SN303 – RANG UNDANG-UNDANG KESALAHAN KESELAMATAN 2012: PEMERINTAH IKUT AGENDA BARAT

SN keluaran 20 April 2012

  alt

RANG UNDANG-UNDANG KESALAHAN KESELAMATAN 2012:
PEMERINTAH IKUT AGENDA BARAT

[SN303] Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 sedang dalam proses penggubalan di Parlimen sekarang. Rang undang-undang ini yangdibentang untuk bacaan kali pertama pada 10 April lepas telah dibahaskan untuk bacaan kali kedua pada 16 April dan telah pun diluluskan tanpa sebarang pindaan walaupun terdapat beberapa bantahan dari ahli-ahli Parlimen pembangkang. Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (RUUKK) ini dikatakan oleh kerajaan sebagai lebih baik kerana ia memberi jaminan bahawa mana-mana individutidak akan ditahan semata-mata kerana fahaman dan kegiatan politiknya.Berbeza dengan ISA, tahanan akan diberikan hak untuk dibicarakan dan untuk mendapatkan peguam. Terdapat empat kesalahan yang dikategorikan sebagai kesalahan keselamatan menurut rang undang-undang itu iaitu menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta; membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong; memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan dan untuk mendapatkan perubahan selain dengan cara yang sah. Apa yang nyata, kerajaan memberi alasan bahawa tujuan rang undang-undang ini digubal adalah untuk mencegah dan membendung keganasan.

Sebelum kita pergi lebih jauh membincangkan tentang RUUKK ini, persoalan asas yang perlu dijawab ialah, siapakah yang dimaksudkan oleh kerajaan sebagai “pengganas” atau aktiviti apakah yang termasuk di dalam takrif “keganasan” sehingga perlu diwujudkan undang-undang  untuk menyekat perkara ini? Jika dahulu, ISA digubal atas alasan untuk membendung ancaman pengganas komunis, sekarang apakah sebenarnya yang menjadi “ancaman” kepada kerajaan? Kita semua tahu bahawa perang melawan keganasan (war on terror) telah menjadi agenda utama Amerika Syarikat (AS) sejak runtuhnya World Trade Centre (WTC) pada 2001. Kita semua juga tahu bahawa “pengganas” atau “keganasan” yang dimaksudkan oleh AS, tidak lain dan tidak bukan adalah “Islam”. Dengan kata lain, war on terror yang dilancarkan oleh AS adalah sebenarnya war on Islam.

Apa yang pasti, AS tidak keseorangan di dalam agenda memerangi Islam ini kerana para pemerintah kaum Muslimin turut serta dalam mendukung agenda rejim ini. Di dalam memerangi pengganas, mantan Presiden AS, George Bush pernah berkata, “either you are with us or with the terrorist” (maksudnya: jika kamu tidak bersama kami memerangi pengganas, kamu adalah bersama pengganas). Maka, para pemerintah kaum Muslimin berlumba-lumba untuk mencari ‘keredhaan’ AS dalam hal ini.Undang-undang justeru digubal, tangkapan demi tangkapan dilakukan dan segala usaha di dalam negara diperhebat untuk menunjukkan kepada Amerika bahawa para pemerintah ini sedang berusaha bersungguh-sungguh memerangi pengganas. Persoalannya, siapakah “pengganas” yang dimaksudkan jika bukan pejuang Islam? Meskipun pejuang Islam itu berjuang dengan cara yang damai secara politik dan intelektual sekalipun, namun, jika ia tidak disenangi oleh AS (dan para pemerintah kaum Muslimin), maka sudah tentu mereka ini dilabel sebagai pengganas atau ekstremis.

RUUKK – Di Mana Batilnya?

Sepanjang pembentangannya di Parlimen, kerajaan terus menerus memberikan justifikasi betapa “baiknya” RUUKK. Keseluruhan aspek kebaikan rang undang-undang ini, khususnya perbezaannya dengan ISA terus digembar-gemburkan oleh media arus perdana. Namun, sebagai seorang Muslim, untuk kita menilai sama ada sesuatu itu baik atau tidak, miqyas (ukuran) kita adalah hukum syarak, bukannya akal. Penggubalan RUUKK tersebut sebenarnya sudah pun terserlah kebatilannya sejak awal lagi. Ini adalah kerana ia terhasil daripada akal manusia, bukannya dari wahyu. Setiap undang-undang sepatutnya didasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya kepada akal manusia. Justeru, atas alasan ini sahaja, RUUKK ini patut ditolak oleh umat Islam sebagaimana kita menolak ISA, AUKU, Akta Mesin Cetak dan banyak lagi akta-akta lain yang digubal oleh tangan-tangan manusia, yang bertentangan dengan wahyu.

