Dulu pecah di perut kini pecah di mulut
Pihak buat pelbagai tuduhan tidak bertanggungjawab, ada kepentingan peribadi
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyelar sikap dan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang disifatkan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing.
Perdana Menteri yang sebelum ini menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan supaya meletakkan jawatan, juga dengan lantang menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinannya, terutama berhubung prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.
Abdullah yang juga Presiden Umno menegaskan, beliau wajar bersuara selepas rakyat mahukannya mempertahankan diri daripada pelbagai tuduhan yang tidak berasas.
Katanya, Dr Mahathir sering menghentamnya dengan pelbagai tuduhan seolah-olah beliau (Dr Mahathir) tidak pernah melakukan kesalahan.
“Kononnya pada zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut dan ada yang kata saya ini lembik, tetapi (dalam masa yang sama) takut pula pada si lembik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno, yang pertama diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac lalu.
Taklimat selama 90 minit yang diadakan secara tertutup di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri lebih 1,000 Ketua Penerangan Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli Majlis Tertinggi (MT). Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Abdullah mengakui Dr Mahathir memang mempunyai kekuatan dan pengaruh, tetapi menegaskan bekas Perdana Menteri itu menyalahgunakan kekuatannya sehingga merugikan parti.
“Tun Mahathir kata dia kuat, tetapi beliau menyalahgunakannya. Dulu masa kita (BN) menang pada pilihan raya 2004, beliau berkata kuat sangat, tak boleh, tak elok, kena ada pembangkang.
“Apabila keputusan pilihan raya 2008 pembangkang naik (menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen), kita ingat dia nak celebrate (raikan), tapi kita kena hentam pula. Mengapa jadi begini?
“Menang banyak tak boleh dan menang sikit pun tak boleh… (jadi) apa yang boleh?” katanya mempersoalkan keikhlasan Dr Mahathir mengkritik kepemimpinannya.
Ditanya sama ada beliau akan berlawan dengan Dr Mahathir, Abdullah berkata: “Saya bercakap apa yang perlu saya cakap dan saya tidak bercakap apa yang saya tidak perlu bercakap.”
Mengenai dakwaan Dr Mahathir yang beliau terlalu berkuasa sehingga anggota Kabinet dan MT Umno tidak berani bersuara, Abdullah berkata ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri itu, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir.
“Selepas Dr Mahathir mengambil alih pemerintahan daripada Tun Hussein Onn, bekas Perdana Menteri itu terus mengarahkan wartawan supaya tidak menyiarkan berita dan gambar Hussein.
“Saya tahu, bukan saya tidak tahu… orang tertentu ditekan oleh akhbar. Ini arahan daripadanya… ia berlaku dari semasa ke semasa dan Dr Mahathir masih melakukan perbuatan sama dengan cuba menjatuhkan kepemimpinannya,” katanya.
Abdullah secara sinis juga berkata, semua menteri seolah-olah bodoh dan hanya menantunya, Khairy Jamaluddin saja yang pandai.
“Tuduhan ini dibuat tanpa batasan dan terus hentam saja,” katanya menjawab tuduhan kononnya beliau membiarkan dirinya dipengaruhi oleh Khairy dalam membuat keputusan dan mentadbir negara.
Mengenai usaha Anwar untuk memancing 30 Ahli Parlimen BN Sarawak menyertai pakatan pembangkang pula, Abdullah berkata itu adalah perbuatan keji dan bersifat rasuah.
Beliau menegaskan perbuatan keji Anwar itu tidak didorong sebab lain, kecuali kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.
“Ini dilakukan semata-mata kerana ketua mereka hendak menjadi Perdana Menteri. Jika mereka menggunakan wang, ini adalah satu perbuatan rasuah.
“Dia akan cakap dan buat apapun, tapi ini satu rasuah jika pendekatan yang akan diambil menggunakan wang. Pada saya, ini perbuatan keji kerana tidak mengiktiraf hakikat bahawa Ahli Parlimen yang menang adalah atas kehendak rakyat,” katanya.
Abdullah berkata, Anwar yang dikatakan sedang berusaha memujuk Ahli Parlimen BN menyertai pembangkang, memang tidak sabar-sabar untuk menjadi Perdana Menteri.
Katanya, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, pemimpin pembangkang itu menyifatkan dirinya sebagai pemimpin alternatif dan kini menganggap dirinya sebagai ‘leader in waiting’.
“Biarlah dia menunggu,” katanya.
Ditanya sama ada beliau mempunyai peranan dalam pembebasan Anwar daripada hukuman penjara, Abdullah berkata keputusan itu dibuat mahkamah dan beliau langsung tidak terbabit.
“Kerja itu saya tidak buat, orang lain saya tidak tahulah,” katanya merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada September 2004 membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat selepas menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa.
Mengenai kecaman Tengku Razaleigh dan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti pada Disember ini, Abdullah berkata Ahli Parlimen Gua Musang itu perlu menilai dirinya terlebih dulu.
