SN404 – Malaysia Milik Allah

PDF

SN keluaran 31 Oktober 2014

SN404 - Malaysia Milik Allah

[SN404] Dalam Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-43 yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Setia City di Setia Alam yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 19 Oktober 2014, seorang perwakilan Gerakan dari Johor, Tan Lai Soon menyatakan bahawa bukan orang Cina dan India sahaja pendatang, bahkan orang Melayu juga adalah pendatang kerana mereka berhijrah dari Indonesia dan penduduk asal Malaysia hanyalah penduduk asal Sabah dan Sarawak dan orang Asli di Malaysia.Akibat kenyataan ini, Tan Lai Soon telah digantung keahliannya. Kenyataan wakil Gerakan itu sebenarnya terkait kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden ISMA, Abdullah Zaik, sebelum ini yang menyifatkan kaum Cina sebagai pendatang. Isu yang sama sebenarnya telah dibangkitkan oleh Ketua UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, beberapa tahun yang lalu. Mengulas kenyataan Lai Soon, Naib Presiden 1 ISMA, Muhammad Fauzi Asmuni menyatakan bahawa orang Melayu lebih tepat dipanggil sebagai perantau dan bukannya pendatang. Inilah antara isu rasis yang tidak habis-habis memanaskan politik di Malaysia, walaupun ia umpama bom jangka (time bomb), namun ia tidak pernah henti dibangkitkan. Inilah manifestasi semangat assabiyyah dan wathaniyyah yang ada dalam diri manusia yang sukar dibendung.

Siapakah Pendatang

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan pendatang sebagai “orang yang mendatang, orang asing yang datang ke, atau memasuki sebuah negeri lain”. Manakala istilah imigran pula didefinisikan sebagai “orang yang masuk ke negeri asing untuk menetap”. Berdasarkan definisi yang cukup luas ini, siapa sahaja yang tidak berasal dari sesuatu tempat dan pergi ke tempat lain, maka dia adalah pendatang. Orang yang tidak berasal dari Kuala Lumpur tetapi datang ke Kuala Lumpur, maka dia adalah pendatang. Orang yang berasal dari Kelantan dan menetap di Terengganu, maka dia adalah pendatang, orang Johor atau Sarawak yang pergi ke Sabah, maka dia adalah pendatang dan begitulah seterusnya. Manakala dalam konteks negara, orang yang tidak berasal dari Malaysia dan datang ke Malaysia, maka dia dikira sebagai pendatang. Begitu juga dengan orang yang berasal dari Malaysia dan pergi ke Australia, maka dia adalah pendatang. Inilah takrifan pendatang.

Masalahnya, apakah pula definisi “orang asing”? Berapa lamakah sebelum “status” orang asing yang menetap di sesuatu tempat itu akan “terhapus” sehingga dia tidak lagi dikatakan sebagai pendatang? Berapa banyak generasi atau keturunankah yang diperlukan untuk menghilangkan status “pendatang” seseorang? Siapa pula yang berhak menentukan tempoh tersebut? Dan banyak lagi persoalan lainnya yang boleh dibangkitkan mengenai takrifan pendatang ini. Apa yang penting adalah, ke manakah rujukan jawapan kita dalam hal ini; adakah mengikut undang-undang sekular, mengikut akal kita sendiri atau mengikut nas? Berdasarkan polemik yang muncul, apa yang jelas ialah, isu pendatang dibangkitkan kerana adanya sikap fanatisme terhadap bangsa dan tanah air. Sesetengah pihak merasakan bahawa bumi Malaysia ini adalah milik mereka, mereka adalah tuan di sini dan mereka adalah warganegara kelas pertama, manakala kaum selain mereka adalah pendatang dan “darjatnya” tidak sama dan merupakan warganegara kelas bawah. Dari fanatisme assabiyyah dan wathaniyyah inilah, orang Melayu merasakan yang Malaysia ini adalah milik mereka dan mereka merupakan tuan di sini, maka ketuanan Melayu menjadi perjuangan mereka.

Perjuangan bangsa biasanya diseiringkan dengan perjuangan tanah air. Kerana itulah, walaupun Nusantara ini merupakan rantau “Bangsa Melayu”, namun sekiranya seorang Melayu daripada Sumatera atau Tanah Jawa, datang ke Malaysia tanpa dokumen yang sah, mereka akan tetap dianggap dan dilayan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI), meskipun hakikatnya ia berbangsa Melayu dan memiliki akidah Islam yang sama dengan penduduk setempat. Namun oleh sebab tanah airnya tidak sama, maka “bangsa” sahaja tidak cukup untuk “menaikkan” taraf pendatang ini. Sebaliknya orang kafir yang bukan Melayu tetapi merupakan warganegara, mendapat layanan yang jauh lebih baik berbanding golongan PATI walaupun terbukti PATI ini berbangsa Melayu dan telah lama menetap dan beranak pinak di sini. Inilah kecelaruan yang muncul kesan dari pemecahan wilayah berdasarkan bangsa dan tanah air yang dilakukan oleh penjajah kuffar ke atas umat Islam.

