Nahdhah Fikriyyah: 8 Alasan Tolak Mrs Universe

Muqaddimah
Malaysia merupakan negara Asia pertama yang menjadi tuan rumah pertandingan Mrs Universe World Final (MU) 2014. Pertandingan yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Ogos di Sunway Resort Hotel & Spa, Kuala Lumpur ini dijangkakan disertai oleh 40-45 buah negara. Meskipun penganjur pertandingan iaitu SOGO (KL) Department Store Sdn Bhd  menjanjikan bahawa tidak akan ada pusingan pakaian renang dan semua perwakilan dikehendaki berpakaian sopan sepanjang tempoh pertandingan itu, tetapi pertandingan MU ini tetap mengundang banyak masalah. Dengan demikian, ia tetap WAJIB DITOLAK.

Siapa Yang Wajib Tolak?
Penolakan terhadap pertandingan MU ini tidak hanya wajib dilakukan oleh Hizbut Tahrir atau organisasi Islam yang lain, tetapi ia wajib dilakukan oleh setiap Muslim. Mereka yang prihatin terhadap masa depan generasi terutamanya generasi umat Islam yang merupakan majoriti penduduk di Malaysia, sepatutnya turun padang bagi membantah pertandingan tidak bermoral ini. Penolakan juga wajib ditunjukkan oleh sesiapa pun yang tidak mahu negara ini menjadi mangsa, alat dan ‘pasaran bebas’ bagi produk-produk puak kapitalis dengan cara eksploitasi ke atas wanita ini. Alhamdulillah setakat ini, beberapa buah organisasi dan sebilangan tokoh masyarakat telah MENOLAK penganjuran MU di Malaysia. Namun, pihak PENGANJUR yang bakal mendapat habuan kewangan masih tetap mendukungnya.

Kepada pihak pemerintah, pihak berkuasa agama dan juga media, ketahuilah bahawa penolakan terjadi di mana-mana dan bantahan sedang disuarakan oleh banyak pihak melalui semua medium yang ada. Bantahan telah bermula dan akan terus berlangsung sehingga penganjurannya dibatalkan. Pemerintah dan pihak berkuasa agama seharusnya lebih awal bertindak menggunakan kuasa yang ada untuk melarang penganjurannya di negara ini. Golongan media pula hendaklah jujur dan profesional dalam menyampaikan berita dalam erti kata segala aktiviti penolakan dan bantahan terhadap MU. tidak seharusnya ditutup, sebaliknya dilaporkan dari semasa ke semasa.

8 Alasan Tolak Pertandingan Mrs Universe

1.    Eksploitasi dan Penghinaan ke atas Wanita
MU dimiliki sepenuhnya oleh Mrs Universe Ltd dan ia merupakan pertandingan antarabangsa yang diadakan pada setiap tahun mulai 2007. Objektif pertandingan ini adalah untuk menghormati wanita yang sudah berkahwin dan telah mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka samada dalam keluarga, kerjaya dan sumbangan peribadi kepada masyarakat (http://www.mrsuniverse2014.com/organiser/).

Apapun tujuannya, pertandingan ratu cantik seperti ini (termasuklah Miss Universe dan Miss World) mempunyai satu matlamat iaitu mencari perempuan yang paling cantik secara fizikal untuk dieksploitasi. Buktinya sudah terlalu jelas dan sebenarnya sudah tidak perlu diperkatakan lagi. Falsafah yang dijelaskan sendiri oleh MU Ltd dalam penganjuran pertandingan peringkat antarabangsa adalah untuk membuktikan bahawa wanita yang matang, cemerlang dalam kehidupan, membina keluarga sendiri dan menjadi ibu yang berdikari kerana usaha sendiri adalah wanita yang boleh menggunakan kecantikan mereka demi mencapai sesuatu yang besar  (http://www.mrsuniverseltd.com/).
 
Walaupun MU Ltd berpegang pada falsafah bahawa kecantikan hanyalah sebahagian daripada tarikan seseorang tetapi apa yang kita dapat lihat daripada pertandingannya adalah kenyataan bahawa kecantikan rupa dan bentuk tubuh wanita tetap menjadi perkara yang penting dalam menilai kecemerlangan wanita. Ukuran ketinggian badan, dada, pinggang, pinggul, saiz pakaian (termasuk pakaian renang), warna mata dan rambut menjadi antara kriteria-kriteria pemilihan peserta. Ini menunjukkan bahawa pertandingan MU hanyalah pengesahan bagi eksploitasi (memperalatkan) tubuh badan perempuan.

