SN392 – THARIQAH YANG SYAR’IE UNTUK MENEGAKKAN AL-KHILAFAH DAN AL-SULTHAN AL-MUTAGHALLIB

 
SN keluaran 25 Julai 2014


THARIQAH YANG SYAR’IE UNTUK MENEGAKKAN AL-KHILAFAH 
DAN AL-SULTHAN AL-MUTAGHALLIB

Soalan: 

Terdapat beberapa laman web yang mengatakan, “Hizbut Tahrir telah menetapkan thariqah (jalan / metode) thalab al-nusrah (mencari pertolongan) dalam usaha mendirikan Khilafah yang diikuti oleh Hizb dan Hizb tidak mengiktiraf thariqah (jalan) syar’ie yang selainnya…sungguhpun ada thariqah yang lain iaitu “thariqah al-sulthan al-mutaghallib” yang bermaksud orang-orang yang mendirikan Khilafah dengan jalan al-quwwah wa al-qital (kekuatan dan peperangan)…Mereka juga mengatakan yang Hizbut Tahrir menolak pengisytiharan al-Baghdadi kerana dorongan al-assabiyah al-hizbiyah (perkauman kepartian), di mana Hizbut Tahrir tidak menilainya sebagai Khilafah yang syar’ie kecuali jika Hizb yang mendirikannya…” Bolehkah anda memberikan jawapan yang konklusif dan mencukupi terhadap kenyataan-kenyataan ini? Jazakallahu khairan

Jawapan:

1.     Sesungguhnya bukan Hizbut Tahrir yang menentukan thariqah (jalan) mendirikan Khilafah, tetapi syarak itu sendirilah yang menentukannya dan sirah Rasulullah SAW menetapkan hal ini sejak permulaan dakwah sehinggalah tertegaknya sebuah Negara…yang mana sebelum menegakkan Negara, Rasulullah SAW melakukan usaha thalab al-nusrah (mencari pertolongan) daripada ashabu al-quwwah wa al-man’ah (pemilik kekuasaan dan perlindungan) yang mereka ini membentuk komponen-komponen sebuah Negara sesuai dengan realiti yang wujud di wilayah sekeliling mereka (pada waktu itu). Atas sebab ini, Rasulullah SAW mendatangi kabilah-kabilah yang kuat, mengajak mereka kepada Islam dan meminta nusrah daripada mereka seperti mana yang baginda lakukan tatkala mencari nusrah dari Tsaqif, Bani Amir, Bani Syaiban dan juga kaum Ansar dari Madinah. Manakala kepada kabilah-kabilah yang kecil, baginda cukup hanya mengajak mereka kepada Islam (tanpa meminta nusrah)…Rasulullah SAW melakukan hal ini (thalab al-nusrah) secara berterusan walaupun baginda menghadapi pelbagai kepayahan dan rintangan. Pengulangan perkara yang di dalamnya ada kesulitan menunjukkan secara syar’ie bahawa perkara itu adalah wajib (fardhu) sebagaimana yang terdapat dalam ketentuan usul.  

Atas dasar kewajipan itulah, maka Rasulullah tetap mencari nusrah daripada ahlu al-quwwah wa al-man’ah secara berterusan meskipun tindakan salah satu Bani membuatkan kaki baginda berdarah-darah manakala Bani yang lain menolak baginda dan ada Bani yang meletakkan syarat. Tanpa mengira semua itu, Rasulullah SAW tetap meneruskan usaha baginda dan tetap teguh dengan apa yang diturunkan tanpa bertukar kepada thariqah yang lain seperti (contohnya) memerintahkan para sahabat memerangi penduduk Mekah atau memerangi beberapa Bani lalu mendirikan Negara dalam kalangan mereka. Walaupun para sahabat baginda merupakan pahlawan yang tidak takutkan apa-apa kecuali Allah, namun Rasulullah SAW tetap tidak memerintahkan mereka untuk melakukan semua itu. Sebaliknya, baginda tetap istiqamah mencari nusrah daripada ahlu al-quwwah wa al-man’ah sehinggalah Allah SWT mendatangkan kaum Ansar kepada baginda. Kaum Ansar ini kemudiannya memberikan Baiah Aqabah II setelah sebelumnya Mus’ab RA berjaya dalam misi yang ditugaskan oleh Rasulullah kepadanya di Madinah. Di samping Allah SWT ‘mendatangkan’ ahlu al-quwwah dan memberikan kemenangan kepada Rasulullah, dengan izin Allah, Mus’ab telah membuatkan Islam memasuki setiap rumah di Madinah dan seterusnya mencipta satu ra’yu al-am (pandangan umum / public opinion) untuk Islam. Dari ra’yu al-am inilah, Rasulullah akhirnya menerima baiah dari kaum Ansar yang seterusnya membolehkan baginda mendirikan Negara Islam di Madinah dengan cara baiah yang jelas lagi murni serta disambut dengan amat gembira oleh penduduk Madinah.

