Pengkhianatan Pemimpin Umat Islam Hari Ini Dalam Perang Ain Jalut

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini adalah bulan rahmat yang mana seorang Muslim itu giat berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dan mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda dariNya. Ia juga merupakan bulan yang memberikan banyak pelajaran kepada umat Islam seperti yang tertulis di dalam lipatan sejarahnya. Sepanjang bulan ini kaum Muslimin telah banyak berjuang dalam pertempuran yang dengan demikian itu rahmat Islam telah berjaya dikembangkan ke tanah yang baru dan penjajah tanah umat Islam dihalau demi menegakkan kembali kekuasaan Islam dan umatnya. Salah satu peperangan yang terkenal adalah Perang Ain Jalut yang berlaku dalam tahun 658 hijriah menentang penjajahan kaum Tartar, yang dianggap sebagai salah satu daripada kejayaan luar biasa yang pernah tercatat dalam sejarah kemanusiaan. Mengambil kira situasi sukar yang berlaku terhadap umat Islam masa kini di Afghanistan, Palestin, Kashmir, Indonesia, Bosnia, Chechnya – malah umat Islam di seluruh dunia secara umumnya, banyak /kesamaan dan iktibar penting yang dapat kita timba dari peristiwa peperangan yang terkenal ini.

Gambaran Keseluruhan Peperangan

Di penghujung tahun 656 Hijriah, bangsa Tartar  telah melancarkan satu serangan mereka yang terbesar ke atas tanah Khilafah Muslimin yang mengakibatkan jatuhnya kota Baghdad, terbunuhnya Khalifah Al-Musta’shim Billah, dan terjajahnya tiga per-empat dari wilayahnya. Sewaktu dalam perjalanan menghala ke Mesir dan Maghribi, kubu akhir yang terkuat bagi kaum Muslimin, tentera Tartar telah menghantar sepucuk surat ancaman untuk Wali (Gabenor) wilayah Mesir, Mahmoud Saifudeen Qutuz, yang antara lain menyatakan, “Kami telah menghancurkan tanah itu, menjadikan anak-anak mereka yatim-piatu, menyeksa dan membunuh mereka, mencabul kehormatan mereka dan menjadikan pemimpin mereka tawanan. Apakah anda fikir anda boleh melepaskan diri daripada kami? Anda akan tahu selepas ini apa yang akan datang kepada anda…” mereka menjangkakan, ugutan semacam ini sudah mampu untuk mematahkan rintangan kaum Muslimin terhadap kemaraan mereka lantaran kelemahan dan rendahnya moral dan semangat kaum Muslimin ketika itu. Qutuz bagaimanapun telah memberikan jawapan yang berbeza. Beliau telah membunuh semua delegasi tentera Tartar tersebut dan mayat mereka dibiarkan tergantung di dalam kotanya, sehingga tindakannya itu dilihat berjaya meningkatkan semangat tentera dan rakyatnya, dan dari satu sudut yang lain pula ia berjaya menyampaikan amaran keras terhadap pengintip yang dihantar serta  pengikut setia musuhnya.

Ia telah berjaya menaikkan semangat kaum Muslimin ketika itu dan pada masa yang sama telah mengejutkan kaum Tartar kerana mereka sedar bahawa mereka sedang menghadapi seorang pemimpin yang lain daripada  apa yang telah mereka jumpai sebelum ini.

Qutuz kemudiannya menghimpunkan kaum Muslimin untuk menghadapi pertempuran yang tidak dapat dielakkan tersebut. Di bawah kepimpinannya, kaum Muslimin telah bersatu atas dasar Iman, kesepakatan, dan senjata-senjata besi yang perlu telah disediakan untuk berhadapan dengan musuhnya. Dia turut memohon bantuan dari pegawai-pegawainya dan para ulama’ untuk bersama-sama dengannya menyeru kaum muslimin untuk berjuang mempertahankan Islam dan menumpukan usaha untuk membebaskan tanah-tanah mereka yang telah dijajah.

