Konferens Wanita Catat Sejarah Perjuangan Wanita Malaysia
Dalam ucapan pembukaan, Ukhti Syamsiyah selaku pengarah program telah membangkitkan realiti dalam kalangan umat Islam yang tidak mengenali secara benar tentang sebuah institusi pemerintahan Islam yang dinamakan Khilafah. Jadi, konferens ini dianjurkan bagi menyedarkan umat Islam khususnya wanita tentang hakikat sebenar Khilafah sebagai sebuah negara Islam yang telah diwariskan oleh Rasulullah S.A.W.
Dalam pembentangannya yang bertajuk ‘Wanita Dalam Daulah Khilafah Pada Masa Kegemilangan Dan Keruntuhannya’, Ummu Hani selaku panel pertama telah menjelaskan bahawa umat Islam pernah menjadi umat terbaik selama berada di bawah pemerintahan Khilafah. Namun, wanita seluruh dunia telah melalui pelbagai episod duka dalam kehidupan semenjak ia diruntuhkan pada 3 Mac 1924.
Aisyah pula menerangkan tentang realiti kehidupan wanita di bawah sistem kapitalisme dalam pembentangannya yang bertajuk ‘Realiti Kesengsaraan Wanita Malaysia Pasca Keruntuhan Khilafah’. Sistem kapitalisme yang meletakkan manfaat dan keuntungan sebagai tujuan utama kehidupan telah meletakkan wanita sebagai satu aset ekonomi yang kemudian dieksploitasi untuk golongan kapitalis (pemilik modal) dan negara semata-mata. Kesannya, wanita terpaksa mengabaikan kewajipan utamanya sebagai ibu dan pengurus rumah tangga.
Dalam pembentangannya yang bertajuk ‘Seruan Kebangkitan: Kesejahteraan Wanita Di Bawah Naungan Syariah dan Khilafah’, Ummu Kalsom selaku pembentang terakhir telah membuat penggulungan dengan penuh rasa perhambaan pada Allah bahawa menegakkan Khilafah adalah satu kewajipan atas setiap Muslim termasuk wanita. Dengan mengungkapkan beberapa dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah, sesungguhnya Khilafah itu pasti akan tegak kembali untuk kali yang kedua dan kemunculannya sudah tidak lama lagi dengan izin Allah. Para hadhirat tidak putus-putus melaungkan kalimah syahadah dan ‘al-Imraah turid Khilafah Islamiyah’ (Wanita mahukan Khilafah Islam) setelah ucapannya yang penuh bersemangat.
Majlis turut diselang-seli dengan tayangan ucapan dan seruan daripada wakil Muslimah Hizbut Tahrir Jordan, Yemen, Palestin, Australia dan juga UK. Di akhir majlis, sesi soal jawab berlangsung dengan meriah sekali apabila banyak soalan dan pendapat diutarakan oleh peserta di dalam dewan dan penonton siaran langsung. Seorang peserta daripada Indonesia mengambil kesempatan menyeru supaya wanita di Malaysia bergabung dengan perjuangan yang sedang gencar di Indonesia. Soalan-soalan yang tidak sempat dijawab kerana kekangan masa telah dijawab dalam satu slot khas ‘Diskusi Panel Konferens Wanita’ yang dirakam secara langsung pada 4 Mac 2013 di Khilafah Centre [Rakaman boleh dilihat di laman sesawang http://www.ustream.tv/channel/hizbuttahrirmalaysia].
Majlis kemudiannya ditutup dengan bacaan doa dan tayangan video perjuangan Muslimah Hizbut Tahrir seluruh dunia.
MHTM dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang telah berusaha untuk hadir ke Konferens Wanita ini sama ada yang jauh atau dekat. Semoga tegaknya kembali Khilafah di atas muka bumi ini akan terealisasi tidak lama lagi, Insya Allah.