Inillah jalan yang syar’ie untuk mendirikan sebuah Negara dan hukum asal yang wajib diikuti. Ini kerana, hukum asal kepada sesuatu perbuatan adalah terikat dengan hukum syarak. Dengan kata lain, jika seseorang Muslim ingin menunaikan solat, maka dia mestilah (wajib) mempelajari dalil-dalil tentang solat; jika seseorang Muslim ingin melakukan jihad, maka dia mestilah (wajib) mempelajari dalil-dalil tentang jihad; begitulah jika seseorang Muslim ingin mendirikan sebuah Negara, maka dia mestilah (wajib) mempelajari dalil-dalil untuk menegakkan Negara dari perbuatan-perbuatan Rasulullah SAW. Sesungguhnya tidak ada jalan lain yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kecuali yang telah ditunjukkan dalam sirah baginda dan ia merangkumi dakwah kepada ahlu al-quwwah wa al-man’ah yang membentuk komponen sebuah Negara menurut realiti wilayah yang ada di sekitarnya (pada waktu itu), mendakwahi mereka kepada Islam, meminta nusrah daripada mereka dan baiah daripada mereka dengan ridha (kerelaan) dan ikhtiyar (kebebasan memilih) setelah Rasulullah mewujudkan dalam kalangan mereka dan di kawasan mereka, ra’yu al-am yang muncul dari wa’yu al-am (kesedaran umum / public awareness)….

Jadi, thariqah yang syar’ie untuk mendirikan Khilafah telah pun dinyatakan dalam Islam dengan jelas beserta dalil-dalilnya dan amat jelas bahawa orang-orang yang mengumumkan Khilafah itu tidak mengikuti thariqah ini.

2.     Adapun berkenaan thariqah al-sulthan al-mutaghallib (kekuasaan yang mendominasi) yakni golongan yang mengambil kekuasaan dengan kekuatan, yang disebut di dalam beberapa kitab fiqh, maksud terma tersebut hendaklah difahami dengan benar, bukan sekadar menyebut-nyebut “al-sulthan al-mutaghallib” tanpa memahami bila dan bagaimana terma itu boleh digunapakai dalam Islam. Jika tidak memahaminya dengan betul, maka ia akan menimbulkan bencana kepada pemakainya! 

Thariqah al-sulthan al-mutaghallib berdosa digunapakai dengan jalan menumpahkan darah sesama Muslim dan menguasai mereka dengan penaklukan, kekerasan dan pemaksaan dan Khilafah yang sah tidak akan berdiri melalui thariqah ini kerana ia menyalahi kaedah hukum Islam…Bagaimanapun, beberapa orang ulama melihat kekuasaan dengan cara ini sah di sisi Islam jika beberapa syarat dipenuhi dan yang paling utama ialah:- 

(a) Mendominasi negeri yang memenuhi komponen sebuah Negara berdasarkan wilayah di sekelilingnya sehingga ia memiliki kekuasaan yang stabil di negeri itu dan ia mampu menjaga keamanan negeri tersebut baik dalam dan luar negeri terhadap wilayah sekitarnya.

(b) Menerapkan Islam dengan adil dan ihsan di negeri tersebut dan ia berjalan dengan baik di tengah-tengah masyarakat sehingga ia dicintai oleh masyarakat dan masyarakat ridha kepadanya.