Tibalah masa untuk pertempuran yang kemudiannya berlaku di medan perang Ain Jalut bersamaan dengan hari Jumaat, 25 Ramadhan 658 hijriyah. Qutuz sendiri yang mengepalai tentera kaum Muslimin ke medan perang telah memberikan goncangan pada jiwa tentera-tentera Tartar. Memerhatikan situasi ini, Qutuz kemudiannya memanjat naik atas seketul batu besar, mencampakkan topi perangnya, beliau melaungkan “Wa Islamah. Wa Islamah.” (Demi Islam! Demi Islam!). Beliau menyeru tentera-tenteranya menetapkan hati berjuang menentang musuh-musuh Allah. Kemudian pemimpin tentera Muslimin beliau yang asalnya berasa goyah dan putus asa terhadap pertempuran ini berpaling apabila mendengar suara beliau yang garang bersama riak mukanya yang kemerahan marah menghayun dan menebas pedangnya dengan penuh keberanian untuk menewaskan musuh-musuhnya. Keberanian Qutuz ini telah memeranjatkan pemimpin-pemimpinnya yang pantas mengikuti langkah-langkahnya, dan akhirnya meningkatkan semangat tentera Islam keseluruhannya. Lama-kelamaan pertempuran itu telah mulai memihak kepada tentera Muslimin sehinggalah kemudiannya barisan tentera Tartar dihancurkan memaksa mereka melarikan diri dari medan pertempuran. Kemenangan berpihak kepada Islam dan kaum Muslimin. Bagi tentera Tartar, apabila mereka menyedari serangan dan dominasi mereka ke atas wilayah Timur Islam semakin pudar dan umat Islam berjaya meningkatkan kembali kekuatannya, mereka telah melarikan diri pulang ke tanah air mereka, yang memudahkan usaha-usaha Qutuz untuk membebaskan kesemua wilayah Shaam dalam masa beberapa minggu. Kemenangan besar kaum Muslimin di bawah kepimpinan yang ikhlas tersebut, yang pada satu masanya adalah sangat lemah dan dikuasai oleh musuh, mempunyai banyak kesamaan ke atas keadaan umat Islam pada hari ini.

Perbandingan 1 –  Pengkhianatan Pemimpin

Keupayaan kaum Tartar menghancurkan umat Islam, mengambil alih ibu kota Khilafah, membunuh rakyat-rakyatnya yang tidak berdosa, dan menjajah sehingga dua pertiga tanah umat Islam, adalah sebagai akibat daripada pengkhianatan yang dilakukan oleh Al-‘Alkami. Al-‘Alkami adalah menteri Khalifah Mu’tasim Billah. Dia memperdaya Mu’tasim supaya melakukan perdamaian dengan pihak Tartar sementara itu pada masa yang sama dia telah mengikat perjanjian rahsia dengan mereka, menjanjikan untuk mereka pelepasan dari sebarang halangan semasa serangan mereka dengan syarat mereka melantiknya menjadi Khalifah dan membenarkan dia mendirikan kerajaannya sendiri di Baghdad. Pengkhianatan ini telah membawa kepada kematian Mu’tasim dan pegawai-pegawainya yang ikhlas serta ulama yang diutus oleh khalifah untuk berunding dengan kaum Tartar kemudiannya telah dibunuh oleh mereka. Ia juga membawa kematian kepada dirinya sendiri di tangan kaum Tartar, dan janji mereka kepadanya tidak memberikan apa-apa makna.

Bandingkan pengkhianatan yang dilakukan oleh Al-Alkami dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin umat Islam pada masa sekarang. Kaum Muslimin telah diperdaya supaya melakukan perdamaian dengan Israel melalui tindakan pemimpin-pemimpin, yang kebanyakannya telah melakukan perdamaian ini secara terbuka, seperti Hosni Mubarak di Mesir, Raja Abdullah di Jordan, dan Yasser Arafat di Palestin. Hasil dari pengkhianatan ini, entiti Israel terus wujud dan juga pembelotan serta pertumpahan darah Muslimin di Palestin yang hidup umat yang tertindas di bawah pemerintahan Israel. Apa yang pemerintah ini dapat sebagai balasan daripada pihak musuh tersebut? Keadaan ekonomi yang parah, masyarakat yang terabai, hilangnya kuasa politik, ketakutan yang berpanjangan terhadap Israel dan umat Islam yang telah mengetahui tentang pembelotan pemimpin-pemimpin ini yang berusaha untuk menjatuhkannya. Contohnya Musharraf yang cuba meyakinkan umat Islam di Pakistan tentang faedah-faedah membenarkan Amerika mengebom muslimin di Afghanistan atas dasar manfaat ekonomi, penghapusan sekatan ekonomi dan pembentukan kerajaan baru di Afghanistan. Apa yang Musharraf dapat sebagai balasan terhadap perkhidmatannya kepada Amerika? Faedah ekonomi yang dijanjikan oleh Amerika tidak memberi sebarang kesan terhadap jumlah hutang yang dimilikinya lantaran polisi penyesuaian struktur IMF yang sukar dan telah menempatkan sumber ekonomi paling penting Pakistan berada di tangan pelabur-pelabur dan institusi swasta asing sehingga meletakkan umat Islam di Pakistan terus berada dalam kesusahan. Secara politik, Musharraf ‘terkejut’ apabila mendapat tahu NATO telah memasuki Kabul dengan kebenaran Amerika, walhal sebelumnya Amerika telah berjanji untuk menghalang NATO daripada memasukinya sehingga ia berunding dengan kepimpinan Pakistan.

