Konvoi Al-Liwa’ Dan Ar-Rayah Hizbut Tahrir Malaysia
Di kala parti-parti politik di Malaysia sedang sibuk berkempen dan mengibarkan bendera masing-masing bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 pada 5 Mei 2013, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah melakukan satu konvoi berkereta dengan membawa al-liwa’ (bendera) dan ar-rayah (panji) Rasulullah SAW mengelilingi Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, Bandar Baru Bangi dan Seremban. Di sepanjang perjalanan yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 7.00 malam itu, konvoi tersebut telah menarik perhatian orang ramai yang berada di bahu jalan dan juga para pengguna jalan raya. Ramai dari mereka yang membunyikan hon dan menunjukkan isyarat bagus kepada peserta konvoi sebagai tanda sokongan.Presiden HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman menjelaskan yang tujuan konvoi adalah untuk memperkenalkan bendera (al-liwa’) dan panji (ar-rayah) Rasulullah SAW kepada umat Islam, di samping menjelaskan tentang kewajipan mendirikan Khilafah, melalui mesej yang tertera di pelekat setiap kenderaan yang menyertai konvoi ini. Al-liwa’ dan ar-rayah merupakan bendera dan panji yang sepatutnya dijulang dan diperjuangkan oleh umat Islam kerana ia adalah bendera dan panji umat Islam, demikian tegas Ustaz Hakim. Bendera ini adalah bendera yang menunjukkan penyatuan umat Islam, tidak sebagaimana bendera-bendera lain yang menunjukkan perpecahan umat Islam, ujar beliau lagi.
Dengan al-liwa’ dan ar-rayah yang diarak oleh peserta konvoi di sepanjang perjalanan hinggalah ke pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya ini, HTM mengharapkan yang satu hari nanti, bendera dan panji Rasulullah ini akan terpacak dan berkibar megah di pusat pentadbiran negara dan hal ini Insya Allah akan dapat direalisasikan apabila berdirinya Khilafah dalam masa yang terdekat ini.