Ada apa dengan rumah terbuka Madani?
Perang mulut antara kerajaan dan pembangkang memenuhi portal sejak Perdana Menteri Malaysia ke-10 mengumumkan akan mengadakan majlis rumah terbuka sempena Idul Fitri di enam buah negeri, bermula dengan Kedah esok (29/04/2023).
Pembangkang menyifatkan langkah PM tersebut sebagai tindakan politik bagi menghadapi PRN yang bakal berlangsung di enam buah negeri tidak lama lagi. Manakala pihak kerajaan menafikan hal tersebut dan menegaskan bahawa ia adalah semata-mata rumah terbuka untuk memberi jamuan kepada rakyat.
Hanya gara-gara rumah terbuka tersebut, Syawal yang seharusnya ditempuh dengan kesinambungan ketakwaan Ramadhan untuk terus meraih redha Allah, telah disibukkan dengan kecaman dan balas-membalas kecaman di antara pembangkang dan kerajaan.
Begitulah kedudukan elit-elit politik di bawah sistem demokrasi di mana pihak yang memegang kuasa terus berusaha mencari ruang dan peluang untuk mengekalkan kekuasaan, manakala pihak yang satu lagi terus berusaha mencari ruang dan peluang untuk menjatuhkannya. Mereka bercakaran tanpa mengira Syawal, tanpa mengira Ramadhan, tanpa mengira apa pun, apa yang diambil kira hanyalah kepentingan politik masing-masing.
Sudah masuk lima bulan pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan kerajaan perpaduannya, dan sehingga kini ternyata tidak nampak satu pun usaha untuk memartabatkan hukum Allah di bumi Malaysia ini. Keadaan ini dua kali lima dengan pembangkang, yang sudah tidak lagi kedengaran laungan untuk menegakkan hudud, seruan untuk kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya dalam pemerintahan negara, dan lain-lain usaha ke arah penerapan Islam. Semua itu seolah-olah sudah terkubur daripada minda dan perjuangan.
Bulan Ramadhan yang baru berlalu nampaknya gagal untuk menyedarkan kerajaan bahawa ia wajib menerapkan keseluruhan isi kandungan al-Quran, yang diturunkan oleh Allah di dalam bulan Ramadhan sebagai sebuah Perlembagaan dan undang-undang untuk diterapkan!
Apa yang penting bagi kedua-dua blok sekarang ini ialah menumpukan usaha untuk menguasai enam buah negeri dalam PRN akan datang demi mengukuhkan cengkaman politik masing-masing. Ini boleh dilihat daripada kesemua kenyataan dan tindakan mereka. Sudahlah Ramadhan gagal mencelikkan mereka untuk kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Kini Syawal pula menjadi medan untuk meraih political mileage demi dilihat baik di mata rakyat, bukannya untuk dilihat baik di mata Allah.
Tidaklah salah untuk mana-mana pemimpin untuk mengadakan rumah terbuka sekiranya bukan dengan duit rakyat dan tidak ada ikhtilat (percampuran antara lelaki dan perempuan) atau lain-lain tujuan buruk di dalamnya, namun yang salahnya ialah sudah lima bulan memerintah tetapi satu hukum Allah pun tidak diterapkan. Sudah lima bulan memerintah, tetapi perlembagaan dan undang-undang penjajah masih berada lebih tinggi daripada al-Quran dan as-Sunnah di bumi Malaysia ini. Itulah yang salahnya.
Wallahu a’lam.