Pemimpin-pemimpin ini dan pengkhianatan yang mereka lakukan tidak membawa apa-apa keuntungan sama ada kepada Islam, Muslimin, malah kepada diri mereka sendiri – namun mereka masih meneruskannya.

Firman Allah SWT:

“(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).”
[TMQ An-Nisa’[4]: 139]

Perbandingan 2 – Reaksi kepada Ancaman Musuh

Tentera Tartar telah memberikan ugutan dan peringatan kepada kaum Muslimin mengenai sebarang penentangan terhadap penjajahan dan pemerintahan mereka. Tetapi, walaupun tentera Muslim berada dalam keadaan yang lemah dan rendah semangat mereka, Qutuz bangkit dengan keyakinan terhadap Islam dan bertindak balas terhadap surat ancaman tersebut dengan ancaman yang lebih kurang serupa. Tindakan beliau ke atas delegasi kaum Tartar tersebut adalah untuk menyampaikan mesej kepada mereka bahawa mereka sedang berhadapan dengan seorang pemimpin yang tidak akan berkompromi terhadap penghinaan/penodaan terhadap Islam, umatnya dan tanahnya. Beliau kemudiannya telah menggerakkan tentera-tenteranya untuk persediaan peperangan tersebut.

Bandingkan hal ini dengan keadaan semasa Bush, Presiden AS mengumumkan bahawa perang Afghanistan adalah peperangan yang mana negara-negara dunia harus memilih sama ada ingin berpihak kepada AS atau menjadi musuh AS. Di hadapan delegasi PBB, dia memberikan ancaman dengan menyatakan “Sama ada anda bersama atau menentang kami”. Bagaimana pemimpin-pemimpin umat Islam telah bertindak balas terhadap ugutan ini yang membawa kepada penodaan ke atas Islam, umat dan tanahnya?

Musharraf, Karimov dan pemimpin Turki adalah antara mereka yang bukan hanya menyokong tindakan dan ugutan Amerika ini, malah turut menyediakan bantuan logistik dan perisikan ke atas serangan yang dilakukan pada umat Islam di Afghanistan. Pemimpin Libya, Muamar Gadafi dan pemimpin Jordan, Abdullah adalah antara mereka yang menyatakan sokongan mereka pada Amerika kepada umum dan malah memberikan sokongan kepada Amerika untuk meneruskan pengeboman walaupun dalam bulan Ramadhan. Pemimpin yang lain seperti Bashier (Sudan) dan Arafat menawarkan sokongan mereka dengan mengumpulkan senarai “pengganas yang disyaki” di dalam negara mereka dan menyerahkannya kepada CIA.

Orang-orang seperti Basar al-Assad pemerintah Syria, yang memberikan sokongan secara tidak lansung mereka kepada Amerika untuk mendapatkan jaminan supaya ancaman dan serangan Amerika ini hanya terbatas setakat di Afghanistan sahaja dan tidak merebak ke negara-negara Arab. Manakala untuk orang-orang seperti Saddam Hussein, penentangannya terhadap Amerika yang ditunjuk-tunjukkan kepada umum tidak boleh dianggap sama seperti kedudukan Qutuz. Qutuz berdiri untuk Islam dan semangatnya untuk membela Islam, manakala Saddam pula telah menodai/menghina agama Islam, mencabut nyawa kaum muslimin, dan mengaut kesemua kekayaan milik rakyat di Iraq lebih dahulu awal-awal lagi sebelum kedatangan Amerika. Dan untuk kedudukan politiknya, ianya jelas untuk kepentingan dan faedah tuannya, iaitu  pihak British.

