Nahdhah Fikriyyah : Tinggalkan Stereotaip Ramadhan!

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan!

Bulan mulia yang dinanti-nantikan seluruh umat Islam tiba lagi. Ramai yang menyambutnya dengan keadaan selesa dan aman, tetapi ada yang menyambutnya dengan penuh kedhaifan dan kesengsaraan. Walau apa pun keadaannya, tuntutan memenuhi khitab asy-Syari’ (seruan Pembuat hukum) supaya berpuasa adalah wajib dilaksanakan agar menjadi hambaNya yang bertakwa. Namun sayangnya, sekali lagi kita saksikan Ramadhan yang dilalui tahun ini mempunyai ‘skrip’ yang serupa dengan Ramadhan tahun-tahun sebelumnya.

1 Ramadhan Yang Beragam
Seperti sudah dijangka, umat Islam di seluruh dunia memulakan 1 Ramadhan pada hari yang berbeza. Pelik tetapi benar! Bukankah bulan itu satu dan umat Islam juga satu akidahnya? Secara fiqhnya, perbezaan 1 Ramadhan antara negeri-negeri umat Islam adalah kerana adanya perbezaan pendapat tentang kaedah syarak untuk menetapkan awal Ramadhan, sama ada kaedah rukyah atau kaedah hisab (falak). Namun, faktor utamanya adalah persempadanan negara dengan assabiyyah dan wataniyyahlah  yang menjadi punca masalah di mana negeri-negeri umat Islam terpecah belah dan kaum Muslimin hidup tanpa pemimpin yang satu dan menyatukan. Dari segi fiqh mengenai penentuan awal Ramadhan, ada nas yang jelas menyatakan bahawa umat Islam secara keseluruhan mestilah melakukan rukyah hilal (melihat anak bulan) dan jika hilal tidak kelihatan, barulah hisab dilakukan. Hisab yang dimaksudkan di sini ialah menggenapkan kiraan bulan Sya’ban kepada 30. Rasulullah SAW bersabda,

Berpuasalah kalian apabila melihat hilal (anak bulan), dan berbukalah (berEidul Fitri) kalian apabila melihat hilal. Dan jika hilal itu tertutup dari (penglihatan) kalian, maka sempurnakanlah (genapkanlah) bilangan bulan Sya’ban itu 30 hari”  [HR Bukhari dari Abu Hurairah].

Adakah Al-Quran Sekadar Bacaan?
Di bulan yang mulia ini juga dapat kita melihat ragam umat Islam yang berlumba-lumba untuk mengkhatam bacaan 30 juzuk al-Quran bagi meraih tawaran gandaan pahala daripada Allah SWT. Bukan sahaja di masjid dan surau, di sekolah dan pejabat, malah yang terkini melalui WhatsApp Group yang membuka cabaran ODOJ (One Day One Juzuk). Hal ini (tadarus al-Quran) memanglah dituntut, tetapi persoalannya, berapa ramai umat Islam yang benar-benar menghidupkan al-Quran dalam urusan peribadinya dan ketika bermuamalah dengan orang lain? Berapa ramai pula pemimpin-pemimpin yang beragama Islam menjalankan pemerintahan negara berdasarkan al-Quran? Inilah yang dikhuatirkan oleh Rasullah SAW kepada umatnya sebagaimana firman Allah SWT,

Berkatalah Rasul, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sebagai suatu yang diabaikan”  [TMQ al-Furqan (25):30].

Renungilah fungsi al-Quran yang sebenar melalui ayat Allah ini,

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)[TMQ al-Baqarah (2):185].

Ibnu Katsir menjelaskan bahawa ini adalah pujian Allah terhadap al-Quran, bahawa Dia menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi para hamba yang beriman kepada al-Quran dan membenarkan serta mengikuti tuntutan al-Quran. Sedangkan bayyinaat ertinya sebagai dalil dan hujah yang jelas, terang dan nyata bagi orang yang memahami dan mentadabburnya, sehingga menunjukkan bahawa al-Quran itu benar-benar sebuah petunjuk yang menafikan kesesatan dan sebuah pedoman yang menafikan penyimpangan. Al-Quran juga diturunkan sebagai pembeza antara hak dan batil serta antara halal dan haram” (Tafsir Ibni Katsir, 1/502).

Beringatlah! Jangan Jadi Muslim Ramadhan

Setelah menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar, maka saat berkumandang azan maghrib, umat Islam menikmati hidangan berbuka yang merupakan sebuah kenikmatan baginya. Namun, fenomena biasa di Malaysia sejak berzaman ialah ramai Muslim yang sangat berlebihan di dalam berbuka, malah berbuka dengan “mewah” di hotel-hotel telah menjadi satu tradisi bagi sesetengah orang. Sikap berlebihan di dalam berbuka ini sering mengundang kelalaian kepada sebahagian Muslim tatkala  masih ramai lagi saudara-saudara mereka yang terpaksa berbuka dengan segelas air kosong dan sekeping roti malah ada yang terus ‘berpuasa’ sehingga mendapat makanan. Setiap Muslim seharusnya sentiasa bersyukur, insaf, mengingati dan mengambil berat akan urusan saudaranya yang lain. Rasulullah SAW bersabda,

Seseorang Muslim  itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Maka janganlah menzaliminya dan juga janganlah membiarkan dia dizalimi. Sesiapa yang menunaikan keperluan saudaranya maka sesungguhnya Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang membantu meringankan penderitaan saudaranya maka Allah SWT akan meringankan penderitaan-penderitaannya. Sesiapa yang menutup (keaiban) seseorang Muslim, maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat kelak[HR Bukhari].

