Nahdhah Fikriyyah Syawal: Fenomena Muslim Ramadaniyun

Oleh: Farisha Aris (Aktivis MHTM)

Muqaddimah
Syawal yang dinanti-nanti oleh segenap lapisan masyarakat telah tiba. Bulan Ramadan bulan yang penuh rahmat telah pun berlalu pergi dan pasti dirindui oleh umat Islam yang sentiasa ingin meraih mardhatillah (keredhaan Allah). Apa yang kita harap-harapkan adalah Ramadan kali ini menjadi momentum untuk umat Islam melakukan amal soleh sebanyak mungkin setiap masa, seterusnya melakukan perbaikan yang diharapkan akan kekal sepanjang tahun. Dari Aisyah RA beliau berkata,
 
“Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa banyak di bulan tertentu dalam satu tahun, melebihi puasa beliau ketika pada bulan Sya’ban. Dan baginda bersabda, ‘Lakukanlah amalan yang mampu kalian lakukan, kerana Allah tidak akan bosan hingga kalian sendirilah yang bosan. Dan amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang terus-menerus dilakukan meskipun sedikit’” [HR Muslim No. 1958]

Memposisikan Tazkiyatun Nafs
Dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri kali ini, haruslah kita ingat bahawa Ramadan yang telah berlalu seharusnya menjadi pemangkin pada setiap Muslim untuk melakukan muhasabah diri supaya dia bukan sahaja melakukan banyak amal soleh tetapi juga melakukannya dengan benar. Ramai dalam kalangan umat Islam kini yang hanya memfokuskan diri pada ibadah ritual terutamanya di bulan Ramadan kerana mereka memahami erti tazkiyatun nafs (pensucian diri) daripada sudut yang sempit. Mereka memahami bahawa tazkiyatun nafs adalah aktiviti jiwa yang menenangkan hati. Oleh kerana itu, tidak hairan jika ramai daripada mereka yang hanya menjalankan ibadah dengan tujuan untuk memperbaiki diri sendiri seperti solat tarawih, puasa, tidak berbohong, membaca al-Quran, berzikir dan bersabar. Namun begitu, hakikatnya makna sebenar tazkiyatun nafs tidak sesempit yang selama ini difahami oleh umat Islam.

Tazkiyatun nafs
bererti beribadah kepada Allah SWT dengan menerapkan seluruh hukum Allah SWT sama ada ibadah solat atau menghindari riba, membaca al-Quran atau menegakkan Khilafah mahupun berzikir ataupun berjihad. Semua ini adalah aktiviti-aktiviti yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT (taqarrub ila Allah). Dengan itu, jiwa kita dengan sendirinya akan menjadi tenang dan suci bersih. Hakikatnya, kesucian jiwa akan kita perolehi jika kita selalu menjadikan Allah SWT dan RasulNya lebih kita cintai daripada diri, keluarga dan harta kita serta menjadikan halal dan haram sebagai tolok ukur perbuatan kita.

Memang benar, Ramadan datang hanya satu kali dalam satu tahun dan berlangsung dalam satu bulan sahaja.  Namun begitu, seharusnya amal-amal baik yang sudah biasa dilakukan pada bulan Ramadan tidak seharusnya berhenti serta merta setelah Ramadan berlalu pergi.  Ramadan adalah bulan penyucian jiwa serta bulan untuk melatih diri untuk meraih takwa.  Aktiviti-aktiviti dalam bulan Ramadan bagi sesetengah umat Islam akan terasa berat dan banyak cabaran.  Namun hakikatnya, di sebalik semua yang terasa berat itu ada keberkatan dan pahala yang tidak ternilai besarnya.  Sudah semestinya bagi orang-orang yang berjaya mengharungi Ramadan akan merasakan kesannya sampai bila pun. Dia akan memperoleh tenaga dan semangat baru untuk menjalani hari-hari seterusnya selama 11 bulan ke hadapan.  Tenaga dan semangat tersebut merupakan hasil latihan amaliah Ramadan yang dilaksanakan selama sebulan penuh.  Dengan kata lain, amalan-amalan ketika Ramadan akan terlihat hasilnya pasca Ramadan sebagai bukti wujudnya ketakwaan.