(c) Orang-orang di negeri tersebut memberikan baiah kepadanya dengan baiah in’iqad (pelantikan) secara ridha dan ikhtiyar tanpa kekerasan dan paksaan dan memenuhi syarat baiah yang sah, termasuk baiah awal yang berasal dari penduduk negeri tersebut dan bukannya baiah yang datangnya dari kumpulannya sendiri. Ini kerana baiah yang sah adalah baiah yang sama sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah di mana Rasulullah bertindak mengambil baiah awal daripada kaum Ansar yang merupakan penduduk asal Madinah dengan cara ridha dan ikhtiyar dan Rasulullah tidak mengambilnya (baiah) daripada para sahabatnya sendiri iaitu kaum Muhajirun. Baiah Aqabah II menjadi dalil akan hal ini. 

Oleh yang demikian, al-sulthan al-mutaghallib akan terus menjadi dosa dan didirikan tanpa asas syarie kecuali seseorang itu telah memenuhi tiga syarat di atas. Jika ia telah memenuhinya, maka al-sulthan al-mutaghallib akan menjadi sah bermula saat berlakunya baiah dengan ridha dan ikhtiyar tadi. Inilah realiti thariqah al-sulthan al-mutaghallib. Semoga apa yang diterangkan ini tidak hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri…jadi, sebenarnya amat jelas bahawa syarat-syarat di atas tidak dipenuhi oleh pemilik pengisytiharan Khilafah tersebut. Bagaimana mungkin mereka tetap memaksa diri mengakuinya walhal pengisytiharan mereka dilakukan tidak menuruti wajah yang hak.

Sebagaimana telah dijelaskan di atas, mereka sebenarnya tidak mengikuti jalan yang syarie, malah tidak mengikuti jalan al-sulthan al-mutaghallib pun…Bagaimanapun, mereka mengisytiharkan Khilafah tidak sesuai dengan ketentuannya dan sebelum syarat-syarat keKhilafahan itu dipenuhi. Oleh yang demikian, pengisytiharan mereka tidak memiliki pertimbangan syarak atau nilai apa pun, kecuali sekadar pengisytiharan kosong, sesuatu yang sebenarnya tidak wujud, tidak merubah apa-apa dan termasuklah realiti mereka juga tetap sama (baik sebelum atau sesudah pengisytiharan) yakni sebagai sebuah gerakan bersenjata.

3.    Adapun terhadap hujah yang mengatakan bahawa Hizb tidak akan menganggap Khilafah itu sah, kecuali jika Hizb mendirikannya. Sesungguhnya hujah ini amat rapuh, lebih rapuh dari sarang labah-labah. Syaitan meniupkan hujah ini kepada segolongan orang yang singkat pertimbangan dan visinya serta lemah penglihatannya…sedangkan apa yang Hizb mahukan ialah sebuah Khilafah yang jelas berdirinya, bersih dan murni dan tidak terbelit-belit. Kami adalah umpama “ibunya anak-anak” yang misinya adalah agar anaknya tidak terbunuh dan tidak terpesong, tetapi agar anak itu membesar dengan kuat, sihat, dijaga dengan baik dan bermaruah tinggi. Jadi, isunya di sini bukanlah siapa yang menjaganya…tetapi kami mahukan Khilafah yang berdiri dengan segala hak yang dimilikinya sehingga ia menjadi suatu yang agung, kuat dan berkuasa, menerapkan Islam di dalamnya dan menyebarkan Islam di luarnya dengan jalan dakwah dan jihad. Ia seterusnya akan menjadi Khilafah di atas jalan kenabian sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT dan diberi khabar gembira oleh Rasulullah SAW akan kedatangannya…yang muncul setelah zaman kediktatoran. Siapa sahaja yang mendirikannya dengan benar, tidak kira sama ada Hizbut Tahrir atau yang lain, maka Khalifah itu akan didengar dan dipatuhi dan dengan izin Allah, bumi ini akan mengeluarkan segala khazanah dan hasilnya dan langit akan menurunkan segala kebaikannya, Islam dan penganutnya akan menjadi mulia, kekufuran dan penganutnya akan menjadi hina dan Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana…

