Ada Had Tempoh Untuk Berpolitik?

Seiring berlabuhnya tirai PRU-13 baru-baru ini, para penjawat awam di seluruh Malaysia kini telah dilarang untuk berpolitik lagi. Bagi mereka yang masih berpolitik khususnya di laman media sosial akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan, pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata, tempoh berpolitik sudah tamat sebaik sahaja keputusan Pilihanraya Umum ke-13 telah diumumkan dan kini tibalah masanya untuk para penjawat awam yang menjadi tonggak pentadbiran negara menjayakan agenda transformasi negara.

Inilah salah satu kekeliruan yang dialami oleh kebanyakan orang termasuklah para cendekiawan dan pemimpin umat Islam pada saat ini terhadap maksud politik yang sebenar sehinggakan aktiviti-aktiviti politik dianggap mempunyai had dan tempoh waktu yang tertentu. Ini sungguh bertentangan kerana dalam Islam, politik (siyasah) adalah mengatur urusan umat di dalam dan luar negara berdasarkan hukum syarak yang mana ia wajib dilaksanakan oleh negara (pemerintah) dan juga umat (rakyat). Negara melakukan aktiviti-aktiviti ini secara langsung dan praktis manakala umat pula mengawasi negara dalam pengaturan tersebut (Taqiuddin An-Nabhani, Konsep Politik Hizbut Tahrir).

Definisi politik (siyasah) ini diambil daripada hadis-hadis yang menunjukkan kewajipan penguasa, kewajipan untuk menegurnya serta pentingnya mengurus kepentingan kaum Muslimin. Antaranya, sabda Rasulullah saw:

“Seseorang yang ditetapkan oleh Allah (dalam kedudukan) mengurus kepentingan umat dan dia tidak memberikan nasihat kepada mereka (umat), dia tidak akan mencium bau surga”
[HR Bukhari daripada Ma’qil bin Yasar ra].

Daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda:

“Dahulu, Bani Israil sentiasa dipimpin dan dipelihara urusan mereka (tasusuhum) oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi meninggal, digantikan oleh Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku, (tetapi) nanti akan ada banyak khalifah”. [HR Muslim daripada Abi Hazim].

Inilah pengertian politik yang sebenar dan ia merupakan pengertian yang syar’i kerana diambil daripada dalil-dalil syarak. Daripada definisi ini, dapat kita fahami bahawa politik dalam Islam melibatkan dua pelaku iaitu negara dan rakyat. Ia meliputi pengaturan dan pengurusan umat di dalam dan luar negara yang mana sumber rujukannya adalah hukum syarak semata-mata.

Mendefinisikan politik Islam dengan pemahaman politik kufur yang ada pada hari ini akan membawa kepada kekaburan politik Islam. Jika dilihat dari segi makna bahasa sekalipun, Islam mengambil istilah Arab iaitu siyasah yang bererti mengatur urusan umat, bukan pengertian politik yang menekankan aspek perebutan atau persaingan kekuasaan semata-mata seperti yang difahami hari ini. Maka adalah wajar dan tidak hairanlah jika umat Islam dilarang untuk berpolitik setelah selesainya musim pilihanraya seperti yang berlaku ketika ini disebabkan pemahaman politik yang salah. Padahal aktiviti berpolitik adalah merupakan suatu kewajipan ke atas setiap individu Muslim tanpa sebarang batasan masa dan keadaan serta para pelakunya akan diberikan ganjaran pahala dan dimuliakan oleh Allah SWT.

Rujukan: http://www.kosmo.com.my