Takwa Yang Berterusan

Rasulullah SAW menyuruh kita semua untuk sentiasa bertakwa di mana pun kita berada, bila dan dalam keadaan apa pun di sepanjang hidup kita. Rasulullah SAW bersabda,

Bertakwalah kepada Allah dimana pun/bila pun/dalam keadaan bagaimanapun engkau berada; ikutilah keburukan dengan kebaikan sehingga (kebaikan itu) akan menghapusnya dan berbuat baiklah kepada manusia dengan akhlak yang baik [HR ath-Thabrani dari Abi Dzarr RA.]
 
Berdasarkan perintah Rasulullah SAW dalam hadis di atas, maka ia adalah satu pemahaman yang keliru bahawa takwa hanya ada dalam waktu dan tempat tertentu sahaja.  Takwa tidak hanya ada ketika solat atau tatkala di masjid sahaja. Takwa juga bukan harus dikejar pada bulan Ramadan sahaja. Takwa harus ada selamanya dan sentiasa menyertai kita di mana pun kita berada.  Bahkan kita diperintahkan untuk terus menjaga ketakwaan hingga kematian tiba. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam[TMQ ali-‘Imran (3):102].

Berlalunya Ramadan tidak bererti bahawa semangat beramal pula menurun. Memelihara semangat tersebut adalah sangat penting agar ia tetap menyala dan kita istiqamah (berterusan) dalam ketaatan sebagaimana yang terjadi di bulan Ramadan. Daripada Abu `Amru – atau digelar juga Abu `Amrah – Sufian ibn Abdullah RA beliau berkata,

Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda, Ucapkanlah ‘Aku beriman kepada Allah’. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah [HR Muslim].

Bulan Ramadan juga merupakan masa yang terbaik bagi umat Islam sama ada secara individu mahupun kolektif untuk menjadi orang-orang yang melakukan ketaatan penuh kepada Allah SWT dengan menjalankan segala hukum-hakam dan aturan-aturanNya. Ramadan akan membentuk Mukmin yang taat sepenuhnya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, serta bersedia untuk menjalankan Islam secara kaffah (keseluruhan) baik dalam hal akidah mahupun hukum-hukum lainnya seperti aspek ibadah khusus, makanan, minuman, pakaian, pergaulan, politik, ekonomi dan hubungan antarabangsa. Dengan keterikatan hidup sepenuhnya kepada syariat Allah dalam seluruh aspek kehidupan, maka sifat takut, berharap dan taat kepada Allah

Khatimah

Bulan Syawal yang mulia kali ini janganlah kita sia-siakan dengan pelbagai perkara yang mungkar dan melalaikan seperti hiburan yang berlebihan, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, berpakaian tidak menutup aurat dan lain-lain. Kesempatan bertemu Aidilfitri kali ini sewajarnya dijadikan titik tolak dalam mengusahakan penerapan Islam secara kaffah (keseluruhan) dengan menegakkan semula Daulah Khilafah. Hanya Daulah Khilafah satu-satunya institusi yang akan menerapkan Islam secara kaffah demi memelihara ketakwaan setiap Muslim yang hidup dalam naungannya. Khalifah akan menerapkan al-Quran, kitab yang mengandungi pelbagai bentuk penyelesaian bagi permasalahan manusia. Di dalamnya terdapat segala hukum Islam yang wajib diterapkan oleh setiap Muslim dalam konteks individu, masyarakat dan negara terutamanya. Oleh itu, ayuhlah kita bersama-sama sepanjang masa dalam usaha mengembalikan semula Islam dalam kehidupan manusia dan janganlah kita menjadi Muslim Ramadaniyun iaitu Muslim yang hanya berlumba-lumba melakukan amal soleh di bulan Ramadan sahaja.

Wallahu’alam.

Sumber:
1)    Al-Quran
2)    www.mykhilafah.com
3)    Tafsir Ibnu Kathir; Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur; 2007
4)    Syarah Hadith 40 Imam An-Nawawi
[http:// http://salamgarden.files.wordpress.com/2008/05/hadis-40.pdf]