Itu dari aspek asasnya. Dari aspek khususnya, mengenai jaminan kerajaan bahawa tiada tangkapan akan dibuat atas dasar politik, rang undang-undang itu menjelaskan bahawa maksud pegangan politik atau kegiatan politik adalah pembabitan dalam aktiviti yang sah mengikut undang-undang, yakni, pernyataan pendapat dan tindakan politik yang mengikuti peraturan parti politik yang berdaftar sahaja. Ini bermakna, seseorang itu boleh ditangkap jika parti atau kegiatan politiknya adalah tidak berdaftar. Sungguh hal ini merupakan sebuah kebatilan dan kezaliman yang nyata oleh kerajaan. Semua orang tahu bahawa kuasa mutlak terletak kepada kerajaan untuk mendaftarkan atau tidak sesebuah parti politik atau untuk membatalkan pendaftaran sesebuah parti politik yang telah pun didaftarkan. Justeru, jika kerajaan menolak atau menarik balik pendaftaran sesebuah persatuan atau parti politik, maka mengikut RUUKK ini, kita tidak lagi boleh berpolitik kerana ia tidak sah dan jika kita tetap berpolitik, maka di bawah undang-undang yang baru ini, kita boleh ditangkap atas pegangan atau aktiviti politik kita kerana “tidak sah atau tidak berdaftar”!

Kebatilan RUUKK di sini adalah kerana (i) menafikan hak seseorang untuk berpolitik kecuali secara berdaftar atau dengan kata lain “diizinkan” oleh kerajaan (ii) meletakkan ukuran ‘kebenaran’ di dalam melakukan sesuatu perbuatan (berpolitik) kepada “pendaftaran”, bukannya kepada hukum syarak. Walhal, Allah SWT berfirman,

“Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (kelompok) yang mengajak pada kebajikan (Islam), memerintahkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali Imran (3):104].

Di dalam ayat ini, Allah SWT telahmewajibkanadanya segolongan dari umat Islam yang menyeru kepada Islam dan melakukan aktiviti amar makruf nahi mungkar. Dengan kata lain, Allah SWT telah mewajibkan aktiviti muhasabah (termasuk kepada pemerintah) yang mana aktiviti memuhasabah penguasa adalah termasuk aktiviti politik. Justeru, kerajaan, melalui RUUKK ini telah menghalang sebuah kefardhuan dari dijalankan, iaitu kefardhuan muhasabah, berpolitik dan juga berdakwah. Jika Allah SWT telah membenarkan, malah mewajibkan umat Islam berpolitik, penafian hak ini oleh kerajaan merupakan pelanggaran kepada hukum Allah dan sebuah kezaliman yang nyata.

RUUKK memberi kuasa kepada polis melanjutkan tempoh tahanan seseorang individu tidak lebih 28 hari bagi tujuan penyiasatan.Sekiranya pegawai polis berpendapat tahanan lanjut tidak diperlukan, individu terbabit boleh dilepaskan tetapi satu peranti pengawasan elektronik perlu dipasang untuk siasatan.RUUKK juga memberi kebenaran kepada pendakwa raya membenarkan pihak polis memintas sebarang komunikasi sama ada menerusi pos, mesej komunikasi dan mendengar perbualan komunikasi jika mengesyaki ada perlakuan kesalahan keselamatan.Walaupun Islam membenarkan seseorang polis menangkap dan menahan seseorang yang disyaki bersalah, namun orang tersebut mesti dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin. Islam melarang (mengharamkan) untuk polis melakukan tajassus (spying) yakni mencari-cari kesalahan orang. Peruntukan di dalam RUUKK ini telah membolehkan polis melakukan tajassus yang jelas-jelas diharamkan oleh Allah SWT[lihat perbincangan lanjut di dalam SN299 Polis: Antara Kewajipan Dan Keharaman].