Selain itu, merupakan fenomena biasa juga di Malaysia dengan sebahagian wanita Islam yang sering kali dilihat memakai topeng ‘Muslim Ramadhan’.  Terdapat segelintir Muslimah yang memilih untuk menutup aurat dengan sempurna hanya di bulan Ramadhan, tetapi sebaik sahaja masuk 1 Syawal, auratnya kembali dipamerkan. Apa yang perlu dihayati daripada keberkatan bulan Ramadhan ini adalah Allah SWT mewajibkan puasa supaya hamba-hambaNya menjadi orang yang bertakwa. Firman Allah SWT,

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” [TMQ al-Baqarah (2):183].

Ketakwaan hanya dapat diraih apabila seseorang itu menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya dan perintah takwa ini bukan hanya berlaku di bulan Ramadhan. Bulan yang mulia ini sepatutnya memberi motivasi yang lebih kuat kepada umat Islam untuk terus konsisten bertakwa (mengerjakan kewajipan dan meninggalkan larangan) sepanjang masa, tidak hanya ketika Ramadhan.

Seandainya Ada Khilafah
Fenomena-fenomena stereotaip di atas perlu dihilangkan segera dengan bersungguh-sungguh demi memastikan umat Islam terus hidup dalam suasana ketakwaan. Kuncinya hanya satu iaitu umat ini mesti kembali hidup dengan Islam secara kaffah (keseluruhan) melalui satu institusi pemerintahan yang mulia iaitu Daulah Khilafah. Menjelang awal Ramadhan, Khalifah dengan serius akan mempersiapkan usaha merukyah hilal Ramadhan sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis baginda. Setelah terlihatnya hilal di mana-mana bahagian pun di dunia ini, maka Khalifah akan segera mengumumkan masuknya 1 Ramadhan atau sekiranya hilal tidak kelihatan, maka bulan Sya’ban akan digenapkan kepada 30 hari dan Khalifah akan mengisytiharkan tarikh puasa untuk kaum Muslimin seluruh dunia, tanpa mengira batas sempadan geografi sesama Islam, yang sudah tidak lagi wujud di waktu itu.

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini tidak akan kita isi hanya dengan menahan lapar dan dahaga, membaca al-Quran atau solat tarawih berjemaah semata-mata, tetapi juga akan diisi dengan berperang di jalan Allah SWT (jihad fi sabilillah) sebagaimana Rasulullah SAW telah menggerakkan umat Islam untuk berjihad dalam perang Badar. Rasulullah SAW juga telah melakukan Fathu Makkah (pembukaan kota Mekah) pada bulan Ramadhan. Khalifah yang kita nanti-nantikan juga akan menggerakkan umat Islam di seluruh penjuru dunia, menggerakkan tentera-tentera Islam yang telah sekian lama ‘disimpan’ di kem-kem tentera, untuk segera meraih status syahid atau kemenangan, dengan membebaskan negeri-negeri umat Islam yang masih dijajah oleh negara-negara imperialis.

Dengan adanya Khilafah, kita tidak hanya akan menikmati juadah berbuka yang banyak dan enak  sementara membiarkan saudara-saudara kita di tempat lain berbuka dengan bedilan roket dan peluru-peluru pihak musuh. Kita tidak hanya akan duduk bertasbih dan berzikir khusyuk di sudut-sudut masjid meraih manfaat individu, sementara kita membiarkan masjid-masjid di tempat lain dikuasai dan dirobohkan oleh puak kuffar. Kita tidak hanya akan menangis pilu di saat berdoa di malam Qadar yang sepi, sementara kita membiarkan tangis pilu ribuan anak yatim dan para wanita yang kehilangan sanak saudaranya di seluruh dunia. Dengan adanya Khilafah, seluruh hukum-hakam Islam mencakupi aspek ekonomi, politik, pergaulan, pemerintahan, pendidikan, pengadilan, keamanan dan hubungan luar negeri dapat ditegakkan sehingga umat Islam sentiasa hidup dalam suasana mengejar kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Khatimah
Maka hendaklah seluruh kaum Muslimin umumnya dan Muslimah khususnya, berusaha menjadikan Ramadhan kali ini sebagai momentum untuk segera menguburkan assabiyyah, wataniyyah dan sekularisme yang menyebabkan Ramadhan kita menjadi stereotaip saban tahun. Kemudian, semua itu harus digantikan dengan penerapan syariah Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam segenap aspek kehidupan melalui institusi negara Islam iaitu Daulah Khilafah ar-Rasyidah ‘ala minhaj an-nubuwwah. Sekiranya seluruh usaha ditujukan untuk menegakkan agama Allah, itulah makna keimanan sejati dan ketakwaan hakiki. Itulah pula bukti yang menunjukkan bahawa kita benar-benar berjaya menjalani puasa sepanjang bulan Ramadhan dengan benar.  Ya Allah, jadikanlah Ramadhan kali ini yang terakhir tanpa Khilafah…. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Wallahu’alam.