Kerajaan Malaysia Cipta Agama Baru?

3 wanita disebat

PUTRAJAYA
: Tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, menjadi kumpulan wanita pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini.

Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.   Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Sambil merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum dilaksanakan, beliau menegaskan sebatan terhadap tiga wanita itu tidak langsung mendatang kecederaan.

“Dari segi pelaksanaan dan kebimbangan orang ramai kononnya apa yang berlaku (hukuman) tidak berperikemanusiaan dan mencederakan, tidak berasas dan hanya digembar-gemburkan sedangkan apa yang dilihat tiada kesan kecederaan langsung.   “Berdasarkan temubual dengan tiga pesalah wanita itu, didapati bahawa mereka reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman yang diterima.

“Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, mereka mengakui ia mendatang kesan yang mendalam kepada diri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini, semalam.

Sumber : Berita Harian, 18/02/2010

Kerajaan Malaysia Cipta Agama Baru?

Apa yang kita lihat di sini adalah bukti yang cukup jelas undang-undang “syariah” disekularkan oleh para pemimpin sekular umat Islam hari ini. Wahai umat Islam! Lihatlah bagaimana betapa beraninya para pemimpin sekular ini  mengubah hukum Allah SWT. Wahai umat Islam lihatlah bagaimana media pro kerajaan hari ini cuba me’neutral’kan perbuatan ZINA dengan menggantikannya kepada istilah persetubuhan luar nikah! Wahai umat Islam! Lihatlah bagaimana orang-orang yang berada di dalam jabatan agama mendiamkan diri serta mengiyakan pengubahan hukum Allah SWT. Wahai umat Islam! Apakah mulut, mata, telinga serta hati para mufti kita hari ini telah tertutup dan terkunci dengan habuan dunia yang sedikit ini? Bukankah tindakan menjatuhkan hukuman sebat sebanyak empat hingga ke enam sebatan kepada kesalahan zina itu secara jelas menolak hukum Allah SWT?

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. [TMQ An-Nuur (24) : 2].

Sudah saatnya Khilafah itu berdiri agar sistem ‘uqubat Islam yang sebenarnya dapat diterapkan ditengah-tengah kehidupan masyarakat yang ada pada hari ini dan bukannya hukuman sekular seperti mana yang kita saksikan ini. Renungilah firman Allah SWT:

“…Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. [TMQ An-Nuur (24) : 63].