SN357 – Jenayah Semakin Berleluasa, Pemerintah Tetap Meminggirkan Hukum Yang Maha Esa

PDF

SN keluaran 2 Ogos 2013

JENAYAH SEMAKIN BERLELUASA, PEMERINTAH TETAP MEMINGGIRKAN HUKUM YANG MAHA ESA
 
[SN357] Apakah Malaysia sudah bertukar menjadi negara koboi? Itulah persoalan yang diungkap oleh sesetengah orang melihat kepada kejadian tembak secara terbuka yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Kes yang sedang hangat diperkatakan sekarang ialah pengasas Ambank, Hussain Ahmad Najadi yang mati ditembak di Lorong Ceylon, dekat Bukit Bintang di ibu negara. Ia berlaku selepas dua hari kejadian pengerusi sebuah badan bukan kerajaan, MyWatch, R. Sri Sanjeevan ditembak oleh lelaki bermotosikal di pekan Bahau, Negeri Sembilan. Dia mengalami cedera parah. Kes ini amat membimbangkan kerana ia terkait dengan pihak polis sepertimana kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa percubaan membunuh Sanjeevan mungkin ada kaitan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai dakwaan penglibatan anggota polis dengan sindiket jenayah. Tidak lama sebelum ini, negara digemparkan dengan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak dua lelaki bermotosikal pada 26 April ketika kenderaannya berhenti di persimpangan lampu isyarat di Putrajaya.

Kita juga dikejutkan dengan kes seorang guru penolong kanan, Hashim Mat Zain yang mati ditembak dari jarak dekat di dalam keretanya ketika hendak pulang ke rumahnya berhampiran Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan pada 7 Julai lalu. Tidak sampai dua minggu selepas itu, seorang lagi guru K. Shanmugam, ditembak mati di dalam kereta di Simpang Empat Keladi, Kulim, Kedah. Perkembangan ini sudah tentu amat membimbangkan orang ramai. Apatah lagi dengan kes terbaru pada 30 Julai lepas di Bukit Mertajam di mana seorang peniaga, G. Santhana Samy, 30 cedera parah selepas ditembak di Jalan Mengkuang. Manakala di Parit Buntar, N. Jeevandran, maut di tempat kejadian ekoran mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan pinggang dengan kesan tembakan. Lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan sedang menunggang motosikal sebelum orang ramai mendengar bunyi tiga das tembakan. Kejadian tembak secara terbuka ini, selain menakutkan orang ramai, telah menimbulkan pelbagai persoalan seperti dari manakah si penembak ini mendapat senjata api dengan mudah sedangkan umum mengetahui bahawa undang-undang senjata api di Malaysia amat ketat, apakah mereka ini pembunuh upahan, apakah mereka ini sudah tidak takutkan undang-undang dan banyak lagi. Apa pun, dengan kejadian-kejadian terbaru ini, kredibiliti pasukan polis dan kepercayaan masyarakat terhadap mereka sememangnya semakin terjejas!

Sebagai respons kepada isu ini, Perdana Menteri Malaysia berkata, terserah kepada polis untuk meminta daripada kerajaan apa yang mereka perlukan dan kerajaan akan memberikan mereka apa yang dikehendaki untuk meningkatkan keberkesanan pasukan itu dalam memerangi jenayah serius. Dengan kata lain, PM telah memberi lampu hijau untuk menambah peruntukan kepada pihak polis, walaupun hakikatnya sebelum ini sudah berapa banyak peruntukan diberikan, namun tidak pernah dapat menyelesaikan masalah, sebaliknya kadar jenayah semakin meningkat dan mengerikan. Ada juga Menteri yang mencadangkan agar ditambah jumlah CCTV di tempat-tempat awam yang kita tidak nafikan kebaikannya, sebagaimana yang telah dibuat sebelum-sebelum ini, namun tetap juga tidak dapat membendung peningkatan kadar jenayah.

