PEWARIS SHAHIFAH: UMMUL MUKMININ HAFSHAH BINTU UMAR BIN AL KHATTAB

Jibril Alaihi Salam turun kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan berkata kepada baginda tentang Hafshah, ‘Dia adalah wanita yang banyak berpuasa dan mendirikan solat malam, dan dia adalah isterimu di syurgaWANITA TERHORMAT DENGAN LINGKUNGAN KELUARGA YANG MULIA
Hafshah Ummul Mukminin bintu Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab merupakan sosok wanita solehah, yang lahir dari lingkungan keluarga yang mulia dan terhormat. Beliau dilahirkan pada hari-hari yang mulia pula, iaitu lima tahun sebelum Nubuwwah, ketika kaum Quraisy membina semula bangunan Kaabah .  Perselisihan di antara beberapa pihak  tentang  peletakan semula Hajarul Aswad ke tempatnya  akhirnya berjaya dituntaskan secara bijaksana oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.  Di hari yang bersejarah itulah , Hafshah dilahirkan.

Ayahnya tidak perlu diperkenalkan lagi.  Beliau yang memiliki keutamaan besar kerana menggalas jawatan khalifah kedua menggantikan Saidina Abu Bakar As-siddiq.  Cukuplah perkataan Saidatina Aisyah Radiallahu Anha sebagai saksi kemuliaan beliau, “Jika kalian inginkan agar majlis menjadi sempurna, maka hendaklah kalian mengenang Umar bin Al-Khattab”

Ibunya pula bernama Zainab bintu Mazh’un bin Habib, saudara perempuan kepada sahabat yang mulia, Utsman bin Mazh’un, iaitu salah seorang tokoh Muhajirin dan wali Allah yang bertakwa.  Beliau yang mendapat keberuntungan kerana meninggal dunia ketika Rasulullah masih hidup.  Solat jenazahnya diimami oleh Rasulullah SAW sendiri dan beliau menjadi sahabat pertama yang dimakamkan di Baqi’.

Adapun saudara Hafshah adalah Abdullah bin Umar, yang diberi kesaksian oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sebagai orang yang bertakwa dan soleh.  Baginda pernah bersabda, “ Sebaik-baik orang lelaki yang paling baik ialah Abdullah sekiranya dia solat dari sebahagian waktu malam”. Maka, setelah dari itu, Abdullah tidak pernah tidur malam, kecuali hanya sedikit.  Kesaksian inilah yang mengangkat dirinya ke puncak orang-orang yang bertakwa.

Manakala bapa saudaranya pula ialah Zaid bin Al-Khattab, pemimpin mujahid yang bertakwa.  Umar pernah berkata tentang saudaranya itu, “Dia masuk Islam sebelumku, dan gugur syahid sebelumku pula”.

Ibu saudaranya pula ialah Fatimah bintu Al-Khattab, salah seorang wanita yang lebih dahulu beriman dan memeluk Islam, bersama suaminya Sa’id bin Zaid, salah seorang daripada sepuluh pemuda yang mendapat jaminan masuk syurga!.

Di tengah-tengah lingkungan orang-orang yang istimewa inilah Hafshah membesar dan dewasa.  Ketika Mekah bersinar kerana cahaya Islam, keluarganya adalah di antara mereka yang terlebih dahulu memeluknya, seterusnya menjadi barakah bagi kaum muslimin di saat-saat awal dakwah Islam itu.

Hafshah Radhiallahu Anha membesar dengan kecintaan yang mendalam kepada ma’rifat, adab dan ilmu. Beliau berusaha untuk menimba sebanyak mungkin pengetahuan selagi ada jalan untuk itu, sehingga beliau menjadi salah seorang dari kalangan wanita yang fasih.  Beliau belajar membaca dan menulis dari Asy-syifa’ bintu Abdullah Al-Qursyiyah Al- Adawiyah.  Kelebihan inilah yang akhirnya menjadikan beliau wanita utama yang berperanan sebagai pemelihara Al-Quran di kemudian hari.

