Adakah Hanya Cukup Sekadar Selawat Sahaja Yang Bergema?

sambutan Gema selawat seluruh negara

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW bergema di seluruh pelosok tanah air bersempena sambutan Maulidur Rasul hari ini.  Sambutan peringkat kebangsaan di Putrajaya bermula dengan perarakan sejauh 2.4 kilometer dari Dataran Putra sehingga ke Qiblat Walk, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai 10,315 peserta daripada 114 kontinjen.  Ia diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.  Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke perhimpunan Maulidur Rasul bertemakan ‘1Malaysia 1Ummah’ di masjid tersebut.  Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa menteri Kabinet.  Di MELAKA, sambutan bermula pada pukul 8 pagi apabila 11,180 peserta daripada 199 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, persatuan belia, mahasiswa, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarela berarak sejauh 3.5 kilometer sambil berselawat.  Di SARAWAK, hujan lebat seawal pukul 7 pagi tidak sedikit pun merencatkan kemeriahan sambutan apabila 7,669 peserta perarakan tidak langsung berganjak dari lapangan perbarisan di Dewan Suarah Samarahan.  Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan bersama 9,000 rakyat menyertai perarakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS). 

Di JOHOR, Lebih 5,000 umat Islam menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.  Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli berangkat menghadiri acara sambutan tahunan yang bermula kira-kira pukul 9 pagi diiringi Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan kerabat-kerabat diraja yang lain.  DI PAHANG, kira-kira 2,000 orang melibatkan 40 kontinjen menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Amad Shah, Kuantan.   DI KEDAH, sambutan diadakan di Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Alor Setar dengan keberangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah diiringi Sultanah Haminah Hamidun serta Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan barisan Exco kerajaan negeri.  Di TERENGGANU, Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Seri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman Sultan Ismail hadir menyempurnakan upacara perasmian di Stadium Negeri.  Tidak kurang hebatnya di KOTA KINABALU apabila Yang Dipertua Negeri, Datuk Juhar Mahiruddin diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berarak dari Padang Merdeka ke Wisma Majlis Ugama Islam (MUIS) bermula pukul 7.40 pagi.  Di SELANGOR, sambutan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam bertemakan ‘Rasulullah SAW Ikutan Sepanjang Zaman’ dengan dihadiri kira-kira 2,000 orang.  Di PERAK, sambutan menjadi lebih bermakna apabila Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan merasmikan Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor.  Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas hadir bersama kira-kira 2,300 umat Islam ke Dewan Sri Pinang untuk memperingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.  Di KELANTAN pula, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri diadakan malam tadi dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menunaikan solat maghrib berjemaah bersama kira-kira 3,000 umat Islam di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Di PERLIS, walaupun tiada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri diadakan, lebih 100 penduduk Kampung Ulu Pauh di Kangar bergotong royong memasak tiga kawah bubur Perlis dan sekawah wajik.

Sumber : Utusan Malaysia: 16/02/11

 

Adakah Hanya Cukup Sekadar Selawat Sahaja Yang Bergema?
Inilah satu soalan yang sewajarnya dijawab oleh umat Islam hari ini. Majoriti umat Islam seolah-olah sudah merasa cukup selesa dengan amalan Islam yang mereka jalankan hari ini. Di antaranya, setiap tahun umat Islam rasa berbangga melakukan amalan rutin sambutan Maulidur Rasul dengan pelbagai acara dan majlis, yang kononnya adalah untuk membuktikan kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW. Tetapi malangnya dalam masa yang sama mereka meninggalkan sunnah yang ditunjukkan oleh baginda SAW. Sunnah terbesar yang ditinggalkan oleh baginda SAW adalah sunnah memperjuangkan wujudnya kehidupan Islam di tengah-tengah kehidupan jahiliyyah dengan menegakkan Daulah Islam. Apa ertinya kita melaungkan dan menggemakan seruan selawat kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW tetapi dalam masa yang sama kita meninggalkan amalan sunnah ini? Persoalan inilah yang paling wajar kita tujukan kepada para pemimpin umat Islam hari ini.

Wahai para pemimpun umat Islam! Di manakah rasionalnya kamu bersungguh-sungguh berarak dan merayakan sambutan Maulidur Rasul tetapi dalam masa yang sama kamu tidak pernah berusaha menghidupkan sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Bukankah ianya seolah-olah seperti kita mempermain-mainkan Rasulullah SAW. Sedangkan hakikatnya  kelahiran Rasulullah SAW adalah kelahiran Islam. Kelahiran Rasulullah SAW adalah untuk membawa dan memperjuangkan serta meng’izhar’kan Islam kepada seluruh umat manusia. Kelahiran Rasulullah SAW adalah untuk menghancurkan kebatilan dan kesyirikan. Kelahiraan Rasulullah SAW adalah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya kebenaran. Kelahiran Rasulullah SAW adalah untuk menukar cara hidup jahiliyyah kepada cara hidup Islam. Dan fakta yang tidak dapat dinafikan oleh umat Islam hari ini ialah bahawa kehidupan umat Islam kini adalah kehidupan yang dipenuhi dengan keadaan yang sama dengan kehidupan jahiliyyah. Untuk itu sudah sewajarnya umat Islam yang mencintai junjungan Rasulullah SAW bangkit untuk mengembalikan semula kehidupan Islam sebagaimana kehidupan yang pernah ditunjukkan oleh baginda SAW dahulu dengan jalan menegakkan semula Khilafah. Firman Allah SWT:

“dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang Yang melanggar perintahNya)”. [TMQ Al Hasyr (59) : 7].

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. [TMQ Al Ahzab (33) : 21].

Apakah umat Islam kini tidak menyedari dan sudah melupakan perkara ini?