Di sebalik semua cadangan yang dikemukakan, apa yang amat dikesalkan ialah tidak ada seorang pun dari kalangan pihak yang memegang pemerintahan atau pihak polis sendiri yang mengusul agar diterapkan hukum Allah di dalam negara dan diterapkan nidzam al-uqubat(sistem hukuman) Islam ke atas para pesalah. Apakah alasan pemerintah untuk tidak menerapkan hukum Allah SWT? Apakah mereka tidak yakin bahawa hukum Allah dapat menyelesaikan masalah? Atau apakah mereka terlalu jahil atau degil untuk memahami dan melaksanakan apa yang Allah wajibkan ke atas mereka? Apa pun alasannya, mereka mungkin sahaja dapat menjelaskannya kepada manusia di dunia ini, namun yang pasti, mereka tidak akan dapat memberikan apa-apa alasan/hujah kepadaAllah SWT di akhirat kelak!

Islam Mewajibkan Uqubat

Terdapat 4 kategori uqubat(hukuman) dalam Islam iaitu jinayat/qisas, hudud, ta’zir dan mukhalafat. Uqubatdisyariatkan untuk mencegah manusia dari melakukanjarimah (kejahatan). Allah SWT berfirman,

“Dan dalam qisas (bunuh-balas) itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2):179].

Maksudnya, di dalam pensyariatan qisas bagi kalian, yakni membunuh-balassi pembunuh, ada hikmah yang sangat besar, iaitu menjaga jiwa (nyawa). Ini adalah kerana, jika pembunuh mengetahui bahawa ia akan dibunuh (sebagai balasan ke atas pembunuhan yang dilakukannya), maka ia akan merasa takut untuk melakukan pembunuhan. Itu sebabnya, di dalam qisas ada jaminan hidup bagi jiwa. Pada kebiasaannya, jika orang berakal mengetahui bahawa bila ia membunuh,ia akan dibunuh balas, maka ia tidak akan melakukan pembunuhan tersebut. Dengan demikian, uqubat berfungsi sebagai zawajir (pencegahan). Ia disebut sebagai zawajirkerana dapat mencegah manusia dari melakukan kejahatan.

Kejahatan (jarimah) adalah perbuatan-perbuatan tercela (al-qabih). Al-qabihpula adalah apa jua yang dicela oleh Allah SWT. Itulah sebabnya, suatu perbuatan tidak dianggap kejahatan kecuali jika telah ditetapkan oleh syarakbahawa perbuatan itu tercela. Ketika syarak menetapkan bahawa perbuatan itu tercela, maka sudah pasti perbuatan itu disebut kejahatan. Hal itu tanpa memandang tahapketercelaannya, yakni tanpa memperhatikan besar kecilnya kejahatan. Syarak telah menetapkan perbuatan tercela sebagai dosa (dzunub) yang wajib dikenakan hukuman (uqubat). Demikianlah, dosa itu substansinya adalah kejahatan.

Kejahatan bukanlah fitrah manusia. Kejahatan bukan pula profesyen yang diusahakan oleh manusia. Kejahatan juga bukan penyakit yang menimpa manusia. Akan tetapi, kejahatan adalah tindakan melanggar peraturan yang mengatur perbuatan manusia dalam hubungannya dengan Rabbnya, dengan dirinya sendiri dan hubungannya dengan manusia yang lain. Allah SWT telah menciptakan manusia lengkap dengan potensi kehidupannya, yakni naluri dan keperluan jasmani. Naluri dan keperluan jasmani adalah potensi hidup manusia yang mendorong manusia untuk melakukan pemenuhan terhadap potensi hidupnya itu. Manusia mengerjakan suatu perbuatan yang muncul dari potensi hidup tadi sekadar untuk mendapatkan pemenuhan terhadap potensi tersebut.

Perlu difahamibahawa membiarkan pemenuhan itu tanpa aturan akan membawa kepada kekacauan dan kegoncangan, serta akan membawa kepada pemenuhan yang salah, atau pemenuhan yang tercela. Oleh kerana itu, ketika Allah SWT mengatur perbuatan manusia, Allah juga telah mengatur pemenuhan terhadap naluri dan keperluan jasmani dengan suatu hukum. Syariat Islam telah menjelaskan kepada manusia hukum atas setiap realiti yang wujud. Itulah sebabnya Allah SWT mensyariatkan halal dan haram. Syarak mengandungi perintah dan laranganNya dan Allah SWT memerintahkan manusia untuk bertindak sesuai dengan apa yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya. Jika manusia menyalahi hal tersebut, maka hakikatnya ia telah melakukan perbuatan yang tercela, yakni melakukan kejahatan. Oleh kerana itu, orang-orang yang berdosa wajib dikenakan hukuman.