“Dialah yang menyebabkan Umno kalah. Dialah yang menyebabkan Kelantan jatuh kepada Pas (ketika Tengku Razaleigh bersama Semangat 46 pada Pilihan Raya Umum 1990),” katanya.
Malah, katanya, Tengku Razaleigh tidak pernah membantu Umno Kelantan dalam usaha merampas kembali Kelantan daripada Pas.
Abdullah berkata, satu daripada kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tengku Razaleigh, iaitu Galas, juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.
Sumber: Beritah Harian 07/04/08
Ulasan:
Nampaknya peribahasa “biar pecah di perut jangan pecah di mulut” sudah tidak lagi boleh digunakan oleh UMNO. Pergaduhan yang berlaku di dalam UMNO nampaknya sudah menghampiri kemuncak apabila Presidennya sendiri yang juga Perdana Menteri Malaysia, telah ‘mengisytiharkan’ perang terbuka dengan orang yang mengkritiknya. Bila perang dah diisytiharkan, bukan sahaja senjata-senjata baru yang dikeluarkan, senjata-senjata lama pun turut dibawa sekali. Apa yang selama ini hanya ‘pecah di perut’ kini telah mula ‘pecah di mulut’. Permusuhan dalaman yang selama ini membusuk dalam UMNO sudah tidak lagi dapat di selindungkan.
Setelah tidak tahan dikritik hebat oleh orang kuat UMNO sendiri (Mahathir dan Ku Li khususnya) dan juga bekas orang kuat UMNO (Anwar Ibrahim), maka beberapa ‘urusan politik’ yang selama ini didiamkan telah dibuka oleh Pak Lah. Pak Lah telah mula menyerang balas dengan membidas semua pengkritiknya dan biasalah, dalam peperangan politik dalaman sebegini, segala keburukan orang lain semasa pemerintahan dahulu akan didedahkan sebagai senjata utama.
Nah, sekarang tiada siapa lagi dapat menyembunyikan kebusukan yang ada di dalam UMNO selama ini apabila Presiden dan bekas Presiden dan juga bekas Timbalan Presiden telah berperang secara terbuka.
Satu pihak di dalam UMNO mahu UMNO dipulihkan dengan melakukan ‘overhaul’ manakala pihak yang lain masih tetap dengan pendirian ‘membaiki sedikit-sedikit’. Orang di luar UMNO yang selama ini memusuhi UMNO, kini sedang menjolok habis-habisan agar UMNO gugur dengan secepatnya dan mereka pula boleh berada di atas.
Bagi musuh UMNO, mereka tentunya gembira dengan kekalutan yang berlaku di dalam UMNO sekarang dan apa lagi, bodohlah jika mereka tidak mengangguk di air keruh. Bagi orang dalam UMNO sendiri, kedudukan retak menanti belah yang melanda ini tidak boleh didiamkan begitu sahaja, mereka perlu terus hidup dengan kuasa dan kemewahan yang dikecapi. Jadi, golongan ini sedang berfikir hebat dan melihat apa yang akan berlaku. Jika perlu, ‘lompat parti’ adalah pilihan yang paling selamat untuk mengekalkan status quo.
Apa yang tidak disedari ramai dalam perbalahan politik kotor ini adalah, kebanyakan yang terlibat dan sedang tamak menuju kekuasaan adalah ‘orang-orang Islam’. Kuasa punya pasal, ‘ikatan akidah’ bukan lagi dijadikan ukuran, tetapi ‘ikatan manfaat’lah yang mengatasi segala-galanya. Masing-masing sekarang ini sedang ‘berperang’ sama ada ingin mengekalkan manfaat/kuasa yang sedia ada (di satu pihak), atau berjuang untuk meraih manfaat/kuasa, di pihak yang satu lagi. ‘Islam’ tidak lagi dijadikan ukuran untuk menyatukan mereka, apatah lagi untuk dijadikan hukum Allah yang wajib diterapkan, Islam kini (dan dulu juga) sudah dicampakkan oleh golongan sekular yang bergaduh ini. ‘Manfaat’ adalah matlamat dan agenda utama perjuangan yang evergreen bagi mereka.
Pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini sudah melalaikan firman Allah,
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul(Nya) dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya” [An-Nisa’ (4):59].
Mereka bukan lagi mengembalikan persengketaan mereka kepada Al-Quran dan Sunah, namun dikembalikan kepada hawa nafsu. Pada hal apa yang sepatutnya mereka lakukan adalah melantik seorang Khalifah yang merupakan Ulil Amri bagi seluruh kaum Muslimin dan mengembalikan segala persengketaan kepada Allah dan RasulNya. Alangkah jauhnya mereka dari kebenaran, kerana itulah mereka tidak akan habis-habis bergaduh dan berperang sesama sendiri, sehinggalah Allah menggantikan kepimpinan mereka dengan seorang Khalifah yang akan menyatupadukan bukan sahaja mereka, malah kaum Muslimin di seluruh dunia. Insya Allah.