Majlis Iftar Ramadhan syabab HTM di STAM, Sg. Ramal Dalam, Kajang
Apabila azan Maghrib berkumandang ke udara tanda masuknya waktu berbuka puasa, para syabab dan para hadirin disajikan pula dengan jamuan iftar Ramadhan yang ringan dan berat secara serentak. Selesai sahaja sholat Maghrib secara berjamaah, para jamaah diperdengarkan pula dengan tazkirah ringkas daripada Presiden HTM iaitu Al Fadhil Ustaz Abdul Hakim Othman yang bertajuk “Al Quran Sebagai Panduan Hidup”. Dalam tazkirah tersebut, beliau mengingatkan tentang peri penting dan wajibnya bagi umat Islam mengembalikan hukum- hukum yang terkandung di dalam Al- Quran agar diterapkan di dalam kehidupan sehari-harian dan bukan sekadar untuk dibaca sahaja. Dengan kata lain menjaga pelaksanaan hukum-hukum Al-Quran secara total dan tidak hanya menjaga “fizikal” Al-Quran semata-mata. Tambah beliau lagi, umat Islam perlu meletakkan Al Quran di tempat yang sepatutnya iaitu sebagai qiyadah fikriyah, sesuai dengan sifat Al Quran tersebut sebagai petunjuk, penjelas dan pembeza bagi yang hak dan batil.
Selesai sahaja tazkirah, sholat Isyak pun didirikan dan setelah itu diikuti pula dengan sholat tarawikh yang dipimpin oleh guru STAM. Pameran Khilafah disambung semula selepas sholat tarawikh dengan sambutan dan respon daripada para hadirin yang amat menggalakkan. Di akhir pameran sedikit cendera mata daripada HTM telah disampaikan oleh Presiden HTM kepada pihak STAM. Majlis berakhir sekitar pukul 10.30 malam dan jamuan moreh disediakan untuk semua yang hadir. Di kesempatan ini, HTM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengetua STAM dan Pengerusi PIBG STAM kerana memberi keizinan dan kerjasama kepada syabab HTM mengadakan pameran Khilafah dan tazkirah. Tidak dilupakan juga jutaan terima kasih daripada HTM kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Diharap kerjasama sebegini dapat terus disemai, agar ukhuwah Islam semakin erat dan kesedaran Islam di kalangan umat semakin tersebar luas.