Perintah dan larangan tersebut tidak akan bererti sama sekali jika tidak ada uqubat bagi orang yang melanggarnya. Syariat Islam menjelaskan bahawa bagi pelanggar syariat, akan dikenakanuqubat di akhirat dan di dunia. Allah SWT akan mengenakan uqubat di akhirat ke atasnya dan Allah akan mengazabnya. Allah SWT berfirman,

“Orang-orang yang berdosa dikenal dengan tanda-tandanya, lalu dipegang ubun-ubun dan kaki mereka” [TMQ ar-Rahman (55):41].

FirmanNya juga,

“Dan orang-orang kafir, bagi mereka neraka Jahannam” [TMQ al-Fathir (35):36].

Dalam firmanNya yang lain,

“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedihpada hari dipanaskan emas dan perak itu dalam neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan belakang mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: ‘Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu” [TMQ at-Taubah [9]:34-35].

Firman Allah yang lain,

“Beginilah (keadaan mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang durhaka benar-benar (disediakan) tempat kembali yang buruk, (iaitu) neraka Jahannam, yang mereka masuk ke dalamnya; maka amat buruklah Jahannam itu sebagai tempat tinggal” [TMQ Sad (38):55-56].

Walaupun Allah SWT telah menjanjikan azab bagi para pelaku dosa, Allah juga memerintahkan kepada para pelaku dosa tersebut untuk berserah diri (bertaubat) kepadaNya kerana mungkin sahaja Allah berkehendak menjatuhkan uqubat atau mungkin juga Allah berkehendak untuk mengampuni mereka. Allah SWT berfirman,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendakiNya” [TMQ an-Nisa’ (4):48].

Berdasarkan keumuman dalil ini, taubat mereka boleh sahaja diterima oleh Allah SWT.

Siapa Pelaksana Uqubat?

Uqubatwajib dilaksanakan oleh pemerintah. Dalam sebuah Negara Islam, uqubatdilaksanakan oleh Imam (Khalifah) yang merupakan ketua negara atau wakilnya, yakni diselenggarakan oleh negara melalui pelaksanaan hukum-hukum jinayat, hudud, ta’zir dan mukhalafat. Uqubat di dunia bagi pelaku dosa, atas dosa yang dikerjakannya di dunia dapat menghapuskan uqubat di akhirat baginya. Ini kerana, uqubat berfungsi sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus). Uqubatbertindak sebagai zawajirkeranaia mampu mencegah manusia dari perbuatan dosa dan tindakan pelanggaran. Manakala uqubatbertindak sebagai jawabirkeranauqubat(di dunia) dapat menebus uqubatdi akhirat. Uqubat akhirat bagi seorang Muslim akan gugur oleh uqubat yang dijatuhkan negara ke atasnya di dunia. Dalilnya adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari dari Ubadah bin Samit ra yang berkata:

“Kami bersama Rasulullah SAW dalam suatu majlis dan baginda bersabda, ‘Kalian telah membaiatku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, kemudian baginda membaca keseluruhan ayat tersebut. Barangsiapa diantara kalian memenuhinya, maka pahalanya di sisi Allah dan barangsiapa mendapatkan dari hal itu sesuatu, maka uqubatnya adalah kifarat (denda) baginya dan barangsiapa mendapatkan dari hal itu sesuatu, maka Allah akan menutupinya, mungkin mengampuni atau mengazab.”

Hadis ini menjelaskan bahawauqubat dunia diperuntukkan untuk dosa tertentu, yakni uqubat yang dijatuhkan negara bagi pelaku dosa dan ini akan menggugurkan uqubat akhirat. Inilah antara keindahan hukum Islam apabila dilaksanakan yakni menjadi penghapus dosa pelakunya di akhirat.

