SN409 – Kertas Putih Dan Undang-Undang Anti-Keganasan: Tangani Ancaman IS Atau Layani Kemahuan AS?
SN keluaran 5 Disember 2014
[SN409] Pada 26 November lepas, Dewan Rakyat telah meluluskan kertas putih “Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)” yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebagaimana tajuknya, pembentangan kertas putih itu dilakukan bertujuan menangani ancaman kumpulan IS dan menjelaskan pendirian serta langkah kerajaan ke arah tersebut. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung usul khas pembentangan kertas putih itu berkata, kerajaan akan menggubal undang-undang Anti-Keganasan baharu yang akan memperuntukkan lebih banyak elemen pencegahan berbanding pembanterasan, di samping akan memperkasakan lagi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013. Terdahulu dari itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein memberi justifikasi kenapa kerajaan perlu membentang kertas putih kerana kekhuatiran terhadap rakyat Malaysia yang telah dilatih IS kembali ke tanah air dan menyebarkan fahaman mereka ditambah dengan jaringan antarabangsa yang mereka miliki. Menurut Hishamuddin lagi, IS merupakan ancaman baru yang dihadapi dunia dan Malaysia terkedepan dalam membentangkan kertas putih terhadap ancaman ideologi Khilafah Islamiyyah [Malaysian Insider 26 Nov 2014].
Agak aneh tatkala misteri kehilangan MH370 masih belum terungkai dan MH17 pula disahkan ditembak jatuh, yang mana kedua-dua insiden menunjukkan Malaysia sedang “terancam” oleh permainan kuasa besar, alih-alih kertas putih tentang ancaman IS yang menjadi pilihan untuk dibentangkan. Kenapakah kerajaan mengalihkan perhatian rakyat kepada ancaman IS yang masih berupa bayangan, berbanding menyelesaikan isu yang jelas di depan mata? Apa pun, tindakan kerajaan ini bukanlah suatu yang sukar untuk difahami, khususnya bagi mereka yang celik politik. Umum mengetahui tentang ketundukan Malaysia kepada Amerika Syarikat (AS) dan hal ini dibuktikan lagi dengan layanan yang melebihi raja ke atas Obama semasa berkunjung ke Malaysia tempoh hari. Umum juga mengetahui tentang polisi evergreen AS memerangi pengganas (baca: Islam) dan bagaimana Malaysia serta penguasa Muslim di seluruh dunia menjadi pak turut AS dalam hal ini. Keakraban dan kenangan manis berselfie bersama Obama dalam the Beast tidak memungkinkan Najib menghindari kehendak rakan selfienya itu. Justeru, Perdana Menteri Malaysia ini sudah tentu tidak akan berdiam diri dalam war on terror anjuran AS kerana pilihan yang diberi oleh AS hanya satu di antara dua, “either your are with US or with the terrorist”.
Pengganas: Agenda Barat
Secara kasarnya kemunculan ISIS (kini dikenali sebagai IS) telah membuka mata banyak pihak, termasuk para pejuang Islam, dengan sokongan, kekuatan dan kemenangan kilat yang diraihnya telah mencetuskan banyak tanda-tanya. Realitinya, dengan kemunculan ISIS, isu kekejaman Bashar al-Asad telah hampir tenggelam dan penentangan terhadap Asad juga hampir tidak kedengaran, sehingga ini memberi kedudukan agak selesa kepada diktator Syria itu dan juga tuannya, AS, untuk mengatur strategi mereka, antaranya ialah operasi pakatan ketenteraan antarabangsa ke atas Syria atas dalih memerangi ISIS. Komandan Tentera Pembebasan Syria pada hari Rabu (24/9/2014) mengatakan bahawa operasi tersebut sebenarnya dilakukan untuk mendukung rejim Asad. RiyadAs’ad, pendiri dan sekali gus Komandan Tentera Pembebasan Syria, mengatakan kepada wartawan Berita Anatolia, “Serangan pakatan sama sekali tidak diarahkan kepada rejim, bahkan adalah untuk melawan para pejuang revolusi Syria dan rakyat Syria.” Beliau menjelaskan, “Serangan ini tidak memperlihatkan apa-apa selain kehancuran infrastruktur, yang sebelumnya tidak mampu dihancurkan oleh rejim Asad…yang mana kesemua mangsanya adalah orang awam”.