PERNIKAHAN HAFSHAH
Ketika beliau telah mencecah usia remaja dan sempurna kewanitaannya, beliau dinikahi oleh Khunais bin Hudzafah bin Qais Al-Qursyi As-Sahmy, saudara Abdullah bin Hudzafah.  Khunais termasuk dari kalangan orang-orang yang terlebih dahulu masuk Islam, sebelum Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memasuki rumah Al-Arqam bin Abi-Arqam, iaitu melalui tangan Abu Bakar Ash-Shiddiq Radiallahu Anhu.

Ketika penyeksaan orang-orang Quraisy semakin menjadi-jadi dan kian keras terhadap kaum muslimin, Khunais menyertai mereka yang berhijrah ke Habsyah lalu setelah beberapa lama, beliau kembali semula ke Mekah.  Beliau juga berhijrah bersama-sama dengan Hafshah ke Madinah dan singgah di rumah Rif’ah bin Abdul Mundzir dan Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam telah mempersaudarakannya dengan Abu Abas bin Jabar.  Maka, Khunais adalah di antara para sahabat yang telah melakukan hijrah dua kali.  Beliau gugur sebagai syahid di dalam Perang Badar Kubra.  Beliau bertempur dengan sangat hebat di dalam medan Badar agar kalimat Allah ditempat yang paling tinggi.  Sebenarnya, beliau sudah terluka di bahagian tertentu dari tubuhnya.  Tetapi, beliau tetap nekad bertempur sehingga kemenangan dapat diraih oleh kaum muslimin.  Di dalam perjalanan pulang ke Madinah, beliau meninggal dunia kerana lukanya yang parah.  Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam mensolatkan jenazahnya dan mengebumikannya di Baqi’, bersebelahan makam Utsman bin Mazh’un.

Maka, Hafshah bintu Umar bergelar janda ketika masih berusia awal remaja.  Beliau sangat bersedih atas kematian suaminya, sehingga kesedihan itu tampak jelas pada guratan-guratan kulit di mukanya. Walaupun begitu, beliau tetap dalam kesabaran dan keimanannya semakin teguh.  Beliau termasuk wanita yang utama, ahli ibadah dan wara’, sabar dan taat sehingga beliau menjadi sosok wanita teladan dalam ibadah.

Ayahnya biasa mengunjungi dirinya untuk meringankan penderitaan dan kesedihannya.  Beliau sangat memperhatikan dan menyayangi puterinya itu.  Keadaan Hafshah yang menjadi balu ketika itu sangat merisaukan Umar.  Maka, Umar memerhatikan orang-orang disekelilingnya dengan pandangan yang tajam dengan mempertimbangkan beberapa faktor yang dapat mendatangkan kebahagiaan bagi puterinya, Hafshah.

Salah seorang yang didatangi oleh Umar ialah Utsman bin Affan yang hidup sendirian setelah kematian isterinya, Ruqayyah bintu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.  Maka, secara diam-diam dan penuh harapan, beliau menemui Ustman dan menawarkan Hafshah kepadanya, dengan berkata, “ Jika engkau menghendaki, maka aku akan menikahkanmu dengan Hafshah”.  Ustman menolak dengan alasan bahawa beliau masih belum bersedia untuk bernikah lagi buat sementara waktu.  Kemudiannya, Umar menemui pula Abu Bakar dengan tujuan yang sama tetapi beliau hanya diam membisu.  Umar sangat kecewa dengan jawapan kedua-dua sahabat beliau, lantas pergi menemui Rasulullah untuk mengadu kepadanya.  Rasulullah kemudian menjawab dengan jawapan yang melenyapkan kesedihan hatinya, menyegarkan dan merupakan kesejahteraan dengan bersabda, “Hafshah akan menikah dengan lelaki yang lebih mulia daripada Utsman, dan Utsman akan menikah pula dengan wanita yang lebih mulia daripada Hafshah”