Fasal 11 pula memperuntukkan tentang ketidakupayaan mahkamah untuk memerintahkan pendakwa raya mengemukakan apa-apa pernyataan atau ringkasan mengenai maklumat sensitif untuk diterima sebagai keterangan jika menteri membuat perakuan bahawa pengemukaan pernyataan atau ringkasan itu akan memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara. Selain kita tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan “maklumat sensitif” fasal ini memberi kuasa penuh kepada menteri untuk membuat keputusan tentang maklumat sensitif yang mana ia tidak boleh dicabar oleh peguam mahupun mahkamah sendiri. Dengan kata lain, jika menteri telah mengklasifikasikan maklumat itu sebagai sensitif, maka mahkamah terpaksa akur dan tunduk kepada perakuan menteri dan tidak boleh meminta keterangan lagi.  Dari segi undang-undang Malaysia yang ada pun, fasal ini telah menafikan kuasa hakim/mahkamah di dalam membincangkan sesuatu kes dan menunjukkan bahawa kuasa eksekutif (menteri) ternyata lebih tinggi dari kuasa perundangan. Kononnya terdapat tiga pembahagian kuasa di bawah sistem demokrasi?!

Hal di atas jelas bertentangan dengan Islam di mana Islam mewajibkan seseorang hakim itu mendengar segala keterangan dari kedua-dua belah pihak yang sedang bersengketa. Di dalam satu sidang pengadilan, tidak ada orang yang boleh mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan kecuali hakim (qadhi). Di dalam Islam, tidak wujud pihak ketiga (seperti menteri dalam kes ini) yang lebih berkuasa dari hakim di dalam membuat keputusan.Rasulullah SAW tatkala mengangkat Ali bin AbiThalib menjadi qadhi di Yaman, bersabda,

“Jika ada dua orang yang bersengketa duduk di hadapanmu, janganlah engkau berbicara (memberi keputusan) hingga engkau mendengarkan (keterangan) dari pihak satu lagi sebagaimana engkau telah mendengar dari pihak yang pertama”
[HR Ahmad].

Agenda Amerika Di Sebalik RUUKK

Penggubalan RUUKK ini sebenarnya tidak lepas sedikit pun dari perhatian kuffar Amerika. Duta AS ke Malaysia, Paul W. Jones pernah berkata, AS sedia berkongsi pengalamannya dengan Malaysia dalam menggubal undang-undang berkaitan keganasan bagi menggantikan ISA yang dimansuhkan. “Kami akan mengikuti perkembangan ini sehingga ia dibawa ke Parlimen. Ini merupakan satu cabaran bagi semua negara, namun Najib telah menunjukkan komitmennya ke arah itu,” katanya [UM20/09/11].Sejak dulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin sendiri mengakui bahawa di dalam menggubal Akta ini, “undang-undang yang berhubung kait dengan keganasan, seperti Akta Patriot di Amerika Syarikat, Akta Anti Keganasan di United Kingdom dan Australia boleh dijadikan contoh dalam usaha memerangi keganasan” [UM 17/09/11]. Dari kenyataan-kenyataan ini, amat jelas bahawa AS amat mengalu-alukan komitmen Najib di dalam menggubal Akta ini dan terdapat kerjasama erat di antara keduanya.

Dalam usaha Amerika (dan pemerintah) memastikan Malaysia terus kekal dengan sistem demokrasi sebagaimana yang mereka kehendaki, Fasal 3 di dalam RUUKK memberikan maksud ‘kesalahan keselamatan’ sebagai “activity detrimental to Parliamentary democracy” (aktiviti yang mengancam demokrasi berparlimen) atau “attempt to commit activity detrimental to Parliamentary democracy” (percubaan untuk melakukan aktiviti yang mengancam demokrasi berparlimen). Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan 2012 akan mengekang kegiatan seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara ganas dan tidak berlandaskan Perlembagaan. Najib menegaskan, dengan kata lain jika terdapat mana-mana parti politik yang berhajat merubah teras pemerintahan negara kepada teokratik, maka mereka haruslah menggunakan cara-cara yang diabsahkan oleh Perlembagaan melalui peti undi untuk mendapat sokongan majoriti rakyat [UM17/04/12].

Dari satu sudut, maksud ‘kesalahan keselamatan’ dalam RUUKK tersebut memanglah terlalu umum dan ia nampaknya disengajakan bagi memberikan ruang seluas-luasnya kepada kerajaan untuk mengkategorikan sesuatu kesalahan itu sebagai ‘kesalahan keselamatan’. Dari sudut yang lain, nampak jelas bahawa antara tujuan utama kerajaan menggubal akta ini adalah untuk terus mempertahankan sistem demokrasi berparlimen yang diwarisi dari penjajah ini. Persoalannya, ‘sistem apakah’ yang menjadi ancaman kepada ‘sistem demokrasi berparlimen’ sehingga perlu adanya akta (undang-undang) untuk mempertahankan sistem taghutini? Jawapannya tak lain tak bukan, satu-satunya sistem yang menjadi ancaman kepada demokrasi berparlimen adalah “sistem Islam”!