Pembahagian wilayah seperti ini (berdasarkan bangsa) merupakan amalan Jahiliyyah yang telah dihapuskan setelah kedatangan Islam. Tetapi malangnya, sebelum kejatuhan Daulah Khilafah pada tahun 1924M, semangat assabiyyah dan wathaniyyah ini telah ditiupkan semula oleh penjajah kolonialis yang bertujuan untuk memecah-belahkan umat Islam. Akibatnya orang-orang Arab di rantau Arab telah memberontak melawan dan memisahkan diri daripada Khilafah (di Turki) dan dengan bantuan kuffar penjajah, mereka berjaya menubuhkan negara-negara Arab sekular atas dasar nasionalisme Arab. Dari runtuhan Khilafah juga, muncul negara Turki sekular yang berdiri atas dasar nasionalisme Turki.

Hukum Islam Mengenai Pendatang

Dalam bahasa Arab, pendatang atau imigran disebut sebagai muhajir (orang yang berhijrah). Muhajir (atau jama’nya – muhajirun) adalah orang-orang yang berhijrah atau berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain dengan niat untuk menetap di tempat baru tersebut. Manakala sekiranya seseorang itu berpergian hanya untuk sementara waktu dan bukan untuk menetap dan berniat untuk kembali semula ke tempat asalnya, ia disebut sebagai musafir. Namun, apabila seseorang membuat keputusan untuk tinggal di situ, walaupun pada asalnya dia berniat musafir, maka dia dikatakan ingin bermukim dan status musafirnya akan hilang. Ini kerana, lawan kepada musafir ialah mukim. Baik muhajir (pendatang) mahupun musafir (perantau), kedua-duanya mempunyai hukum yang jelas dalam Islam.

Kita semua maklum bahawa Rasulullah SAW dan sebahagian besar sahabat, berasal dari Makkah, namun mereka telah berhijrah dan tinggal di Madinah sehingga Rasulullah SAW sendiri dan ramai sahabat, meninggal di Madinah. Peristiwa hijrah Rasulullah dan para sahabat  ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sehingga Allah SWT menggelar mereka dengan satu gelaran yang mulia yakni “Muhajirin” (orang-orang yang berhijrah). Jika di terjemah ke dalam konteks sekarang, Muhajirin sebenarnya adalah pendatang. Manakala kaum Ansar merupakan kaum peribumi di Madinah. Selain Ansar, terdapat juga beberapa kaum Yahudi dan sejumlah kaum Aus dan Khazraj yang masih musyrik yang juga merupakan penduduk asal Madinah.

Kita semua juga maklum bahawa dengan hijrahnya Nabi SAW 1436 tahun yang lalu, Madinah yang sebelumnya merupakan Darul Kufr telah bertukar menjadi Darul Islam, lalu hukum-hakam Islam diterapkan di dalamnya menggantikan hukum kufur Jahiliyyah. Di bawah naungan Islam, ternyata, kaum Muhajirin yang merupakan pendatang, tidak pernah dibezakan sedikit pun dengan kaum Ansar, yang merupakan penduduk asal. Ini kerana umat Islam adalah umat yang satu. Semuanya diatur dan terikat dengan hukum Allah yang sama. Tidak ada kelebihan penduduk asal berbanding pendatang. Pendatang tidak pernah dihina atau disisihkan dan penduduk asal tidak pernah ditinggikan darjatnya, kecuali kerana ketakwaan mereka. Rasulullah SAW menerima siapa sahaja, baik penduduk asal mahupun pendatang yang ingin menetap di Madinah, untuk menjadi warganegara Daulah Islam, selama mana mereka tunduk kepada Islam. Pendek kata, Muslim dan non-Muslim sama-sama boleh menjadi warganegara dan terikat dengan hukum Islam yang menjadi undang-undang negara.

Bagaimanapun, kaum Yahudi dan kafir lainnya, walaupun merupakan penduduk asal, ternyata “dibezakan” oleh Rasulullah SAW dari kaum Muhajirin dan Ansar berdasarkan perbezaan akidah di antara keduanya. Hal ini jelas sebagaimana termaktub dalam Sahifah Madinah yang berbunyi,

“Bismillahirrahmanirrahim. Ini adalah perjanjian dari Muhammad Nabi SAW antara kaum Mukmin yang Muslim dari kalangan Quraisy dan Yatsrib serta orang-orang yang mengikuti mereka. Mereka satu dengan lainnya telah bergabung dan berjuang bersama-sama. Sesungguhnya mereka adalah umat yang satu, yang berbeza dari seluruh umat manusia (kafir) lainnya.”