Sementara tindak balas Qutuz kepada kaum Tartar telah menaikkan semangat kaum Muslimin dan pada masa yang sama telah memberikan kejutan kepada musuhnya, tindak balas pemimpin hari ini pula dalam menghadapi keadaan yang sama seperti dahulu, telah menyebabkan umat Islam menderita dan pada masa yang sama menjanjikan Amerika mencapai apa sahaja kehendaknya. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu” [TMQ Muhammad (47) : 7]

Perbandingan  3 – Reaksi Para Ulama’

Antara ulama’ terkenal yang melibatkan diri menyeru kaum Muslimin untuk bersatu dan bersedia untuk berjihad di waktu Ain Jalut adalah Sheikh-ul-ulama’ Al-Izz Bin Abdis-Salam. Selain menyahut seruan Qutuz menyeru kaum Muslimin dengan bersemangat dan juga menggunakan mimbar-mimbar masjid untuk memperingatkan kaum Muslimin tentang tanggungjawab mereka, keikhlasan beliau  terserlah contohnya apabila Qutuz meminta fatwa untuk membenarkan kerajaan mengambil cukai daripada rakyat bagi tujuan untuk menyediakan kelengkapan perang dan tentera Muslimin, beliau menolak sehinggalah semua harta pemerintah dan pegawai kerajaan dibelanjakan untuk tujuan itu.

Bandingkan hal ini dengan ulama’-ulama’ yang duduk dalam masyarakat pada masa kini, manakala pada masa yang sama ramai lagi pejuang-pejuang agama yang ikhlas menderita disumbatkan ke dalam penjara-penjara di negara umat Islam. Bagaimana ulama’ hari ini sanggup turut bersekongkol bersama dengan pemerintah membelot terhadap Islam dan umatnya di Afghanistan dan di negeri-negeri mereka sendiri. Ketika Putera Nayef, Menteri Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan “tidak ada sesiapa yang berhak mengeluarkan fatwa melancarkan jihad dan memberi sokongan ke atas rejim Afghanistan, kecuali Majlis Fatwa atau sesiapa sahaja yang dibenarkan oleh majlis tersebut untuk mengeluarkan fatwa. Ulama bersepakat ke atas perkara ini, dan jihad tidak menjadi wajib sehinggalah perintah melaksanakannya dikeluarkan oleh pemerintah negara tersebut”, ke manakah perginya para ulama’ yang duduk dalam majlis fatwa tersebut yang sepatutnya mengisytiharkan jihad? Malah di Amerika Syarikat, ada seorang Imam yang mengisytiharkan bahawa tanggungjawab seorang tentera Muslim dalam pasukan tentera Amerika dalam mempertahankan tanah air mereka dan menyerang sesiapa sahaja yang dianggap oleh Amerika sebagai musuh. Daripada mempertahankan kebenaran pimpinan yang adil, mereka lebih suka membenarkan pemesongan yang dilakukan oleh pemimpin yang zalim yang telah memisahkan tanah-tanah kaum Muslimin dan menerapkan undang-undang kufur ke atas mereka.  Malahan mereka telah mereka telah membenarkan para pemimpin merampas kekayaan kaum Muslimin dengan mengenakan cukai yang tinggi dan melampau seperti kerajaan Pakistan yang mengenakan Cukai Jualan dan peningkatan Cukai Tambahan (Value Added Tax-VAT) yang dikenakan oleh kerajaan Sudan sebagai tambahan kepada cukai yang sedia ada.

Abi al-‘Awar as-Silmi (ra) melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap pintu-pintu yang mendekati penguasa, kerana ia sebenarnya menjadi punca fitnah dan juga kehinaan” [Sahih ad-Dailamee, Ibn Mundah, Ibn-Asaki – as-Saheehah: 1253]

Perbandingan 4 – Persediaan Menghadapi Peperangan

Qutuz telah menghimpunkan pegawai-pegawainya, para Ulama’ dan kaum Muslimin atas dasar Iman, perpaduan dan persediaan untuk berperang serta menumpukan kepada kejayaan yang bakal Allah berikan pada kaum Muslimin ke atas musuhNya. Dana yang mencukupi talah dikumpulkan untuk mencapai objektif ini dan tenteranya telah digerakkan untuk bertarung di medan jihad demi mempertahankan Islam, umat dan tanah kaum muslimin menentang kaum penjajah.

