Cepatkan liberalisasi ekonomi atau bebaskan dari belenggu kapitalis?
Bagaimanapun jelasnya, liberalisasi dalam sektor perkhidmatan akan dijalankan secara perlahan-lahan iaitu membabitkan kepakaran dan teknologi yang tidak dimiliki oleh negara. Katanya, meskipun kerajaan menyasarkan peningkatan sumbangan sektor perkhidmatan kepada 70 peratus, segmen yang mempunyai kepentingan negara seperti lapangan terbang dan pelabuhan akan terus dilindungi. Dalam pada itu Amirsham berkata, kerajaan tetap mempertahankan dasar 30 peratus pemilikan bumiputera dalam usahanya melaksanakan proses liberalisasi bagi meningkatkan kemasukan pelaburan asing terutama bagi sektor perkhidmatan. Menurutnya, penerusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan terus dipantau dan dilaksanakan melalui beberapa pendekatan baru antara lain melalui pengumpulan dana-dana bumiputera bagi dilaburkan secara profesional. ”Kita bukan hendak melonggarkan pemilikan bumiputera, sebaliknya mahu menarik pelaburan luar dan dalam negeri melalui proses liberalisasi sektor perkhidmatan dan beberapa sektor yang akan kerajaan tentukan sedikit masa lagi,” katanya.
Mengulas bajet mini berjumlah RM60 bilion itu, Amirsham berkata, Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) akan memainkan peranannya dalam pengurusan makro membabitkan dasar liberalisasi bagi menghadapi cabaran menarik pelaburan terus asing (FDI). ”FIC akan diperkemaskan supaya dapat kita tumpukan penjanaan pelaburan dan dalam tempoh dua bulan lagi, kerajaan akan memberikan penjelasan lanjut mengenainya,” katanya. Sementara itu katanya, terdapat dua pendekatan meningkatkan penyertaan bumiputera bagi menjana pertumbuhan iaitu menggalakkan golongan tersebut menyalurkan dana pelaburan mereka melalui saham-saham amanah. Kerajaan juga katanya, akan menggunakan pendekatan memberi galakan khususnya melalui kewujudan komuniti industri komersial bumiputera dengan menumpukan sekurang-kurangnya pada 13 kluster utama.
”Tumpuan diberikan kepada bumiputera untuk menjayakan perniagaan, bukan sahaja dari segi pemilikan tetapi pelaksanaan pengurusannya dan sokongan pengembangan perniagaan. ”Misalnya dalam bajet mini, Timbalan Perdana Menteri memperuntukkan RM200 juta untuk sektor automotif iaitu salah satu daripada kluster yang ditujukan bagi perkembangan bumiputera,” katanya. Tambahnya, kaedah yang sama diberikan kepada mereka yang terlibat dalam sektor minyak dan gas apabila Petronas memberikan banyak peluang kepada bumiputera mengembangkan perusahaan mereka dalam bidang tersebut.
Sumber : Utusan Malaysia: 18/03/09
Inikah cara berfikir seorang pakar ekonomi muslim? Ini amatlah menyedihkan kerana pemikiran yang dilontarkan untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi masih lagi di dalam belitan pemikiran ekonomi Kapitalisme. Sepatutnya yang disarankan adalah penerapan sistem ekonomi Islam secara kaffah dan dalam masa yang sama membuang terus sistem ekonomi Kapitalisme yang sampai saat ini masih lagi terus diterapkan walaupun kita telah lebih 50 tahun ”merdeka” dari penjajah. Malangnya apa yang disyorkan adalah mencadangkan pencepatan liberalisasi ekonomi untuk meneruskan sistem ekonomi kufur yang pastinya akan memburukkan lagi situasi ekonomi negara ini khususnya, dalm dunia secara amnya. Apakah Islam tidak mempunyai sistem ekonominya tersendiri yang dapat menyelesaikan pelbagai persoalan kehidupan manusia ini? Inilah yang akan terjadi apabila umat sudah begitu jauhi pemikirannya dari penyelesaian Islam.
Apakah kita tidak mengambil ikhtibar dengan kegagalan kuasa besar ekonomi Kapitalisme dunia saat ini? Sudah mula kelihatan AS dengan ekonominya yang terus merudum sedang menuju kehancuran? Apakah semuanya ini tidak menginsafkan dan menyedarkan kita? Firman Allah SWT: ”Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka”.[TMQ al-Hadid(57):16]