Umar pulang dengan dua pertanyaan yang berputar-putar di benaknya.  Siapakah lelaki yang lebih mulia daripada Utsman?  Siapakah wanita yang lebih mulia daripada Hafshah?  Tidak berapa lama pertanyaan ini menghantuinya, maka Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam melamar Hafshah untuk menjadi salah seorang daripada Ummahatul Mukminin.  Baginda juga menikahkan puterinya Ummu Kultsum dengan Utsman Radiallahu Anhu. Umar bin Al-Khattab merasa bahagia dengan nasab ini, yang mengangkatnya ke darjat yang tinggi.  Sa’id bin Al-Musayab Rahimahullah berkata tentang pernikahan ini, “Allahlah yang memilihkan bagi mereka berdua orang yang lebih baik. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam adalah lebih baik daripada Utsman bagi Hafshah, dan puteri Rasulullah lebih baik dari Hafshah bagi Utsman” [Ath-thabaqat, 8/83]. Rasulullah menikahi Hafshah pada tahun ketiga Hijrah sebelum Perang Uhud. Maharnya sebesar empat ratus dirham.

Ketika Umar Al-Khattab menikahkan Hafshah, beliau bertemu dengan Abu Bakar Ash-shiddiq, lalu Abu Bakar mengemukakan alasan lembut kepada Umar, “ Boleh jadi engkau pernah marah kepadaku ketika engkau menawarkan Hafshah kepadaku, namun aku tidak memberikan jawapan sepatah kata pun kepadamu”
“Ya, benar begitu”
,jawab Umar.

Abu Bakar berkata, “Sesungguhnya tak ada sesuatu yang menghalangiku untuk memberikan jawapan atas tawaran yang engkau ajukan kepadaku melainkan kerana aku telah tahu bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam pernah menyebut tentang Hafshah.  Namun aku tidak akan membocorkan rahsianya.  Sekiranya Rasulullah membiarkan, tentu aku akan menerima tawaranmu” (Diriwayatkan oleh Bukhary).

Hikmah dari peristiwa ini (tindakan Umar menawarkan puterinya terhadap orang-orang yang diyakini baik agamanya) merupakan langkah pembuka kebaikan dan termasuk barakah serta sunnah yang baik. Di antara teladan dari kisah ini, Al-Bukhary telah memasukkan bab khusus dalam Shahihnya, dengan tajuk: Bab seorang lelaki menawarkan puteri atau saudara perempuannya kepada lelaki yang baik”. Kebaikan seperti ini akan sentiasa dibaca dan disebarluaskan serta dicontohi oleh orang-orang yang baik, insyaALLAH.

KEISTIMEWAAN HAFSHAH; ASH-SHAWWANAH AL-QAWWAMAH
Hafshah Ummahatul Mukminin Radiallahu Anha menduduki tempat yang menonjol di kalangan isteri-isteri Nabi yang mulia.  Ummahatul Mukminin Aisyah pernah berkata tentang beliau, “Dialah yang pernah diperbandingkan denganku di antara para isteri Rasulullah” [Siyar A’lamin Nubala; 2/227]

Beliau juga mendapatkan tempat yang selayaknya di sisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, selain termasuk di kalangan lima isteri baginda Nabi yang berasal dari kaum Quraisy, iaitu Aisyah, Hafshah, Ummu Habibah, Ummu Salamah, dan Saudah bintu Zum’ah.

Hafshah Ummul Mukminin Radiallahu Anha juga termasuk wanita yang solehah dan menonjol di dalam pelaksanaan ibadah dengan cara yang benar, terkenal sebagai wanita yang rajin berpuasa sunat dan solat malam.  Dua sifatnya ini merupakan kedudukan yang paling tinggi di dalam ibadah, sehingga Rasulullah menganjurkan kepada pemuda yang hendak menikah, agar mencari wanita dengan sifat seperti ini, “Carilah wanita yang taat beragama, nescaya hal itu cukup bagimu”.