Ini bermakna, Islam tidak membezakan sedikit pun di antara sesama penduduk asal mahupun antara pendatang dan penduduk asal, kecuali dengan akidah. Jika seseorang itu kafir, walaupun ia merupakan kaum asal di situ, maka dia wajib tunduk kepada hukum Islam dan mereka akan digelar kafir zimmi dan terdapat beberapa hukum yang khusus terhadap mereka, yang membezakan mereka dari kaum Muslimin, walaupun kaum Muslimin itu merupakan pendatang. Kaum Muslimin merupakan umat yang satu dan berbeza dengan kaum kafir seperti mana ditegaskan oleh Rasulullah SAW selanjutnya,

“Orang Mukmin tidak boleh membunuh orang Mukmin demi (membela) orang kafir, juga tidak boleh menolong orang kafir untuk menghadapi orang Mukmin. Sesungguhnya jaminan Allah adalah satu. Dia melindungi orang-orang yang lemah (atas orang-orang yang kuat). Kaum Mukmin, sebahagian mereka adalah penolong sebahagian yang lain. Orang yang mengikuti kami dari kalangan Yahudi, akan mendapatkan pertolongan dan keteladanan. Mereka tidak dianiaya dan tidak saling menolong di antara mereka. Sesungguhnya keselamatan kaum Mukmin adalah satu. Orang Mukmin tidak saling menyerahkan (urusannya) kepada selain Mukmin dalam perang di jalan Allah, kecuali atas dasar kesamaan dan keadilan di antara mereka” [Taqiyuddin al-Nabhani, al-Daulah al-Islamiyyah].

Itulah secara ringkasnya hukum berkenaan dengan muhajirin dan penduduk asal. Adapun berkenaan musafir, yang juga boleh dianggap sebagai “pendatang” jika dia baru tiba di sesuatu tempat/negara, Islam juga mempunyai hukum yang lengkap dalam masalah ini yang tertuang dengan begitu banyak sekali dalam khazanah fiqh Islam. Jika musafir itu adalah Muslim dan warganegara Daulah Islam dan dia bermusafir di dalam Daulah Islam, maka tidak ada suatu apa pun yang membezakannya dengan seorang warganegara Muslim yang bermukim kecuali hukum fardiyyah sahaja yakni dia diberi rukhsah (keringanan) oleh syarak seperti boleh menjamak dan mengqasarkan solat, boleh berbuka (di bulan Ramadhan) dan berhak mendapat zakat sekiranya ia putus bekalan, tidak kiralah sama ada dia datang dari Iraq, Bangladesh, Indonesia mahupun tempat lain.

Jika si musafir (pendatang) itu adalah Muslim tetapi bukan warganegara Daulah Islam dan dia bermusafir ke Daulah Islam, maka hukum Islam yang terpakai ke atasnya sama sahaja, kecuali beberapa hukum yang melibatkan kewarganegaraan di mana dia tidak akan mendapat hak sebagaimana yang diperolehi oleh warganegara seperti hak ke atas milkiyyah al-ammah (kepemilikan umum) dan seumpamanya. Namun, dia tetap sahaja dilayan dengan baik menurut hukum-hakam Islam dan bukannya dihina atau dilayan seperti pendatang yang rendah tarafnya. Sekiranya dia kemudian memilih untuk tinggal dan menjadi warganegara Daulah Islam, maka tidak ada lagi perbezaan di antaranya dengan warga Muslim lainnya.

Manakala jika pendatang ke Daulah Islam itu adalah orang kafir, ia bergantung pada ‘status’nya. Jika dia adalah kafir mu’ahid (kafir yang negaranya ada perjanjian dengan Daulah Islam), maka dia diberlakukan mengikut teks perjanjian. Jika negaranya tidak ada perjanjian, Khilafah boleh sahaja memberi keizinan untuknya masuk dan statusnya menjadi kafir musta’min (kafir yang diberi keamanan/visa untuk masuk). Jika dia adalah kafir harbi (kafir yang negaranya sedang memusuhi atau berperang dengan Daulah Islam), maka dia sekali-kali tidak dibenarkan masuk ke dalam Daulah Islam, kecuali jika dia ingin masuk untuk mempelajari Islam. Dalam hal ini, mana-mana pun dari jenis kafir pendatang tadi, jika dia ingin menjadi warganegara Daulah Islam, maka dia dibenarkan dengan syarat membayar jizyah yang sekali gus bermaksud dia bersetuju untuk tunduk dan patuh kepada hukum Islam. Setelah Khalifah menerimanya sebagai warganegara (dengan pembayaran jizyah tadi), maka statusnya akan bertukar menjadi kafir zimmi dan dia akan mendapat segala hak dan wajib baginya menunaikan segala tanggungjawab sebagai kafir zimmi. Dengan kata lain, statusnya sebagai “pendatang” sudah selesai dan layanan terhadapnya adalah sama sebagaimana layanan ke atas warga zimmi yang lain.