Pertandingan MU juga meletakkan wanita di tempat yang hina kerana tubuh badan wanita dijadikan tidak ubah seperti  komoditi perdagangan yang dipamerkan di atas pentas dengan gaya catwalk dalam pelbagai jenis fesyen yang menampakkan bentuk tubuh, kemudian diiklankan dalam majalah, surat khabar dan kaca televisyen. Kecantikan wajah dan tubuh badan wanita juga menjadi alat untuk dipromosikan bagi menaikkan rating media, kosmetik dan fesyen. Kita mesti menolak pertandingan seperti ini kerana ianya disasarkan untuk memperalatkan wanita dan merendahkan darjat wanita ke lembah kehinaan.

2.    Liberalisasi Budaya
Di mata dunia, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara umat Islam yang aman dan stabil, sekaligus menjadi ikutan negara umat Islam yang lain. Malaysia terkenal sebagai sebuah negara hub halal kerana mempromosikan dan memperdagangkan banyak produk-produk halal buatan Muslim. Malangya, penerimaan Malaysia atas penganjuran pertandingan MU ini menunjukkan bahawa Malaysia bukanlah sebuah “Negara Islam” seperti yang diwar-warkan selama ini. Bagaimana mungkin sebuah “Negara Islam” boleh membenarkan penganjuran pertandingan sebegini? Membenarkan pertandingan ini berlangsung menunjukkan bahawa pemerintah telah membenarkan, malah sengaja mengimport budaya asing dan liberal masuk ke dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam. Liberalisme membolehkan mereka menerima unsur-unsur asing di mana mereka memiliki kebebasan untuk meyakini atau menolaknya. Lebih teruk lagi, ia memberi gambaran baru kepada masyarakat dunia bahawa Islam tidak melarang penyertaan wanita dalam pertandingan berkenaan kerana “Negara Islam” seperti Malaysia sendiri ‘menghalalkan’nya. Secara langsung atau tidak, ini akan menjadi contoh kepada negara umat Islam lainnya agar bersikap lebih terbuka kepada liberalisasi budaya walaupun ia bertentangan dengan hukum Islam. Pendek kata, Malaysia bukan sahaja merupakan hub halal kepada perdagangan barangan, malah turut menjadi “hub halal” kepada perdagangan tubuh manusia atas dasar liberalisasi budaya! Na’udzu billah min zalik..

3.    Helah Golongan Kapitalis untuk Mengaut Keuntungan
Jumlah penduduk Malaysia seramai lebih kurang 30 juta menandakan peluang pasaran yang sangat menarik dan menguntungkan bagi penjualan pelbagai komoditi terutamanya bagi penganjur pertandingan ini iaitu KL SOGO. KL SOGO adalah satu-satunya gedung terbesar yang berdiri sendiri di Malaysia yang bermatlamat untuk menyediakan pengalaman membeli belah yang unik, menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan kepada para pelanggan secara konsisten. Mereka juga telah berjaya menetapkan kedudukan sebagai destinasi membeli-belah utama di Kuala Lumpur (http://www.mrsuniverse2014.com/organiser/). Dengan menganjurkan pertandingan ini, KL SOGO mampu mempromosikan pasarannya ke level yang lebih tinggi dan mengaut keuntungan yang besar.  Belum lagi termasuk besarnya keuntungan daripada penjualan produk yang menjadi penaja pertandingan iaitu antaranya Akemi, Cheetah, John Master, Poney, Audrey, D’Urban, Voir, Polo dan lain-lain (http://www.mrsuniverse2014.com/sponsors/). Korporasi-korporasi ini merupakan golongan kapitalis yang akan sentiasa mengambil kesempatan daripada penganjuran acara yang bersendikan kebebasan  demi mengaut keuntungan semaksima mungkin tanpa memikirkan baik buruknya terhadap masyarakat. Inilah helah golongan Kapitalis dalam mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi wanita melalui pelbagai aktiviti dan slogan yang dihias indah.

4.    Slogan “One Universe, One Voice, To Stop Violence Against Women” yang Hanya Menjadi Topeng
Slogan yang digunapakai dalam pertandingan ini iaitu “One Universe, One Voice, To Stop Violence Against Women” (Satu Alam Semesta, Satu Suara, Hentikan Keganasan Terhadap Wanita) adalah kebohongan yang dicipta agar pertandingan ini diterima oleh masyarakat. “Menentang Keganasan”  adalah idea yang menyatukan semua peserta yang diangkat setiap tahun meliputi isu yang berbeza. Tahun 2009 telah dikhaskan untuk isu kanak-kanak dan wanita yang ditinggalkan atau mengalami keganasan rumah. Tahun 2010 pula telah dikhaskan untuk isu “Wanita di dunia menentang keganasan dan penyeludupan manusia”. Mereka menjadikan isu-isu penderitaan wanita dan kanak-kanak untuk mendapatkan perhatian masyarakat. Padahal, pertandingan ratu cantik seperti ini adalah salah satu cara pemerdagangan wanita apabila wanita dieksploitasi demi kepentingan dan manfaat golongan kapitalis. Perbuatan ini tidak jauh bezanya dengan jenayah keganasan terhadap wanita kerana semua itu menjadikan wanita sebagai mangsa. Oleh itu, menyokong pertandingan ratu cantik bermakna mengekalkan eksploitasi kecantikan wanita dan sekali gus bersetuju dengan penipuan terhadap slogan menyelamatkan wanita.