Ibnu Hajar Rahimahullah menyebutkan puasa ibu kita, Hafshah Radhiallahu Anha, dengan berkata, “Hafshah meninggal dunia, sementara beliau belum sempat berbuka puasa”. [Al-Ishabah, 4/265]

Abu Nu’aim Al-Ashbahany membuka biografi Hafshah Radhiallahu Anha dengan berkata, “Seorang wanita yang banyak berpuasa dan solat malam, yang suka mencela dirinya sendiri, dialah Hafshah bintu Umar bin Al-Khattab, pewaris shahifah yang menghimpun Al-Quran” [Al-Hilyah, 2/50]

Ash-Shawwamah, Al-Qawwamah (yang banyak berpuasa, yang banyak solat malam) merupakan julukan yang diberkahi, yang diberikan kepada Ummul-Mukminin Hafshah.

Hafshah Radhiallahu Anha belajar kebaikan secara langsung daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam di sepanjang hidupnya, membesar di madrasah Nubuwwah, sehingga beliau menjadi wanita ahli ibadah, yang alim, bertakwa dan zuhud.  Maka, tidak hairanlah beliau mendapat kesaksian kebaikan, kesolehan dan ketaqwaan dari Jibril Alaihissalam sendiri, ketika berkata, “Dia adalah wanita yang banyak berpuasa sunat dan solat malam” [Siyar A’lamin-Nubala’, 2/228]

Dalam lingkup kehidupan suami isteri, Hafshah Radhiallahu Anha selalu berusaha untuk mendapatkan keredhaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan bersaing dengan Aisyah Radiallahu Anha  untuk memenangi hati Rasulullah.  Berkenaan hal ini, Aisyah Radiallahu Anha pernah berkata, “ Suatu hari, Rasulullah duduk bersama para sahabat.  Lalu aku memasak makanan bagi beliau, dan rupa-rupanya Hafshah juga melakukan hal yang serupa.  Tetapi, ternyata Hafshah telah mendahuluiku.  Lalu ku katakan kepada seorang hamba wanitaku, “Pergilah, dan terbalikkan mangkuk itu supaya isinya tertumpah dan makanan itu jatuh ke lantai.  Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam lalu mengumpulkan semula makanan yang tertumpah tadi lalu memakannya.  Sementara mangkukku (baca: Aisyah) dikirimkan kepada Hafshah, seraya berkata, “Ambillah wadah ini sebagai pengganti wadah lain dan makanlah isinya” [Hayatush-shahabah, 2/536]

Ummul Mukminin Hafshah juga dikenali sebagai wanita yang memiliki ilmu, pemahaman dan ketaqwaan yang tinggi.  Sifat-sifat inilah yang menempatkannya di kedudukan yang mulia di sisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.  Kedudukannya ini tetap ia nikmati semasa zaman Khalifah Abu Bakar, seterusnya pada zaman kekhilafahan ayahnya.  Seringkali ayahnya bertanya sendiri pendapat Hafshah dan meminta hukum-hukum fiqih darinya.  Di antara pertanyaan Umar kepadanya, “Berapa lama seorang wanita dapat bersabar kerana berpisah dengan suaminya?”. Maka Hafshah menjawab, “Empat atau enam bulan” [Ibid, 3/227]

Hafshah Radhiallahu Anha menjadi sumber rujukan para sahabat tentang hadis nabawi berkaitan ibadah. Saudaranya, Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhu belajar daripada Hafshah tentang hal-hal yang dipelajarinya daripada Rasulullah.  Lebih dari itu, Abu Bakar Ash-shiddiq memilih Ummul Mukminin Hafshah Radhiallahu Anha di antara Ummul Mukminin sebagai pemelihara Al-Quran yang pernah dikumpulkannya.