Seperkara lagi yang perlu difahami ialah, status “muhajirin” hanya berlaku kepada orang-orang yang berhijrah sahaja, sedangkan keturunan mereka (yang lahir di tempat baru) sudah tidak lagi dikenali sebagai muhajirin kerana secara realiti mereka bukan lagi orang yang berhijrah. Begitulah juga dengan status pendatang yang hanya merujuk kepada orang yang mendatang, sedangkan keturunan mereka (yang lahir di tempat baru) sudah tidak dipanggil sebagai pendatang. Namun demikian, tidak salah untuk memanggil mereka sebagai “keturunan pendatang” sebagaimana tidak salah untuk kita menyebut anak-cucu muhajirin sebagai “keturunan muhajirin” asalkan ia bukan dilakukan dalam rangka untuk menghina atau merendah-rendahkan mereka, tetapi sekadar untuk memperkenalkan mereka sahaja.

Demikianlah pandangan Islam terhadap “pendatang” yang penuh dengan kebaikan dan keadilan yang telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke zaman Khilafah. Iktibar dalam hal ini boleh juga diambil daripada kisah Khalifah Beyazid II (1481-1512) di mana pada waktu itu kaum Muslimin dan juga Yahudi dihalau (melalui undang-undang Alhambra) dari wilayah Andalusia (semenanjung Iberia, terdiri dari Sepanyol dan Portugal) dalam tragedi Reconquista (penjajahan semula) yang berterusan selepas kejatuhan Granada pada 1492. Kaum Muslimin dan Yahudi telah berhijrah ke Daulah Islamiyyah (Uthmaniyyah) dan Khalifah Beyazid II terus menerima mereka sebagai warganegara dan langsung tidak menganggap atau melayan mereka sebagai pendatang.

Namun, setelah jatuhnya Khilafah pada 1924, wilayah Islam telah terpecah-belah kepada lebih 50 buah negara, maka muncullah masalah kewarganegaraan yang didasarkan kepada assabiyyah dan wathaniyyah. Kemuliaan dan keistimewaan seseorang ditetapkan bergantung pada bangsa dan tanah air atau dengan kata lain berdasarkan status peribumi atau pendatangnya seseorang, bukan lagi berdasarkan hukum Allah SWT. Keburukan serta keharaman ini masih kekal hingga ke hari ini, seolah-olah mereka tidak pernah mendengar sabda Rasulullah SAW,

“Barangsiapa keluar dari ketaatan dan memecah belah jamaah, lalu ia mati, maka matinya (seperti) mati jahiliyyah. Dan barangsiapa berperang di bawah panji assabiyyah, marah karena assabiyyah atau menyeru kepada assabiyyah atau menolong kerabat (dalam kezaliman), kemudian ia mati, maka matinya adalah mati jahiliyyah…” [HR Muslim].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya memperjuangkan ketuanan Melayu, Arab, Turki dan lain-lain merupakan perjuangan assabiyyah yang keji lagi haram. Apa yang wajib kita perjuangkan ialah Islam dan Islam semata-mata. Sesungguhnya Melayu tidak sama dengan Islam dan Islam tidak sama dengan Melayu. Melayu adalah bangsa manakala Islam adalah agama sekali gus ideologi (cara hidup). Kita tidak boleh memilih menjadi bangsa apa, akan tetapi boleh memilih agama apa yang kita mahu. Begitu juga kita tidak boleh memilih untuk lahir di bumi mana tetapi Allah-lah yang telah menetapkan kita lahir di mana. Justeru, di mana-mana sahaja kita lahir, di situ ialah bumi Allah yang mulia dan Allah tidak akan menanya/menghisab kita atas dasar bangsa, tempat lahir, tempat menetap dan tempat mati kita, tetapi apa yang akan dihisab oleh Allah adalah agama dan amalan kita. Ingatlah bahawa bumi ini milik Allah, Malaysia adalah milik Allah, maka demi Allah, hukum-hakamNya wajib diterapkan di bumiNya ini. Sungguh beruntunglah orang-orang yang berjuang menerapkan hukum Allah dan celakalah orang-orang yang berjuang menerapkan hukum selainNya.