Ramai di kalangan kaum Muslimin yang apabila melakukan kesalahan, telah menyatakan taubat mereka kepada Rasulullah SAW. Mereka mengakui pelanggaran yang mereka lakukan agar mereka dikenakan had oleh Rasulullah SAW sehingga mereka terbebas dari azab Allah di hari akhirat. Mereka rela menanggung sakitnya had dan qisas di dunia, kerana takutkan azab akhirat. Semua ini dilakukan mereka kerana memahami fungsi uqubat sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus). Untuk meraih itu, Ma’iz mengakui perzinaannya, kemudian ia direjam hingga mati. Demikian pula Ghamidiyyah, ia mengakui perzinaannya kemudian direjam hingga mati. Seorang wanita dari suku Juhainah mengaku berzina, lalu direjam hingga mati. Rasulullah SAW bersabda tentang mereka,

“Sungguh ia telah bertaubat, seandainya dibahagi antara 70 penduduk Madinah, sungguh akan mencakup semuanya.”

Mereka meminta negara agar menjatuhkan uqubat atas pelanggaran mereka di dunia, bagi menggugurkanuqubat akhirat untuk mereka. Kerana itulah Ghamidiyyah berkata kepada Rasulullah SAW,

“Ya Rasulullah sucikanlah aku!”

Uqubatyang dijatuhkan oleh pemerintah atas dosa dan kejahatan merupakan satu-satunya metode untuk melaksanakan perintah dan larangan Allah. Allah SWT mensyariatkan hukum-hukumNya, sekaligus mensyariatkan pula hukumanterhadap pelanggarannya, yakni hukum-hukum uqubat. Contohnya, syarak telah memerintah kaum Muslimin untuk menjaga hartanya. Rasulullah SAW bersabda,

“Tidak halal harta seorang Muslim (untuk diambil) kecuali dengan kerelaan dirinya.”

Rasulullah SAW juga bersabda,

“Sesungguhnya darah dan harta kalian adalah haram (untuk diambil/dirampas oleh orang lain).”

Untuk melaksanakan perintah Allah tersebut, Allah mensyariatkan hukum potong tangan ke atas orang yang mengambil/merampas harta orang lain tanpa kerelaannya. Firman Allah,

“Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ al-Ma’idah (5):38].

Ketika Allah melarang perzinaan melalui firmanNya,

“Janganlah kamu menghampiri zina…” [TMQ al-Isra’ (17):32],

Allah juga mensyariatkan hukuman sebatsebagai hukuman bagi mereka yang melanggar laranganNya dalam hal itu. FirmanNya,

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [TMQ an-Nur (24):2].

Demikianlah, seluruh perintah dan larangan Allah SWT, telah ditetapkan metode pelaksanaan uqubatnya, yang menjadi kewajipan atas pemerintah untuk melaksanakannya.

Khatimah

Sesungguhnya keindahan Islam dan hukum Allah yang diterangkan di atas telah sirna seiring dengan jatuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924), lebih 90 tahun yang lalu. Hukum Allah telah digantikan dengan hukum kufur buatan manusia melalui negara demokrasi yang diajar oleh Barat kepada umat Islam. Hasilnya, berlakulah kerosakan dan kejahatan yang cukup mengerikan di dalam masyarakat baik dalam aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan banyak lagi. Umat Islam dipaksakan dengan sistem sekular oleh pemerintah, yang memisahkan agama dari kehidupan. Natijahnya, ajaran Islam hanya terhad kepada persoalan ibadat dan ruhiyah (spiritual) semata-mata. Islam dinyatakan sebagai agama rasmi tetapi hukum-hakamnya dicampakkan. Al-Quran dibaca, diperdengarkan malah dipertandingkan tetapi hukum-hukum yang terkandung di dalamnya tidak pernah diterapkan oleh pemerintah. Maka tidak hairanlah segala bentuk kejahatan merajalela dan tidak dapat dibendung dan manusia merasakan hidupnya penuh kesempitan walaupun hakikatnya bumi ini cukup luas untuk mereka. Benarlah firman Yang Maha Esa

“…dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Taha (20):124].

Bila lagi kalian ingin berusaha untuk menerapkan hukum Allah wahai kaum Muslimin, bagi menggantikan sistem sekular yang penuh kesempitan ini?