Bandingkan pemerintah umat Islam pada hari ini yang juga telah mengumpulkan para pegawai, ulama’ dan tentera untuk peperangan. Musharraf telah membantu Amerika untuk persediaan peperangan menentang kaum Muslimin dan meninggalkan mereka sepenuhnya. Dia lebih sanggup mengarahkan tenteranya berkawal di sepanjang sempadan Afghanistan-Pakistan bagi menghalang kemasukan kaum Muslimin dari negara itu ke sempadan negaranya bagi mencari perlindungan daripada memerintahkan tenteranya berdiri bersama-sama umat Islam Afghanistan menentang musuh mereka. Musharraf juga menggunakan tenteranya untuk menekan sebarang usaha demonstrasi yang menyatakan sokongan terhadap Jihad di Afghanistan dan menghalang sebarang penyaluran dana untuk jihad di sana. Sementara itu di sebelah Jordan pula ketika serangan Israel ke atas Palestin sedang berlaku. Salah satu unit tentera Jordan yang baru sahaja pulang dari melaksanakan tugas yang jauhnya adalah 1500 batu dari tempat mereka untuk mempertahankan kepentingan British di Sierra Leone sanggup hanya sekadar melintasi sempadan Palestin dan membiarkan sahaja kaum Muslimin yang dibunuh oleh tentera Israel, yang jaraknya dari kawasan mereka hanyalah 10 meter.

Adakah para pemerintah ini telah melupakan perintah Allah SWT yang firmanNya berbunyi:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” [TMQ Al-Anfaal (8) :60]

Dan Allah SWT juga berfirman:

“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat…”[TMQ al-Mumtahanah[60]:1]

Perbandingan 5 – Seruan Kembali kepada Islam Ketika Saat Memerlukan

Di waktu tentera Tartar masih lagi menguasai pertempuran, Qutuz telah memanjat sebuah batu besar, mencampakkan topi perangnya sambil melaungkan “Wa Islamah… Wa Islamah” (Demi Islam..Demi Islam), menyeru tenteranya berdiri teguh menentang musuh-musuh Allah. Tindakan beliau ini adalah sama seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sewaktu dalam peperangan Uhud yang mana baginda menyeru sembilan orang Sahabat (radhiallahuanhum) yang berada di sekitar baginda sambil melaungkan, ”Marilah sini! Marilah sini! Akulah Rasulullah,” yang mana pada ketika itu kafir Quraisy telah pun menguasai pertempuran tersebut mengatasi kekuatan Muslimin dan ramai di kalangan kaum Muslimin ketika itu yang mulai lemah dan meninggalkan medan pertempuran selepas mendengar khabar bahawa Rasulullah SAW telah terbunuh. Inilah keimanan, semangat dan rasa cinta terhadap Islam yang ingin dibina oleh Qutuz pada tentera-tenteranya.

Bandingkan situasi tersebut pada pemerintah hari ini. Walaupun keadaan pada ketika ini amat memerlukan penyatuan kaum Muslimin atas dasar Islam dan bantuan dari Allah merupakan satu kepastian, malangnya kita masih melihat pemerintah hari ini melaungkan, “Demi Amerika!! Demi PBB!! Demi NATO!!” Arafat dan pemerintah Arab tidak berusaha mengumpulkan kekuatan kaum Muslimin atas dasar Islam ketika berhadapan dengan Israel. Sebaliknya Arafat telah menyatakan bahawa tidak akan ada perdamaian selagi Amerika tidak masuk campur tangan. Juga seperti mana Mushararraf. Ketika beliau ditekan oleh Amerika berkenaan Afghanistan, dia bertindak menghimpunkan kaum Muslimin supaya menyokongnya di dalam menerima tuntutan Amerika yang mahu menggunakan lapangan terbang Pakistan bagi melancarkan serangan ke atas Afghanistan.