Apa yang dilakukan oleh “Negara Islam” ISIS, termasuklah pelbagai pembunuhan sebelum ini tidak begitu mendapat perhatian serius daripada mana-mana pemimpin, sehinggalah terjadinya pembunuhan ke atas seorang wartawan Amerika, James Foley di mana video mengenainya beredar di internet. Walaupun kesahihan video itu diragui, namun Foley diyakini telah dibunuh. Peristiwa pembunuhan hanya seorang warga AS ini terus mendapat perhatian luar biasa dan dicap sebagai aksi keganasan dan seterusnya menjadi alasan untuk AS membentuk pasukan sekutu yang merangkumi negeri-negeri Islam, untuk “memerangi” ISIS. Padahal dalam masa yang sama, ratusan ribu umat Islam yang disembelih oleh Basyar, dibiarkan begitu sahaja oleh para pemimpin dunia, baik dunia Islam, apatah lagi dunia Barat dengan tiada satu pasukan pun dihantar, sebaliknya hanya menjadi masalah yang diperdebatkan sahaja!
Sejak pembunuhan Foley, Barat dilihat seperti telah mengiktiraf “Negara Islam” yang diisytihar ISIS, walhal bukanlah suatu yang mudah untuk Barat “mengesahkan” kewujudan sesebuah negara jika tidak melalui jalan demokrasi atau jalan lain yang diredhai olehnya! Sebagai pak turut, para penguasa Muslim juga kemudian turut “mengambil berat” persoalan “Negara Islam” ISIS. Namun fokus Barat dan pengekor mereka dari kalangan penguasa Muslim ini bukanlah ke mana, melainkan untuk menghighlightkan kekejaman yang dilakukan ISIS sebagai langkah memburuk-burukkan Negara Islam di mata dunia. Oleh yang demikian, melalui berita yang dibuat-buat mahu pun yang betul-betul berlaku, apa jua bentuk kekejaman “Negara Islam” ISIS itu sentiasa diberi liputan meluas. Semua ini untuk membentuk satu persepsi antarabangsa yang “Negara Islam” tidak lebih dari sebuah entiti yang penuh dengan keganasan, kekejaman dan pembunuhan terhadap mana-mana pihak yang tidak sefahaman atau sehaluan dengan mereka.
Di sinilah terletak keunikan ISIS berbanding kumpulan militan lain yang juga menjadi sasaran Barat, di mana kumpulan lain hanya dikaitkan dengan keganasan sebagai sebuah kelompok semata-mata, tetapi kumpulan ISIS dikaitkan dengan keganasan sebuah “Negara Islam”. Jadi, walaupun hakikatnya IS hanyalah sekadar sebuah organisasi bersenjata, tetapi setiap tindakan terpesong yang mereka lakukan telah dijadikan sebagai manifestasi sebuah “Negara Islam”. Inilah percaturan AS. Dalam masa yang sama, AS telah sedikit sebanyak berjaya menutup fakta yang mereka (AS) adalah pengganas sebenar, malah merupakan ketua pengganas dunia. Dengan adanya “Islamic State” dan kekejaman yang mereka (IS) lakukan, ia telah memberi ruang dan nafas baru kepada AS dalam agendanya memerangi pengganas dengan kali ini mengaitkannya dengan “Negara Islam”, bukan lagi sekadar kelompok semata-mata. Istilah pengganas telah diupdate oleh Amerika sesuai dengan kehendak mereka dan dengan penuh keyakinan bahawa penguasa Muslim akan tetap dengan perlakuan mereka umpama lembu yang dicucuk hidung dan akan berjalan mengikut kemahuan AS.
Kertas Putih Dan Akta Anti-Keganasan: Kesinambungan Projek Memburukkan Gerakan Islam Dan Negara Islam
Walau apa pun justifikasi yang diberikan oleh kerajaan, sesungguhnya pembentangan kertas putih dan Akta Anti-Keganasan yang dicadang untuk digubal, jelas mensasarkan umat Islam, terutamanya gerakan Islam yang ingin berjuang menegakkan Negara Islam (Khilafah). Selain itu, ia turut mensasarkan “Negara Islam” itu sendiri sebagai sebuah entiti yang seolah-olah dipenuhi kekejaman dan “salah” untuk didirikan. Ternyata, pemesongan kelompok bersenjata ISIS dijadikan momentum, bukan sahaja oleh AS, tetapi oleh kerajaan pimpinan Najib yang sentiasa akur dengan kehendak AS, untuk menggambarkan bahawa Negara Islam ialah sebuah negara yang buruk dan kejam.
