Adakah Najib Lupa Terhadap Dosanya?
Apakah Najib tidak sedar ataupun sengaja buat-buat tidak sedar dengan dosanya selama hampir 4 tahun memegang jawatan sebagai orang nombor satu di Malaysia selepas mengambil alih tapuk pemerintahan daripada Pak Lah, dia masih menjadi penyambung mata rantai sebagai pemimpin yang terus menerus membuang dan membakul sampahkan perintah dan larangan Allah SWT serta Rasulullah SAW. Walhal, keterikatan kepada hukum syarak adalah kekuatan utama umat Islam sejak dahulu sehinggalah ke hari kiamat. Tetapi tatkala umat Islam melepaskan diri mereka daripada hukum syarak, maka sejak itulah penghinaan demi penghinaan terus menyelubungi hidup umat Islam. Ketika mana Allah SWT memerintahkan untuk berhukum dengan hukumNya, Najib pula masih terus mempertahankan dan berhukum dengan Perlembagaan Persekutuan yang dihadiahkan oleh penjajah kafir Lord Reid. Siapakah Tuhan yang wajib ditaati sebagai seorang Muslim, adakah Lord Reid atau Allah SWT? Tidak pernahkah Najib mendengar ancaman firman Allah SWT yang mengatakan bahawa
barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir, zalim dan fasik? [Rujuk TMQ Surah al-Maaidah (5): 44,45 & 47].
Firman Allah SWT lagi,
“Dan hendaklah engkau berhukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka. Dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah mahu menimpakan musibah terhadap mereka disebabkan sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia itu adalah orang-orang yang fasik”. [TMQ al-Maaidah (5): 49].
Ketahuilah, bahawa kemungkaran yang paling besar bagi seseorang Muslim, termasuklah para pemimpin, adalah apabila ia tidak menerapkan sistem dan hukum-hakam Islam dalam seluruh perkara sama ada individu, masyarakat dan negara. Kuasa untuk menerapkan Islam dalam konteks bermasyarakat mahupun bernegara berada sepenuhnya dalam tangan seorang pemimpin negara seperti Najib. Perkara ini perlu diinsafi dan diubah secepat mungkin sebelum terlambat.
Sumber: utusan.com.my