PEMELIHARA AL-QURAN
Setiap kali kita membaca ayat-ayat Al-Quran, tentu kita akan teringat keutamaan Hafshah , kerana beliaulah yang telah memelihara Al-Quran itu di rumahnya, sebagaimana kita tidak akan lupa dengan keutamaan ayahnya, Umar Al-Khattab yang telah mencadangkan kepada Khalifah Abu Bakar untuk mengumpulkan Al-Quran ketika ramai daripada para hafiz gugur sebagai syuhada’ semasa memerangi orang murtad.  Abu Bakar menyetujui usulan Umar ini dan mengarahkan Zaid bin Tsabit Al-Anshary , salah seorang setiausaha Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dengan berkata kepadanya, “Engkau seorang pemuda yang berakal dan kami tidak menyangsikan dirimu. Engkau juga pernah menulis wahyu bagi Rasulullah. Telusurilah Al-Quran dan kumpulkan” [Dala’ilun-Nubuwwah, 7/149]

Allah Subhanahu wa Taala membukakan hati Zaid bin Tsabit untuk melaksanakan tugas berat ini .  Saat itu, Zaid berkata, “Setelah Abu Bakar menyuruhku, maka aku mulai mengumpulkan Al-Quran , menulisnya dengan beberapa potongan kulit, papan dan kayu. Sepeninggalan Abu Bakar, dan digantikan pula oleh Umar, aku menuliskannya di dalam satu shahifah, yang kemudian disimpannya” [Al-Itqan, As-suyuthy. 1/186; Al-Hilyah, 2/52]

Kemudian Umar Al-Khattab Radhiallahu Anhu menyerahkan amanat yang besar ini kepada Ummul Mukminin Hafshah RA agar beliau menyimpan dan menjaganya.  Shahifah Al-Quran ini tetap di tangannya hingga Ustman bin Affan RA memutuskan untuk menulis kembali Mushaf Al-Quran, kerana terjadi perbezaan qira’ah di antara penduduk Iraq dan Syam.  Hudzaifah bin Al-Yaman Radiallahu Anhu menemui Utsman bin Affan dan melaporkan perbezaan itu.  Maka, Utsman segera memerintahkan untuk menulis Mushaf.  Beliau mengirimkan utusan kepada Ummul Mukminin Hafshah RA untuk menyampaikan pesan: “Kirimkanlah lembaran-lembaran yang di dalamnya dituliskan Al-Quran agar kami dapat menuliskannya kembali dalam beberapa Mushaf.  Setelah selesai, kami akan mengirimkannya semula kembali kepadamu

Maka, Hafshah RA mengirimkan lembaran-lembaran itu kepada Utsman.  Kemudian, Utsman memanggil  Zaid bin Tsabit, yang didampingi tiga orang yang fasih dari orang-orang Quraisy, iaitu Abdullah bin Az-Zubayr, Sa’id bin Tsabit dan Abdurrahman bin Al-Harits bin Hisham, lalu beliau memerintahkan agar mereka menulis Al-Quran itu dalam beberapa Mushaf.

Setelah beberapa Mushaf selesai ditulis, Utsman mengirimkan satu mushaf ke setiap wilayah, sedangkan Shahifah aslinya dikembalikan kepada Ummul Mukminin Hafshah semula, penjaga dan pemelihara Al-Quran.

Maka, selayaknya beliau mendapat pujian dan sanjungan di atas amal yang diberkahi ini, sehingga Mushaf tetap terjaga dan terpelihara sepanjang masa sehingga datang ketetapan Allah Subhanah wa Taala, tanpa ada penambahan dan pengurangan, sepertimana firman Allah,

Yang tidak datang kepadanya (Al-Quran) kebathilan, baik dari depan mahupun dari belakangnya, yang diturunkan dari yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji” [TQS Fushilat 41: 42]

Berkenaan tentang Mushaf Hafshah RA, beliau telah mewasiatkannya kepada saudaranya, Abdullah bin Umar, seorang ulama yang bertakwa.  Ketika Hafshah RA meninggal dunia, Abdullah bin Umar mengirimkan Shahifah itu kepada kabilahnya dan menyerahkannya kepada mereka. Setelah itu, barulah jenazahnya dimandikan. [Al-Hilyah, 2/51]

PERAWI HADITH
Di samping keaktifannya mempelajari Kitabullah, Hafshah Radiallahu Anha juga berperanan sebagai perawi hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan menghafalnya.  Ramai para sahabat dan tabi’in yang mendengarkan hadits-hadits Rasulullah melalui Hafshah.  Beliau meriwayatkan 60 hadith dari Rasulullah, 4 daripadanya disepakati Imam Bukhari dan Muslim, enam lagi diriwayatkan sendiri oleh Imam Muslim.

