Bolehkah Wanita Dinikahkan Dengan Wali Hakim?
Ada seorang perempuan yang hendak berkahwin, tetapi tidak mendapat kebenaran walinya. Pelbagai alasan dikemukakan, antaranya adalah faktor ekonomi calon suami,tidak sama darjat,perbezaan umur yang ketara atau pelbagai lagi alasan lain. Bolehkah perempuan berkenaan dinikahkan oleh wali hakim?Jawapan:
Jika wali tidak memberi izin, mestilah dilihat dahulu apa alasannya, sama ada ianya alasan syar’ie ataupun bukan.
Alasan syar’ie adalah alasan yang dibenarkan dalam hukum-hakam Islam. Contohnya anak gadis berkenaan telahpun menerima pinangan lelaki lain, atau calon suaminya adalah seorang kafir, atau mempunyai kekurangan upaya yang menghalangi tugasnya sebagai suami dan sebagainya. Jika wali menolak menikahkan anak gadisnya berdasarkan alasan syar’ie seperti ini, maka keputusan wali wajib ditaati dan perwaliannya tidak berpindah kepada pihak lain (iaitu wali hakim). [HSA Alhamdani, Risalah Nikah, ms. 90-91].
Apabila perempuan itu tetap meneruskan niatnya untuk berkahwin dalam mana-mana keadaan seperti digambarkan di atas, maka aqad nikahnya tidak sah, walaupun dia dinikahkan oleh wali hakim. Ini kerana keadaan di atas tidak menyebabkan hak perwaliannya boleh dipindahkan kepada wali hakim. Oleh itu perempuan tadi seolah-olah bernikah tanpa wali (yang sah), sehingga pernikahannya juga tidak sah. Sabda Rasulullah SAW,”Tidak [sah] nikah kecuali dengan wali.” [HR. Ahmad; Subulus Salam, III/117].
Adakalanya wali menolak menikahkan dengan alasan yang tidak syar’ie, iaitu alasan yang tidak dibenarkan hukum syariat. Misalnya kerana calon suami bukan dari bangsa atau suku kaum tertentu, dari golongan tidak berada, tidak mempunyai kelulusan sarjana, dan sebagainya. Ini semua adalah alasan-alasan yang tidak ada asasnya dalam pandangan syariah, maka tidak dianggap sebagai alasan syar’ie. Jika wali tidak mahu menikahkan anak gadisnya kerana alasan-alasan itu, maka wali tersebut termasuk wali ‘adhol, iaitu wali yang enggan menikahkan perempuan di bawah perwaliannya ketika mana perempuan itu meminta keizinan untuk menikah.
Seorang bapa atau wali , jika mendapati anaknya atau gadis dalam perwaliannya telah bersedia menikah, mestilah mendorong dan memudahkannya untuk bernikah, sesuai dengan firman Allah [TMQ an Nuur (24):32] “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin)..”.
Perlu diingat bahawa faktor utama memilih pasangan adalah agama/keimanan, sedangkan perkara-perkara lain diserahkan kepada keredhaan bakal isteri. Jika seorang wanita telah dipinang, dirinyalah yang berhak untuk menerima atau menolaknya, dan bukan hak walinya. Jika wanita itu berkeinginan kahwin, dia tidak boleh dihalang untuk melakukannya, kecuali dengan alasan syar’ie. Sungguh aneh dan menyedihkan apabila ada bapa atau wali yang suka menjadi batu penghalang perkahwinan wanita dalam jagaannya. Firman Allah : “Janganlah kamu (para wali dari pihak wanita) menghalangi mereka mengahwini bakal pasangan mereka jika telah ada kesesuaian di antara mereka dengan cara yang maa’ruf.” [TMQ Al Baqarah(2): 232].
Diriwayatkan dalam sahih Bukhari bahawa sebab turunnya ayat ini adalah tentang sahabat Ma’qal bin Yasar yang melarang adik perempuannya berkahwin semula dengan bekas suaminya, padahal adiknya jelas-jelas menginginkan berkahwin semula. Selanjutnya turunlah ayat 232 surah al Baqarah dan Ma’qal bertanya kepada Rasulullah SAW. Baginda menjawab “Kahwinkanlah dia (adikmu) dengannya (lelaki yang meminangnya).”
Ayat di atas melarang amalan ‘adhol iaitu menghalang-halangi wanita berkahwin ketika dia ingin berkahwin. Jelaslah bahawa amalan ini adalah haram dan pelakunya (iaitu wali) adalah fasiq . [Taqiyuddin An-Nabhani, An-Nizham Al-Ijtima’i fi Al-Islam, ms. 116].
Jika wali berkenaan tetap tidak mahu menikahkan, maka perwaliannya berpindah kepada wali hakim (Imam Asy-Syirazi, Al-Muhadzdzab, II/37; Abdurrahman Al-Jaziri, Al-Fiqh ‘ala Al-Madzahib Al-Arba’ah, IV/33). Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW,”…jika mereka [wali] berselisih/bertengkar [tidak mahu menikahkan], maka penguasa (as-sulthan) adalah wali bagi orang [perempuan] yang tidak punya wali.” [HR. Al-Arba’ah, kecuali An-Nasa`i. Hadits ini dinilai shahih oleh Ibnu ‘Awanah, Ibnu Hibban, dan Al-Hakim, Subulus Salam, III/118).
Jika seorang perempuan meminta dinikahkan, dan walinya berkeberatan tanpa ada alasan syar’ie, maka hakim mesti memberi nasihat kepada wali agar mencabut keberatannya. Jika wali tetap tidak memberi kebenaran berkahwin, maka hakim berhak menikahkan perempuan itu. [Sulaiman Rasyid, al Fiqh al Islami]
Yang dimaksudkan dengan wali hakim, iaitu orang yang memegang kekuasaan (pemerintah), sama ada zalim atau adil. [Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam II/118]
Seorang pemerintah boleh menjadi wali bagi orang/rakyat yang melantiknya. [Syaikh Kamil Muhammad Uwaidah, Al Jami’ fi Fiqhi An Nisa]. Oleh itu pemerintah yang berkuasa saat ini walaupun zalim kerana tidak menjalankan hukum-hukum Islam dalam masyarakat dan negara- dibenar menjadi wali hakim, dengan syarat mesti menjaga hukum-hukum syara’ dalam urusan pernikahan. Wallahu a’lam