Tidakkah pemerintah-pemerintah ini ingat akan doa Rasulullah SAW ketika baginda dihalau keluar dari Kota Thaif sambil tubuh baginda dibasahi darah akibat dibaling batu oleh kanak-kanak dan hamba abdi, beliau mengadu: “Ya Allah! Kepada Engkaulah aku mengadukan kelemahan kekuatanku, dan sedikitnya daya upayaku dan kehinaanku bagi manusia, ya Tuhan yang Maha Penyayang kepada orang-orang yang kasih sayang. Ya Tuhan, Engkaulah yang memelihara orang-orang yang dipandang lemah, yang tertindas, dan Engkaulah Tuhanku, kepada siapa Engkau akan menyerahkan aku? apakah kepada musuh yang jauh yang amat benci kepadaku, ataukah kepada kawan yang dekat yang telah Engkau beri kekuasaan mengurus urusanku? Jika engkau tidak murka kepadaku, maka tidaklah mengapa, aku tidak peduli, melainkan kemurahan Engkau lebih lapang kepadaku, itulah yang aku harapkan. Aku berlindung kepada Nur Wajah Engkau yang mulia, yang menyinari langit dan bumi, dan yang menerangi semua kegelapan dan memperbaiki urusan dunia dan akhirat. Semoga Engkau janganlah menjatuhkan kemarahan Engkau kepadaku; atau janganlah Engkau menurunkan kemurkaan Engkau kepadaku; Dan kepada engkaulah semua celaan ini aku serahkan sehingga Engkau redha. Dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Engkau jua.”

Perbandingan 6 – Kesan daripada peperangan

Kesan utama daripada peperangan ini adalah pembebasan kaum Muslimin dari penguasaan kaum Tartar dan aqidah mereka yang sesat, meningkatnya keyakinan dan semangat kaum Muslimin, dan juga mendapatkan semula kekuatan dan kedudukan Negara Islam yang telah berdiri semenjak berabad lamanya mempertahankan Islam dan umatnya ke atas tersebarnya kekufuran.

Bandingkan dengan hari ini. Lihat sahajalah pada perang Arab-Israel, Pakistan-India, Bosnia, Palestin, Perang Teluk dan lain-lain lagi yang melibatkan umat Islam, hasil langsung dari kesemua ini adalah pemerintah-pemerintah umat Islam ini telah mengukuhkan lagi kekuasaan kufur ke atas mereka, menghancurkan semangat dan keyakinan kaum Muslimin, mengkhianati Islam dan umatnya. Kesan malapetaka yang berlaku di Afghanistan telah memperlihatkan betapa pemimpin-pemimpin Afghanistan berkumpul seperti peminta sedekah di persidangan Bonn, German yang membincangkan kerajaan baru Afghanistan setelah tertumpahnya darah kaum Muslimin di sana, sementara penjajah Amerika pula sibuk untuk mencari kawasan baru bagi serangan mereka ke atas pengganas.

Kesimpulan

Perang Ain Jalut adalah peristiwa gilang-gemilang yang berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam. Jika hendak dibuat perbandingan dengan tujuan untuk mencari pengajaran di dalam usaha untuk membangkitkan semula umat Islam, maka pengajaran yang dapat diambil  daripada sejarah perang tersebut adalah:

Di bawah kepimpinan Islam yang ikhlas, umat Islam itu telah disatukan, mereka berjaya memperoleh kekuatan dan mengatasi kelemahan, Iman mereka dihidupkan dan tentera-tenteranya pula dipersiapkan dan digerakkan untuk menghalau penjajah, mempertahankan tanah dan jiwa umat Islam dan mengembalikan kekuasaan kepada Islam.

Pada hari ini kita tidak lagi memiliki pemimpin yang ikhlas dan juga negara Islam yang akan menggerakkan sumber-sumber yang dimiliki umat Islam untuk memikul tanggungjawab terhadap agama dan umatnya. Iaitu pemimpin-pemimpin yang sentiasa mencari kemenangan ke atas musuh Allah, rasulnya dan juga kaum muslimin.

Bulan Ramadhan yang dirahmati ini tidak seharusnya berlalu tanpa umat Islam itu bangkit dan melibatkan diri dalam tugas untuk mengebumikan kepimpinan dan sistem kufur yang sedang menguasai ruang lingkup kehidupan kita pada hari ini.

Semoga Allah SWT memberikan pertolongan kepada kita untuk menunaikan ibadah puasa ini dan menegakkan kembali Khilafah yang akan mengembalikan hak dan kehormatan umat Islam dalam masa terdekat ini.

Sumber : www.khilafah.com