Sistem Islam (Khilafah) menjadi ancaman kepada Amerika (dan Barat) serta setiap pemerintah kaum Muslimin kerana negeri-negeri kaum Muslimin sekarang menerapkan sistem kufur-sekular dan mahu mengekalkan status quo sistem ini. Islam sudah semestinya merupakan ancaman kepada sekularisme kerana iaamat bertentangan dengan Islam. Inilah yang sedang dirasai atau dialami oleh kerajaan sekarang yakni adanya “ancaman” dari kelompok-kelompok Islam yang sedang berjuang untuk menghapuskan sistem demokrasi-sekular ini untuk digantikan dengan sistem Islam.Justeru, tindakan kerajaan di dalam menggubal undang-undang ini dapat di fahami dengan mudah sekiranya kita melihat perkembangan dunia saat ini.

Perkembangan yang dimaksudkan adalah kebangkitan umat Islam yang sudah sedar akan kebobrokan demokrasi dan segala malapetaka yang dibawa oleh sistem kufur ini. Umat Islam sudah mula mahu kembali kepada Islam dan mahu diperintah oleh sistem Islam. Umat Islam sudah mahukan Negara Khilafah dan mahu dipimpin oleh seorang Khalifah yang menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Amerika dan para pemerintah sekular kaum Muslimin sudah melihat betapa besarnya kehendak dan perjuangan umat/gerakan Islam untuk menukar sistem demokrasi ini kepada sistem Islam. AS dan pemerintah sekular ininampaknya sudah tidak lagi mampu menghadapi “ancaman” ini secara intelektual dan politik. Justeru, mereka perlu menggubal undang-undang dan menggunakan tindakan fizikal (kekerasan) seperti menangkap dan memenjarakan para pejuang Islam ini demi menyekat kebangkitan Islam. Inilah yang mereka sedang lakukan sekarang.

Justeru, RUUKK ini ternyata tidak dapat dipisahkan dari agenda penjajah kerana mana-mana pihakpun tidak dibenarkan untuk menukar sistem demokrasi yang sedia ada kecuali dengan jalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Kita semua tahu bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah kitab tinggalan penjajah bagi memastikan sistem dan undang-undang di Malaysia terus kekal sebagaimana dikehendaki oleh penjajah. Mana-mana usaha untuk menukar sistem demokrasi ini kepada sistem Islam sudah tentu tidak akan direstui oleh penjajah, kerajaan dan juga Perlembagaan. Oleh yang demikian, jika kita berusaha untuk menerapkan sistem Islam atau menubuhkan Negara Islam (Khilafah)melalui thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW (jalan politik dan intelektual, bukannya keganasan), maka ini sudah pasti merupakan satu kesalahan dan menjadi ancaman kepada demokrasi!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya penjajah (melalui Perlembagaan) telah meletakkan ukuran “kebenaran” pada demokrasi di mana setiap perkara itu dikatakan benar apabila ia sesuai dengan demokrasi dan menjadi salah apabila ia bertentangan dengan demokrasi dan ramai orang yang telah menelan bulat-bulat ketetapan penjajah ini!Penggubalan dan kelulusan RUUKK ini membuktikan sekali lagi kepada kita bahawa sistem demokrasi adalah sebuah sistem kufur yang undang-undangnya diciptaoleh manusia. Di bawah sistem demokrasi buatan manusia ini, apa-apa sahaja undang-undang yang bertentangan dengan Islam boleh diluluskan asalkan disokong oleh majoriti. Jika demokrasi boleh meluluskan undang-undang sekejam ISA, justeru, amat mudah bagi demokrasi untuk meluluskan RUUKK, malah, meluluskan apa sahaja undang-undang yang lebih zalim dari ini, asalkan majoriti menyokong. Apa yang amat dikesali ialah adanya parti Islam yang bergelumang dengan demokrasi yang tidak ubah seperti parti sekular dengan menjadikan ‘demokrasi’ sebagai tolok ukur kebenaran sehingga mereka tidak membahaskan RUUKK dari aspek percanggahannya dengan Islam, tetapi apa yang dibahaskan adalah sama ada RUUKK ini bertentangan dengan semangat demokrasi atau tidak.Inilah sihir demokrasi yang telah berjaya menyihir ramai umat Islam dan gerakan Islam untuk tunduk kepadanya. Semoga Allah Azza Wa Jallasegera melenyapkan sistem taghut ini dan menggantikannya dengan sistem Islam. Amin ya Rabb al-‘Alamin.