Demokrasi mencipta lubuk judi

Pertumbuhan pusat-pusat perjudian siber di negara ini nampaknya semakin subur. Akhbar Sinar Harian baru-baru ini melaporkan terdapat sekurang-kurangnya lima premis perjudian siber di sekitar kawasan Taman Semabok Perdana, Melaka, yang menjadi lubuk perjudian di Melaka. Apa yang menyedihkan ialah apabila ramai di kalangan kaki judi siber ini terdiri dari anak-anak muda Islam. Lebih parah, apabila pihak berwajib tidak mengambil tindakan serius untuk mengatasi kemaksiatan ini.

Sesungguhnya judi merupakan dosa besar dan boleh merosakkan manusia serta menimbulkan permusuhan. Allah SWT mengingatkan kita dengan tegas, “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” [TMQ al-Baqarah (2):219].

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beruntung. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
[TMQ al-Maidah (5):90-91].

Dalam perkembangan yang berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan telah mengumumkan penubuhan skuad khas bagi membanteras perjudian haram baik secara konvensional mahupun secara haram pada awal bulan ini. Menurut beliau, kerjasama pada peringkat balai polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) akan dipertingkat untuk memerangi kegiatan judi haram itu.

Sekali lalu, kelihatan bahawa langkah ini amat baik. Namun jika diperhalusi dengan akal yang berpandukan wahyu, ternyata bahawa tindakan tersebut jelas mencerminkan kebobrokan sistem yang diterapkan pada hari ini. Kenapa? Ternyata hanya “judi haram” sahaja yang cuba dibanteras manakala “judi halal” akan terus dibiarkan!

Inilah natijah daripada penerapan sistem demokrasi di negara kita. Halal dan haramnya sesuatu itu dinilai oleh manusia pembuat undang-undang, bukannya berdasarkan wahyu. Kerana itulah, judi yang dikatakan haram itu hanyalah judi yang tidak mempunyai lesen, manakala judi berlesen tetap dibiarkan bersepah. Inilah juga natijah daripada penerapan sistem kufur iaitu sistem kapitalisme yang menjadikan manfaat atau nilai kebendaan sebagai tolok ukur dalam menentukan halal dan haram! Justeru, usaha untuk menghapuskan lubuk judi sebenarnya hanyalah satu usaha yang tidak ke mana kerana sistem demokrasi-kapitalisme inilah yang sebenarnya telah mencipta lubuk judi, dengan yang terbesar sekali di Genting Highland!