5.    Merosak Generasi Umat
Agenda liberalisasi budaya dalam pertandingan ini pasti memberi kesan dan membawa mudarat yang besar kepada umat Islam. Agenda liberalisme yang dibawa Barat setakat ini ternyata berkesan memalingkan umat Islam daripada keterikatannya pada akidah dan hukum-hukum Islam untuk kemudiannya menerima paradigma berfikir, cara hidup dan nilai-nilai Barat. Ajaran Islam liberal pula yang dihadirkan di tengah-tengah umat bertujuan ‘memaksa’ umat Islam untuk menerima budaya asing yang bertentangan dengan hukum Islam sekali gus mengamalkan dan memperjuangkannya tanpa rasa berdosa.  Ia juga telah menterbalikkan kebenaran Islam, menabur keraguan untuk merosakkan keyakinan umat terhadap ajaran Islam dan berusaha untuk menjauhkan kaum Muslimin sejauh-jauhnya daripada Islam. Lebih buruk lagi, jika ajaran ini dibiarkan, maka akidah umat Islam akan terus tergadai, apatah lagi dengan generasi muda yang sukakan hiburan dan gaya hidup bebas. Ajaran liberalisme ini berusaha memurtadkan umat Islam untuk kemudian mendorong mereka agar berpegang dan memeluk keyakinan baru iaitu demokrasi yang bertunjangkan kebebasan. Generasi umat akan terus rosak dengan diimport dan digalakkan budaya maksiat seperti pertandingan Mrs Universe ini.

6.    Pendapatan Haram daripada Pelancongan
Pertandingan yang diadakan di Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ini disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Lebih 40 perwakilan daripada seluruh dunia yang akan terlibat dalam pelbagai aktiviti selama 7 hari akan diperkenalkan kepada budaya rakyat, makanan dan tempat-tempat yang menarik di Malaysia. Jadi, penganjuran pertandingan ini dilihat sebagai peluang besar untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia untuk menarik lebih ramai pelancong asing sekali gus menambahkan pendapatan negara. Ini adalah alasan yang sengaja dicipta untuk memberikan justifikasi kepada masyarakat bahawa penganjuran pertandingan ini memberi manfaat kepada negara. Mereka sudah tidak menghiraukan walaupun pendapatan itu bersumber daripada perbuatan yang haram.

Sesungguhnya Islam telah memuliakan wanita dan meletakkan beberapa hukum khusus untuk kaum hawa ini agar ia tidak menjadi bahan atau objek yang boleh dipergunakan sewenang-wenangnya. Kerana itu, memanfaatkan ‘aspek kewanitaan’ kaum hawa adalah satu perbuatan haram. Diriwayatkan dari Rafi’ ibn Rifa’ah, ia menuturkan bahawa, “Nabi SAW telah melarang kami (mendapat hasil) dari pekerjaan seorang pelayan wanita kecuali yang dikerjakan dengan kedua tangannya. Beliau bersabda (sambil menunjukkan), ‘begini’ dengan jari-jemarinya seperti membuat roti, memintal atau menenun” [HR Ahmad].

7.    Menyuburkan Pesta Maksiat
Dalam semua acara yang akan berlangsung dalam pertandingan ini, para pesertanya bukan hanya dibiarkan tidak menutup aurat dengan sempurna, malah banyak lagi aksi dan aktiviti maksiat lainnya yang datang bersama “pakej” pertandingan tersebut. Ibarat isi dan kuku, acara yang secara nyata mengandungi keharaman mendedahkan aurat wanita sekali-kali tidak akan terpisah dengan perbuatan haram yang lain seperti pergaulan atau percampuran bebas antara lelaki dan wanita (ikhtilat), muzik dan hiburan, makanan dan minuman haram yang mungkin akan disediakan dan sebagainya. Sebagai Muslim, kita perlu faham bahawa bukan sahaja perbuatan-perbuatan tersebut haram, malah ‘majlis’ (pertandingan) itu sendiri adalah haram. Dengan kata lain, pertandingan ini sendiri sebenarnya adalah sebuah pesta maksiat!