Begitulah, kami menginginkan Khilafah itu kembali dengan bersih dan murni dan diberkati, seperti mana Daulah Islam yang didirikan oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh para Khulafa’ Rasyidin setelah baginda….Khilafah yang dicintai oleh Allah dan RasulNya dan kaum Mukminin, Khilafah yang akan membawa kegembiraan dalam hati-hati orang-orang yang beriman dan kemuliaan kepada penghuni negerinya…bukannya Khilafah yang diputarbelitkan pengisytiharannya dan berdiri atas darah kaum Muslimin yang ditumpahkan tanpa hak…

Sungguh memedihkan kami apabila Khilafah yang seharusnya menggoncang dunia dan menggentarkan penjajah kuffar, kini hanya dijadikan bahan ejekan, direndah-rendahkan, malah menjadi suatu yang hilang kepentingannya. Amerika Syarikat, yang sepatutnya akan mengalir air mata darah apabila Khilafah diisytiharkan, sebaliknya hanya mengumumkan komen mereka bahawa pengisytiharan yang berlaku itu adalah “nothing” (tiada apa-apa)…Sungguh memedihkan kami apabila orang-orang yang sangat mengimpikan Khilafah, setelah pengisytiharan tersebut, sebahagian mereka kini melihatnya sebagai suatu yang sudah tidak lagi penting…

Sesungguhnya Hizb adalah penjaga Islam yang amanah dan tidak takut, kerana Allah, akan celaan orang-orang yang mencela. Ia mengatakan baik (kepada) orang-orang yang baik dan mengatakan buruk (kepada) orang-orang yang buruk. Hizb tidak mencari dengannya, manfaat kepartian mahupun manfaat keduniaan. Hizb hanya melihat dunia ini seperti mana disebutkan oleh Rasulullah SW dalam hadis baginda yang dikeluarkan oleh Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud, 

“Ada apa antara aku dengan dunia ini? Tidaklah aku berada di dunia ini kecuali bagaikan seorang pengembara yang berteduh di bawah sepohon pokok, dia beristirahat sejenak, kemudian meninggalkannya.”

Memandangkan dunia ini di sisi Hizb hanyalah umpama rentang waktu untuk berteduh di bawah sepohon pokok, maka Hizb hanya ingin memanfaatkan waktunya untuk menegakkan syariah dengan jujur, ikhlas, tekun dan benar, melalui penegakan Khilafah dengan segala haknya, dengan izin Allah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

4.    Sebagai penutup, Hizbut Tahrir yang telah menghabiskan lebih dari 60 tahun berjuang untuk menegakkan Khilafah dengan thariqah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, yang mana di sepanjang perjuangannya, ramai anggotanya telah dipenjarakan di penjara penguasa yang zalim, diburu, dizalimi dan diseksa oleh para taghut yang mengakibatkan sebahagian anggotanya syahid dan sebahagian lainnya terancam…namun ia tetap teguh di jalan kebenaran biar apa pun kesusahan yang melanda…adakah dengan apa yang dilalui Hizb ini, kalian melihat Hizb menyerang mana-mana parti yang menegakkan Khilafah secara benar, baik yang mendirikan itu Hizb mahupun pihak lain…? Hizb tidak menyerang sebaliknya hanya tunduk dan bersujud kepada Allah…dan dalam masa yang sama, Hizb berdiri mengawasi siapa sahaja yang melontarkan nama al-Khilafah dengan cara yang tidak benar, memutarbelitkannya atau melemahkannya. Dengan izin Allah, Hizb akan tetap menjadi batu yang teguh di hadapan apa jua perancangan dan penipuan yang cuba memutar-belitkan Khilafah dan melemahkannya. Dengan izin Allah, Khilafah akan berjaya didirikan oleh tangan-tangan para pejuang yang perniagaan dan jual beli tidak bisa memalingkan mereka dari mengingati Allah, yakni para pejuang yang lebih berhak dan lebih layak terhadap penegakan Khilafah, maka melalui merekalah fajar Khilafah akan menyingsing sekali lagi.

“Dan di hari (kemenangan) itu, bergembiralah orang-orang yang beriman kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendakinya dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang” [TMQ ar-Rum (30):4-5]. 
  
14 Ramadan 1435H
12 Julai 2014M

[Sumber terjemahan : http://www.hizb-ut-tahrir.info/info/index.php/contents/entry_37792]