kes pada 2008 berbanding 2,938 kes tahun 2009.
Menurut Suzana, kekurangan ilmu rumah tangga dan perkahwinan selain kecenderungan niat tidak tepat untuk berkahwin turut menyumbang kepada perceraian.
Sememangnya jika melihat statistik perceraian pasangan muslim, pasti ramai yang geleng kepala. Bah kan siapa yang masih belum berumah tangga akan berpikir puluhan kali untuk berkahwin. Kesyumulan Islam sebagai penyelesai masalah manusia tiada tandingannya sehingga hari Kiamat. Penceraian sebagaimana pernikahan dan poligami memang hukum dari Allah yang Maha Mengatur hubungan antara seorang wanita dan lelaki. Pernikahan yang dimeterai semata-mata hanya kerana meraih redha Allah akan menjadikan suami sebagai sahabat karib yang menyenangkan isterinya, begitu juga sebaliknya. Islam telah menjadikan isteri sebagai tempat yang penuh ketenteraman bagi suaminya sebagaimana firmanNya:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” [TQM Ar-Rum (30): 21].
Selain itu, pasangan suami isteri perlu sedar bahawa pernikahan mereka adalah ibadah dan perlu saling membahu untuk merealisasikannya. Bersabarlah atas kekurangan pasangan kita. Jika kekurangannya melibatkan pelalaian terhadap kewajipan Allah SWT, nasihatilah dengan cara yang makruf serta usaha kita perlu maksimum untuk mendakwahinya. Tetapi, jika kekurangannya berkaitan kelemahannya sebagai manusia seperti suami kurang romantis atau isteri tidak cekap mengurus rumah tangga, maka sama-samalah diperbaiki untuk mencari jalan keluarnya. Jangan lupa, senjata paling ampuh adalah saling mendoakan pasangan kita.
Tetapi…jika penceraian tidak dapat dielakkan, terimalah sebagai ujian yang hanya Allah mengetahui hikmah disebaliknya. Sedihnya wanita hari ini, selepas bercerai perlu turun naik mahkamah lagi selama bertahun-tahun untuk tuntutan nafkah anak, tuntutan hak penjagaan anak atau tuntutan harta sepencarian. Malah, ramai ibu tunggal yang terpaksa mencari pekerjaan demi membesarkan anak-anak. Di manakah wali mereka? Di manakah pemerintah yang adil? Bukankah wanita dalam Islam tidak perlu menafkahi orang lain hattakan diri sendiri sehingga habis hayat mereka? Lupakah kalian pada firmanNya: “Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu” [TMQ al-Baqarah (2):233]
Wahai pemerintah! Berhukumlah keseluruhannya dengan Islam, nescaya semua masalah wanita akan selesai!