Nahdhah Fikriyyah : Hapuskan Dosa Pelaburan Di Bulan Ramadhan

NAHDHAH FIKRIYYAH – EDISI 12 SIRI 3 RAMADHAN 1434H / OGOS 2013

HAPUSKAN DOSA PELABURAN DI BULAN RAMADHAN

Betapa untungnya menjadi umat Muhammad S.A.W kerana kita dikurniakan satu bulan yang penuh kerahmatan, pengampunan dan pembebasan dari api neraka. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharap redha Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu
.” [HR Al-Bukhari dan Muslim]

Berdasarkan hadis di atas, maka peluang ini tidak wajar disia-siakan oleh setiap Muslim bagi membersihkan dosa-dosa lalu serta mengharapkan pengampunan daripada Yang Maha Esa.

Pengertian Dosa
Dosa membawa maksud,  “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada kerana meninggalkan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya”. [Ihya’ ‘Ulumuddin, Imam al-Ghazali, jil. 4.]. Justeru itu, memohon pengampunan adalah sesuatu yang wajib disertai dengan taubat nasuha agar memperoleh sebaik-baik ganjaran daripada Allah S.W.T.

Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga) [TMQ An-Nisa’(4):31].

Dari Abu Harairah r.a, Rasulullah S.A.W juga bersabda,

اَلصَّلَوَاْتُ الْخَمْسُ وَ الْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَ رَمَضَاْنَ إِلَى رَمَضَاْنَ مُكَفِّرَاْتُ مَاْ بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَاْئِرُ

Solat lima waktu, solat jumaat hingga jumaat berikutnya dan ramadhan hingga ramadhan berikutnya menjadi penebus dosa-dosa (kecil yang berlaku) di sela-sela waktu tersebut selama dijauhi dosa-dosa besar [HR Imam Ahmad, Muslim dan Tarmizi].

Tetapi, amat sedih sekali apabila masih terdapat orang-orang yang telah sia-sia amal perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka telah berbuat sebaik-baiknya. Ramai manusia yang menyangka bahawa mereka akan masuk syurga tetapi setelah dihisab ternyata mereka bukan ahlinya. Mereka telah melakukan pelbagai amalan sunat, berpuasa, bersedekah,bertahajud namun ternyata itu tidak memadai.

Ternyata mereka telah dihalang oleh sesuatu. Inilah yang dinamakan masih membuat dosa pelaburan. Maknanya, mereka masih mendiamkan diri dan membiarkan umat Islam lain bergelumang dalam dosa kemungkaran tanpa sebarang usaha untuk menegur atau mencegah.

Jalan Menghapuskan Dosa Pelaburan
Sehubungan dengan itu,  selain melakukan amal membersihkan diri melalui ibadah Ramadhan, kaum muslimin juga harus melengkapinya dengan usaha membersihkan sistem kehidupaan saat ini daripada segala kemungkaran. Punca utama semua kemungkaran yang kini terjadi adalah kerana belakunya kemungkaran terbesar iaitu mengabaikan penerapan dan pelaksanaan syariat Islam dalam kehidupan. Penerapan sistem selain Islam telah merosakkan kehidupan umat sehingga terjejas juga ibadah puasanya. Inilah akibat ditinggalkannya syariat Islam. Padahal sungguh jelas Allah S.W.T telah menunjukkan kepada umat manusia jalanNya yang lurus agar manusia tidak tersesat.

 وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), yang akan memecahbelahkan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa [TMQ al-An’am (6):153].

Dan ingatlah, bahawa aktiviti untuk mengubah rejim-rejim pemerintah yang rosak saat ini dan aktiviti untuk menegakkan Khilafah, bukan masalah hidup atau mati sahaja.

Namun itu adalah kewajipan daripada Allah S.W.T, sehingga berdiam dirinya kaum Muslim dari melaksanakan kewajipan ini, serta diamnya mereka terhadap kezaliman para penguasa, akan menjadikan situasi umat Islam semakin buruk di dunia ini malah layak untuk mendapatkan azab Allah dan murkaNya di akhirat kelak. Renunglah kembali sabda Rasulullah S.A.W,

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لاَ يُعَذِّبُ الْعَامَّةَ بِعَمَلِ الْخَاصَّةِ حَتَّى يَرَوْا الْمُنْكَرَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْهِمْ وَهُمْ قَادِرُونَ عَلَى أَنْ يُنْكِرُوهُ فَلاَ يُنْكِرُوهُ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَذَّبَ اللَّهُ الْخَاصَّةَ وَالْعَامَّةَ

Sesungguhnya Allah Yang Maha  Perkasa lagi Maha Tinggi tidak akan menyeksa masyarakat secara umum akibat perbuatan orang tertentu, sehingga ia melihat kemungkaran di depan mereka. Sementara mereka mampu untuk mengingkarinya, namun mereka tidak mengingkarinya. Apabila mereka melakukan itu, maka Allah akan mengazab orang tertentu dan masyarakat umum[HR. Ahmad].

Maka peringatan keras untuk kita dalam rangka memenuhi ketaatan kepada Allah agar tidak memilih-milih perintah dan laranganNya. Sungguh kita cukup bersemangat mengerjakan puasa, solat tarawih dan tadarrus al-Quran. Jadi, mengapa kita tidak bersemangat menjawab panggilan Allah untuk bersegera menerapkan syariat Islam dan menegakkan Khilafah? Lupakah kita dengan peringatanNya,

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍۚ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَاۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat [TMQ al-Baqarah (2):85].

Khatimah
Mudah-mudahan hikmah berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini,  iaitu ketaqwaan (takut kepada Allah, mentaatiNya dan mempersiapkan diri untuk berjumpa denganNya) dapat diraih oleh seluruh kaum muslimin. Maka hendaklah dosa pelaburan yang telah lama diabaikan, dapat dilangsaikan segera seperti peringatan Allah S.W.T, “Sebelum datangnya hari di mana harta dan anak-anak tidak lagi bermanfaat, kecuali orang yang menjumpai Allah dengan hati yang bersih. Dan syurga didekatkan kepada orang-orang yang bertaqwa[TMQ Asy-syu’aara’(26):88-90].

Wallahua’lam.