Apa yang dilakukan oleh kerajaan sebenarnya bakal meletakkan umat Islam “di kandang pengganas” yang sejalan dengan tafsiran Amerika. Kenyataan Zahid Hamidi dapat difahami bahawa Akta Anti-Keganasan nanti tidak mustahil mengembalikan roh ISA di mana seseorang itu boleh ditahan tanpa bicara sekiranya disyaki sebagai pengganas, sebagai bentuk “pencegahan”. Lebih buruk, jika akta itu nanti memasukkan unsur “Negara Islam” sebagai salah satu elemen atau jalan menuju keganasan yang memberi ruang dan peluang kepada kerajaan untuk menahan siapa sahaja yang dikaitkan dengan Negara Islam.
Sebagai Muslim, kita memang menolak sebarang bentuk keganasan yang menyalahi syarak. Memerangi pemerintah tanpa hak dan memerangi sesama Muslim atau melakukan apa jua bentuk keganasan sesama Muslim adalah haram di sisi Islam. Namun, perlu difahami bahawa memerangi kafir harbifi’lan (seperti Amerika dan Israel) bukanlah merupakan suatu kesalahan, sebaliknya menjadi jihad fi sabilillah sekiranya dilakukan dengan niat yang betul. Justeru, kita perlu ada tolok-ukur yang benar dalam mendefinisikan “keganasan” dan satu-satunya tolok-ukur yang benar yang wajib kita ambil ialah hukum syarak, bukan akal dan bukan Amerika yang dijadikan tempat sandaran. Dalam konteks ini, perlu difahami bahawa menegakkan Negara Islam melalui jalan kekerasan atau keganasan memanglah merupakan satu kesalahan di sisi syarak, sebagaimana salahnya, di sisi syarak, mengambil jalan demokrasi untuk menegakkan Negara Islam. Satu-satunya jalan yang benar dalam menegakkan Negara Islam ialah dengan mengikuti thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW iaitu melalui jalan dakwah secara politik dan intelektual.
Pembentangan kertas putih dan undang-undang anti keganasan yang bakal dibentang di Parlimen nanti, mungkin sahaja berjaya mencegah atau menakut-nakutkan sebahagian orang ramai terhadap perjuangan menegakkan Islam yang bakal dikaitkan dengan keganasan, namun apa yang pasti ia telah menjadi kesinambungan dari projek AS untuk memerangi pengganas (baca: Islam). Walaupun alasan kerajaan dengan pembentangan undang-undang nanti adalah untuk menangani ancaman IS, hakikatnya kerajaan hanyalah melayani kemahuan AS dalam memerangi pengganas dan memburuk-burukkan Negara Islam.
Negara Islam Adalah Wajib Dan Membawa Rahmat
Sesungguhnya apa yang didirikan ISIS bukanlah Negara Islam. Walaupun ia telah berjaya menakluki beberapa kawasan dan mengisytiharkan kawasan yang ditaklukinya sebagai Khilafah, lalu ia menukar nama kepada IS (Islamic State), hakikatnya, apa yang didirikan itu bukanlah Islamic State. Pengisytiharan tersebut hanya merupakan pengisytiharan kosong yang tidak membawa apa-apa makna. Hakikatnya, tidak wujud Islamic State dan tidak wujud Daulah Khilafah. Apa yang ada hanyalah ISIS sebagai sebuah kelompok bersenjata yang berjaya menguasai beberapa kawasan dan mereka “memerintah” mengikut apa yang mereka kehendaki dan bukan mengikut kehendak syarak, malah jalan mereka meraih kekuasaan juga tidak menepati syarak. Oleh itu, kita perlu membezakan di antara Islamic State (yang sebenar) dengan kelompok bersenjata yang menggelar diri mereka sebagai “Islamic State” (IS). Maka, sekiranya kelompok bersenjata IS melakukan kekejaman dan pembunuhan, ia langsung tidak ada kena mengena dengan Islamic State (yang sebenar) dan ia langsung tidak mewakili Islamic State (yang sebenar). Dengan kata lain, gambaran Islamic State (yang sebenar) tidak boleh diambil dari apa yang dilakukan oleh kelompok IS! Barat dan para penguasa Muslim mengambil kesempatan dari hal ini untuk memberi gambaran yang buruk ke atas Islamic State yang sebenar.