Adapun yang meriwayatkan darinya ialah saudaranya sendiri, Abdullah bin Umar, puteri Hamzah dan isterinya, Shafiyah bintu Abu Ubaid, Ummu Mubasyir Al Ansyariyah , Abdurrahman bin Al-Harits bin Hisyam dan lain-lainnya. [Tahdzibut-Tadzib, 12/410]

PERPISAHAN TERAKHIR
Pada tahun 45 Hijrah, ketika usianya menginjak 63 tahun, Ummul Mukminin Hafshah merasakan semakin dekat detik pertemuannya dengan Allah Subhanahu wa Taala dan dengan orang-orang yang dicintainya.  Beberapa hari setelah masuknya bulan Syaaban pada tahun yang sama, beliau pun meninggal dunia.

Khabar kematiannya menyebar ke seluruh pelosok Madinah; kematian wanita penjaga dan pemelihara Al-Quran, isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.  Maka, para sahabat beramai-ramai menghadiri jenazahnya, yang dipimpin oleh Abu Hurairah dan Abu Sa’id Al-Khudry Radhiallahu Anhuma.  Jenazah beliau disolati oleh gabenor Madinah ketika itu, Marwan bin Al-Hakam dan beliau dimakamkan di Baqi’. Yang turun ke dalamnya ialah dua saudaranya, Abdullah bin Ashim, begitu pula Salim dan Abdullah dan Hamzah, anak-anak saudaranya, Abdullah bin Umar.

NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!
Ummul Mukminin Hafshah Radiallahu Anha termasuk orang yang bersegera kepada kebaikan, beliau merupakan seorang wanita yang memahami makna ibadah yang hakiki, sentiasa menghubungkan hatinya dengan Allah, banyak memperingati Allah, menghindar dari gemerlapan dunia, kerana beliau tahu kebahagiaan dunia dan akhirat hanya diperuntukkan bagi orang-orang yang beriman, khususnya orang-orang yang istiqamah dan taat.  Pada dirinya, terhimpun beberapa sifat yang menjadikan beliau termasuk para penghuni syurga, sehingga beliau pun layak menerima khabar gembira berupa jaminan syurga.

Telah disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah menceraikan Hafshah Radiallahu Anha dengan sekali talak, kemudian beliau merujukinya kembali atas perintah Jibril Alaihi Salam, seraya berkata,

Rujukilah Hafshah, kerana dia seorang wanita yang banyak berpuasa dan solat malam, dan dia isterimu di dalam syurga” (Diriwayatkan oleh Thabrany dengan rijal yang sahih. Lihat Majma’ Az-Zawa’id, 9/245; Siyar A’lamin Nubala, 2/228; Al-Ishabah, 4/265; Al-Hilyah, 2/50; Ath-Thabaqat, 8/84)

Selain itu, Rasulullah juga pernah bersabda, “Isteri-isteriku di dunia, mereka adalah isteri-isteriku di akhirat

Hafshah, yang menghendaki Allah, RasulNya , dan hari akhirat, sehingga Allah menyediakan baginya pahala yang besar, menempatkannya pada kedudukan yang aman dan menetapkannya bersama-sama dengan Ashabul-yaman (golongan kanan).

Semoga segala kebaikan dan teladan dari kisah Hafshah Ummahatul Mukminin Radhiallahu Anha, menjadi contoh ikutan bagi golongan muslimah hari ini.

Wallahu ‘alam bisshawab.