HTM perjelas thariqah Rasulullah SAW mendirikan Daulah Islam

SANDAKAN 11 November – Sebagai kesinambungan dari Dialog Negara Islam pada 8 April lepas, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sekali lagi menggegarkan Sandakan dengan seminar bertajuk “Menegakkan Khilafah Dengan Cara Rasulullah”.

Seminar ini berjalan dengan jayanya di Grand Ball Room, Hotel Sandakan walaupun cuba dihalang oleh pihak Cawangan Khas (SB) dengan menabur pelbagai fitnah ke atas Hizbut Tahrir, mengugut dan menakut-nakutkan pihak hotel agar membatalkannya. Semoga Allah membalas sewajarnya tindakan orang yang cuba menghalang agamaNya dari ditegakkan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Seperti mana dahulu, kehadiran umat Islam di sekitar Sandakan pada kali ini cukup menggalakkan, malah ada peserta yang datang dari Kota Kinabalu dan juga Tawau untuk mengikuti seminar ini. Ini membuktikan bahawa kesedaran umat Islam di Sabah amnya dan Sandakan khususnya terhadap usaha menegakkan Khilafah semakin baik.

Seminar kali ini menghadirkan tiga orang ahli panel iaitu UstTarmizi Salleh, Ust Umar Hussein dan Ust Abdul Hakim Othman dengan dipengerusikan oleh Sdr Sofian.  Dalam pembentangannya, Tarmizi Salleh yang juga merupakan AJK Pusat HTM menjelaskan tentang jalan-jalan salah yang diambil oleh umat Islam di dalam menegakkan Negara Islam seperti demokrasi (pilihan raya), jihad, kekerasan dan sebagainya. Sementara ahli panel kedua, Umar Hussein yang juga AJK Pusat HTM menerangkan tentang thariqah (jalan) yang benar yakni thariqah Rasulullah SAW yang berlangsung di fasa Mekah sehingga akhirnya baginda SAW berjaya menegakkan Daulah Islam di Madinah.

Abdul Hakim yang juga Presiden HTM selaku ahli panel terakhir telah menjelaskan secara lebih terperinci tentang aktiviti thalabun nusrah (mencari pertolongan) yang pernah  dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagai usaha yang membawa kepada tegaknya Daulah Islam. Ust Hakim menekankan tentang peri pentingnya memahami dan mengikuti thariqah dakwah Rasulullah sebagai satu-satunya jalan yang syar’ie di dalam menegakkan Negara Islam.

Seminar ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dengan mengajukan pelbagai soalan kepada ahli panel. Berdasar kepada soalan-soalan yang dikemukakan, jelas menunjukkan yang para peserta menyokong dan sangat teruja dengan isu yang dibincangkan. Dengan semangat yang ditunjukkan, HTM mengharapkan agar mereka yang hadir akan bergabung dengan barisan syabab (pemuda) Hizbut Tahrir bagi memperjuang tegaknya Daulah Khilafah agar rahmat Allah SWT tersebar keseluruh alam dan deen Allah akan sekali lagi menaungi dunia, Insya Allah.