Pemain Judi Ditangkap! Taukey Judi? Pemberi Lesen Judi?

KUANTAN, 26 April – Cukup memalukan apabila melihat gelagat sekumpulan orang Melayu beragama Islam lari bertempiaran dan sanggup mengasari pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) ketika ditahan kerana membeli nombor ekor di sebuah premis perjudian di sini semalam. Lebih menyedihkan apabila rata- rata yang bertempiaran lari dan diberkas pada serbuan operasi yang dilakukan pada kira-kira pukul 5.40 petang itu adalah di kalangan orang Melayu yang lanjut usia, malah ada di antaranya hampir dikategorikan sebagai warga emas. Timbalan Pengarah JAIP, Ghazali Abd. Aziz berkata, operasi itu adalah bersempena arahan yang dikeluarkan pada 30 Disember tahun lalu dan mula dikuatkuasakan pada 12 Mac 2009 iaitu melarang umat Islam terlibat dengan kegiatan judi dan mengunjungi premis perjudian di sini. ”Seramai enam lelaki ditahan oleh JAIP dalam operasi yang pertama kali diadakan di dua premis nombor ekor bagi membanteras penglibatan judi nombor ekor di kalangan orang Islam. ”Semua lelaki terbabit berumur antara 29 hingga 54 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987). ”Sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.    Ghazali berkata, pada serbuan sama, terdapat dua lelaki Melayu berjaya melarikan diri selepas bergelut dengan pegawai JAIP. Katanya, salah seorang yang diberkas berusia 54 tahun didapati membelanjakan hamper RM189 setiap minggu semata-mata untuk tujuan berjudi nombor ekor. 

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan terus mengadakan operasi yang sama pada masa akan datang. Katanya, ia akan diadakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk menampal notis larangan berjudi terhadap orang Islam di premis-premis nombor ekor dan lain-lain pusat judi di sini. ”Kita juga berharap pengusaha premis judi akan memberi kerjasama dalam membantu JAIP menguatkuasakan larangan ini.  ”Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi JAIP di talian 09-5179346 bagi membanteras kegiatan judi di kalangan orang Islam,” jelasnya.    Dalam perkembangan lain, kata Ghazali, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 30-an serta dua wanita berusia 23 dan 30 tahun kerana dipercayai melakukan maksiat di sebuah hotel murah di Jalan Datuk Wong Ah Jang di sini awal pagi ini. Menurutnya, wanita berusia 23 tahun itu didapati membawa bersama bayi lelakinya yang baru berusia enam bulan dan seorang lagi wanita berumur 30 tahun membawa anak lelaki berusia enam tahun ketika serbuan itu.   ”Mereka ini akan didakwa mengikut Seksyen 145 enakmen yang sama dan boleh dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” tegas Ghazali.
 
Sumber : Utusan Malaysia, 27/04/09

Pemain Judi Ditangkap! Bagaimana dengan Kedai Judi , Pusat Judi Dan Juga Pemberi Lesen Judi?

Takkan 6 orang sahaja yang dikambing hitamkan? Bagaimana pula dengan tuan punyai kedai judi, tauke besar pusat judi Genting dan mereka yang memberikan lesen kebenaran untuk kedai-kedai dan pusat judi boleh beroperasi?

Ya, judi adalah haram di sisi Islam. Keharaman ini adalah qat’i. Maka apa-apa yang menyangkut dan yang boleh membawa ke arah keharaman itu  secara pasti juga adalah haram.   Al Wasilah ila al haram, haram (perkara yang membawa kepada keharaman adalah haram). Oleh kerana itu, pihak yang berkenaan sewajibnya melakukan pencegahan terhadap aktiviti haram ini dari A sehingga Z, bukan seperti yang ada pada hari ini, hanya pemain-pemain kecilan  sahaja yang ditangkap namun pihak yang lebih besar keterlibatannya dibiarkan begitu sahaja Realiti hari ini juga telah menyaksikan bagaimana operasi judi yang diberikan lesen oleh pihak yang berkenaan boleh beroperasi dengan bangganya dan mengaut keuntungan yang begitu besar. Inilah manifestasi kehidupan secular di mana Islam tidak ada peranan di dalam kehidupan bermasyarakat mahupun negara. Inilah wajah buruk demokrasi yang diberikan oleh Barat kepada kita umat Islam. Secara ‘demokrasi’ judi dibenarkan beroperasi dengan diberikannya lesen ‘halal’. Bagi mereka ini, keharaman judi yang ditetapkan oleh Allah boleh ‘dibeli’ dengan keuntungan jutaan ringgit dari aktiviti judi.

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. [TMQ Al Maa-idah (5):90]. 

Jika pihak agama mengatakaan inilah sahaja bidang kuasa mereka iaitu hanya boleh menangkap orang Islam yang berstatus “bilis” sahaja, maka keterbatasan kuasa mereka ini seharusnya menggerakkan mereka untuk berusaha bagi mengembalikan kuasa Islam yang sebenarnya dengan tertegaknya Khilafah. Khilafah Islam akan mendaulatkan dan menzahirkan hukum Allah di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Sampai bilakah mereka yang zalim dan jahil mahu mempermain-mainkan hukum Allah SWT?