Majlis maksiat wajib dihalang bukan hanya untuk mengelak umat Islam dari menyertainya, tetapi ia wajib dihalang (malah dihapuskan sama sekali) dalam masyarakat, termasuklah yang dilakukan oleh non-Muslim secara terbuka atau terang-terangan. Walaupun terdapat sesetengah golongan yang berpendapat bahawa pertandingan ini tiada kaitannya dengan hukum Islam kerana tiada peserta yang beragama Islam, tetapi kenyataan bahawa pertandingan ini adalah sebuah pesta maksiat mestilah dipandang serius demi memastikan keselamatan daripada bencana yang lebih besar. Pesta maksiat, apa bentuknya sekalipun dan walaupun melibatkan non-Muslim kesemuanya, wajib dihalang. Contohnya, jika ada pesta gay atau lesbian yang akan diadakan dalam negara ini oleh non-Muslim seratus peratus, adakah kita boleh membiarkan sahaja hal ini berlangsung dalam negara? Allah SWT berfirman, “Dan jagalah diri kamu daripada dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksaNya [TMQ al-Anfal (8):25].

Dalam sebuah Negara Islam, non-Muslim hanya dibenarkan untuk melaksanakan ajaran agama mereka dalam hal akidah, ibadat, pakaian, makanan dan nikah-kahwin sebatas yang dibenarkan oleh hukum syarak. Mereka tidak dibenarkan (walaupun agama mereka membenarkan) berpakaian tidak senonoh di tempat awam atau bergaul bebas antara lelaki dan perempuan atau mabuk di tengah-tengah masyarakat. Oleh itu, sungguh aneh jika didapati terdapat umat Islam yang menerima malahan menyokong pesta maksiat ini.

8.    Kemungkaran Yang Nyata
Apa yang jelas dalam pertandingan ini, seperti pertandingan ratu cantik yang lain, merupakan platform di mana para wanita akan tampil bergaya di atas pentas mahupun di lapangan, dengan fesyen-fesyen pakaian yang mendedahkan aurat, untuk sengaja dipertontonkan kepada juri dan juga orang ramai untuk dijadikan bahan penilaian. Perbuatan ini, baik dilakukan oleh non-Muslim, apatah lagi oleh Muslim, adalah jelas bertentangan dengan Islam dan merupakan sebuah kemungkaran. Di dalam Islam, wanita merupakan aurat yang wajib dijaga.

Islam telah menempatkan wanita pada kedudukan yang mulia, sebagai satu kehormatan bagi sebuah keluarga, masyarakat mahupun negara. Di samping sebuah kemungkaran yang nyata, pertandingan ini juga merupakan suatu perbuatan yang mengembalikan wanita ke zaman jahiliyah yang penuh dengan kehinaan.

Keizinan yang diberikan oleh pihak pemerintah terhadap penganjuran pertandingan ini menjadi bukti bahawa pemerintah bukan sekadar menutup mata terhadap segala kemungkaran dan kerosakan, malah menggalakkannya lagi. Ia juga membuktikan bahawa pemerintah gagal menjadi pelindung moral rakyatnya dan mendedahkan kemungkaran yang dilakukan oleh negara dalam mengelola ekonomi. Dalam Islam, pemerintah wajib menutup segala pintu kemungkaran dan kemaksiatan. Maksiat adalah penderhakaan kepada Allah SWT. Dengan kata lain, apa sahaja pelanggaran hukum atau keharaman yang dilakukan oleh manusia, ia adalah suatu bentuk kemaksiatan kepada Allah SWT.

Khatimah
Umat Islam memerlukan pelaksanaan syariat yang kaffah dalam bingkai negara Khilafah, agar kehormatan wanita terpelihara dan seluruh umat terjaga daripada bahaya liberalisasi global. Sesungguhnya pertandingan Mrs Universe ini bukan dilakukan tanpa perancangan dan tidak terlepas daripada agenda Barat untuk mempromosikan idea liberalisme, demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan ke dalam tubuh umat Islam. Walaupun ada kelompok Islam yang akan membantah penganjuran pertandingan ini, MU Ltd, penganjur dan para penaja tahu bahawa pemerintah Muslim sekular yang ada sekarang akan pasti dapat merealisasikan objektif mereka atas nama demokrasi dan kebebasan! Begitulah keadaan sebenar pemerintah yang ada pada hari ini.

Dalam keadaan sebegini umat Islam perlu difahamkan bahawa sebenarnya tidak ubah seperti golongan Kapitalis yang sanggup melakukan apa sahaja demi mengaut keuntungan tanpa mengira halal dan haram. Umat Islam juga perlu disedarkan bahawa pemerintah bukan sahaja gagal melindungi rakyat daripada bahaya liberalisasi budaya, sebaliknya menggalakkan lagi kemaksiatan ini. Justeru, umat Islam sepatutnya menolak pertandingan ini kerana masyarakat perlu diselamatkan daripada kerosakan dan bencana akibat penganjurannya.