Sesungguhnya menegakkan Islamic State (Negara Islam – Khilafah) merupakan sebuah kewajipan dan ia merupakan kewajipan yang agung kerana dengan adanya Khilafah sahajalah, hukum-hakam Allah dapat diterapkan secara kaffah. Islamic State (Khilafah) bukanlah satu ancaman, sebaliknya ia adalah satu kewajipan dan pembawa rahmat. Dengan Negara Islamlah Rasulullah SAW berjaya menerapkan hukum Allah, seterusnya berjaya menyebarkan risalah Allah ke seluruh dunia melalui jalan dakwah dan jihad. Dengan Negara Islamlah, Rasulullah SAW berjaya menzahirkan agama Allah dan membawa rahmat Allah ke seluruh alam. Begitu jugalah dengan para Khalifah setelah baginda, bermula dari Khulafa’ Rasyidin, Khulafa’ Umawiyyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah, kesemuanya menyebarluaskan lagi risalah Allah dengan membuka wilayah baru, menguasai 2/3 dunia dan menebarkan rahmat Allah melalui penerapan hukum-hakamNya. Negara Islam (Khilafah) ini akhirnya runtuh pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) hasil usaha jahat kuffar Barat dan ejennya Mustafa Kamal Atarturklaknatullahualaihim.
Sejak 1953, HizbutTahrir berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan semula Negara Islam (Khilafah) melalui kaedah dakwah politik dan intelektual berdasarkan thariqah (jalan) yang ditempuh oleh Rasulullah SAW tatkala menegakkan Negara Islam yang pertama di Madinah dahulu. Negara Islam yang diusahakan oleh Hizbut Tahrir adalah Daulah Khilafah Rasyidah ‘ala minhaj an-nubuwah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW yang akan tegak semula untuk kali kedua di akhir zaman. Negara Islam yang akan berjalan di atas jalan kenabian ini, apabila berdiri sedikit masa lagi, Insya Allah akan dipenuhi dengan segala kebaikan, keadilan, kesejahteraan, rahmat dan berkat dari Allah SWT. Insya Allah tidak akan wujud kezaliman atau kekejaman di dalamnya, baik kepada haiwan, pepohonan apatah lagi kepada manusia, kerana cirinya menyamai ciri Khulafa’ Rasyidin, sebagaimana dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Inilah ciri Khilafah kali yang kedua, bukan sebagaimana “Islamic State” (IS) dan lebih jauh, bukan sebagaimana negara-negara demokrasi di dunia pada hari ini yang penuh dengan kekejaman, penindasan dan ketidakadilan serta menyebabkan perpecahan umat Islam yang dahsyat.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya ancaman sebenar bukanlah Negara Islam atau ideologi Islam, tetapi ideologi Kapitalis yang sekular yang melahirkan sistem demokrasi dengan segala bentuk kebebasan dan kezaliman di dalamnya, Ancaman sebenar bukanlah Negara Islam, tetapi Negara Amerika yang memusuhi Islam dan menjajah negara umat Islam baik secara fizikal mahupun pemikiran. Ideologi kapitalisme dengan sistem demokrasi yang dianut oleh negeri-negeri kaum Musliminlah yang merupakan ancaman sebenar kepada umat Islam kerana dengan ideologi ini, yang memisahkan agama dari kehidupan, menjadikan manusia zalim, tamak, gila kuasa dan bebas – menjadikan manusia hidup hanya untuk meraih kesenangan dunia tanpa mengira halal dan haram. Di bawah ideologi kapitalis inilah hukum Allah SWT dicampakkan dari pemerintahan dan segala bentuk maksiat merajalela. Ideologi Kapitalis dengan sistem demokrasi inilah yang sebenarnya mengancam umat Islam, yang wajib dibuang dan diganti dengan sistem Islam di bawah Negara Khilafah yang penuh rahmat dan berkat.