Adakah Cukup Dengan Menambah Bilangan Pegawai Penguatkuasa Agama?

Tubuhkan jabatan penguatkuasa agama beruniform

Jabatan Penguatkuasaan Syariah dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri perlu diwujudkan bagi memantap dan memperkasakan agensi penguatkuasaan agama di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata melalui usaha itu, bilangan pegawai penguatkuasa agama akan bertambah dan menjadikan mereka satu pasukan beruniform yang mempunyai skim khusus setaraf dengan agensi penguatkuasa lain.

“Pegawai penguatkuasa agama ini amat kurang dan semakin kritikal di sesetengah negeri walaupun terdapat usaha penstrukturan semula perjawatan tetapi masih juga tidak mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia di Melaka malam tadi.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Buletin Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah yang antara kandungannya membincang dan mengupas isu-isu semasa berkaitan agama Islam yang menimbulkan kontroversi.

Kini terdapat 1,114 pegawai penguatkuasa agama dan 440 pendakwa syarie di seluruh negara.

Terdahulu semasa berucap, Mashitah berkata program penjelasan mengenai kesalahan jenayah syariah akan memfokuskan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi kerana golongan itu sering terdedah kepada gejala kurang sihat.

Beliau berharap penyeragaman undang-undang kesalahan jenayah syariah negeri dapat disegerakan dengan mengambil kira pandangan pegawai penguatkuasa agama, pendakwa syarie dan hakim syarie. BERNAMA

Sumber: Malaysiakini.com

Adakah Cukup Dengan Menambah Bilangan Pegawai Penguatkuasa Agama?
 
Siapa yang tidak kenal dengan Mashitah yang satu ketika dahulu pernah mempertikaikan pelaksanaan hudud (potong tangan) ke atas pencuri. Kalau dahulu, beliau cuba mencabar hukum Allah yang jelas qath’ie di dalam al-Quran, kini setelah agak lama menyepi, Mashitah tampil memberi pandangan berkenaan undang-undang kesalahan syariah yang ada di Malaysia.

Sepintas lalu, cadangan daripada Mashitah kelihatan agak bagus, iaitu untuk menubuhkan Jabatan Penguatkuasaan Syariah dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri yang akan menambahkan lagi bilangan pegawai penguatkuasa agama di Malaysia. Penubuhan dua jabatan tersebut diharap akan dapat mengurangkan masalah sosial yang terkait dengan syariah Islam, menurut Mashitah. Namun, tidakkah Mashitah sedar, bahawa punca utama kepada permasalahan umat kini bukanlah kerana sedikit atau banyaknya pegawai penguatkuasa syariah yang ada. Kerosakan sedia ada, yang terpampang di depan mata kita adalah natijah dari tidak diterapkannya syariah Islam secara kaffah di dalam kehidupan kita. ’Syariah Islam’ di dalam Sistem Demokrasi-Sekular hanya dijadikan bahan tempelan kepada sistem yang sedia ada. Bahagian mana yang sesuai dengan kehendak mereka, maka akan mereka ambil dan terapkan (walaupun tidak sempurna). Tetapi jika hukum syariat Islam itu bertentangan dengan perlembagaan (sekular), maka mereka akan ketepikan, bahkan mereka akan cuba sedaya upaya untuk memanipulasi ayat-ayat Allah SWT, ketika mana diseru untuk menerapkan hukum tersebut. Inilah hakikat yang berlaku kepada penguasa dan ulama’ (ulama’ su’) yang ada masa kini, khususnya mereka yang makan gaji dengan kerajaan.

Jika ditinjau dengan lebih mendalam, kalau pun pegawai penguatkuasa syariah ramai, adakah ia dapat menyelesaikan masalah sedia ada? Paling kurang, adakah usaha tersebut akan mengurangkan masalah yang sekian banyaknya? Di sisi lain, adakah skop pegawai syariah yang dilantik hanya sebatas menjalankan aktiviti tinjaun terhadap masalah pergaulan bebas di taman-taman, semak-samun dan tempat-tempat sunyi lainnya? Bagaimana dengan tempat-tempat terbuka, yang jelas terpampang wujudnya pergaulan bebas dan maksiat seperti yang dapat kita saksikan di bar-bar, kompleks beli belah, tempat hiburan dan kawasan lainnya seperti Genting Highlands dan tempat-tempat perjudian lainnya? Kalau pun mereka memantau (sukar di dalam sistem sekular) dengan melakukan tinjauan secara menyeluruh, bagaimana pula dengan elemen-elemen yang menyumbang kepada terjadinya pelbagai kerosakan akhlak tersebut seperti budaya hedonisme yang tidak terkawal, minuman keras yang mudah dibeli, majalah yang mempunyai unsur yang boleh menaikkan nafsu berahi manusia dan aurat wanita yang terdedah di khalayak ramai tidak dibenteras? Tentu sahaja semua elemen-elemen ini akan berterusan menyumbang kepada kebejatan akhlak manusia.

Alangkah baiknya jika Mashitah menyedari bahawa masalah umat Islam saat kini kerana umat Islam sudah tidak lagi berhukum dengan hukum Allah secara kaffah. Beliau wajib menasihati dan memuhasabah pemimpin yang sedia agar menerapkan Sistem Islam, dan menjadikan Syariah Islam hanya satu-satunya pengatur kehidupan manusia, baik Muslim mahupun non-Muslim. Tidak ada yang lebih mulia bagi kita sebagai umat Islam daripada hidup di dalam naungan syariah Islam yang akan memberi kesejahteraan dan rahmat kepada sekalian alam.