Agenda ‘Islam-Melayu-Bumiputera’: Antara Perjuangan Hakiki dan Perangkap Asabiyyah Demokrasi

Apa sahaja usaha untuk mempersatukan umat Islam atau memartabatkan Islam memang sewajarnya disokong oleh setiap Muslim, tidak kira bila, tidak kira di mana. Namun, sayangnya dalam politik demokrasi usaha seumpama ini sering dicemari dengan agenda asabiyyah (nasionalisme / perkauman) dan kepentingan kerusi.

Sudah ribuan agenda seperti ini dicanangkan dari semasa ke semasa, terutama ketika parti Melayu berada dalam keadaan lemah kerana “kekurangan” kuasa, biar pun ia sebenarnya merupakan parti yang sedang memerintah. Lebih ketara lagi, agenda seperti ini biasanya diangkat oleh mereka setiap kali menghampiri pilihan raya umum (PRU).

Sesungguhnya Islam tidak boleh dicampuradukkan dengan perjuangan bangsa, kerana Islam datang untuk mempersatukan manusia atas dasar akidah, bukan atas dasar bangsa. Islam tidak pernah mengambil kira, malah mengharamkan perjuangan atau penyatuan atas dasar bangsa. Perjuangan yang mencampuradukkan antara kemuliaan Islam dan semangat kebangsaan (nasionalisme) merupakan satu kecacatan fikrah yang perlu ditolak dengan keras oleh umat Islam. Sabda Rasulullah (saw):

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

“Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan dari kalangan kami orang yang berperang atas dasar asabiyyah, dan bukan dari kalangan kami orang yang mati atas dasar asabiyyah.” [HR Abu Daud].

Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad (saw) yang merupakan seorang Arab. Namun baginda (saw) tidak pernah memperjuangkan bangsa Arab. Baginda menyeru semua kaum kepada Islam, termasuk hamba kulit hitam yang berasal dari Habsyah. Malah baginda dengan tegas menyatakan bahawa kemuliaan seseorang itu bukan kerana bangsa atau warna kulitnya, tetapi kerana ketakwaannya.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى

“Wahai manusia, ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu, dan sesungguhnya bapa kamu (Nabi Adam) adalah satu. Ketahuilah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan Arab (Ajam), dan tidak pula bagi orang bukan Arab ke atas orang Arab. Dan tidak ada kelebihan bagi orang berkulit merah (cerah) ke atas orang berkulit hitam, dan tidak pula orang berkulit hitam ke atas orang berkulit merah, melainkan dengan takwa.” [HR Ahmad]

Parti-parti dalam demokrasi sering memperalatkan agama demi meraih kuasa. Agenda mereka amat jelas iaitu semata-mata ingin mendapatkan kerusi. Walaupun mereka berusaha menyembunyikan niat mereka di sebalik seruan kepada Islam, namun realitinya amat jelas. Atas dasar itulah, mereka tidak akan pernah “mengundang” gerakan Islam atau siapa pun yang tidak terlibat dalam demokrasi untuk bersama dalam wacana mereka.

Wacana mereka juga hanya diadakan ketika mereka sedang lemas dan memerlukan tempat bertaut. Mereka kononnya menyeru kepada Islam, padahal ketika mereka sedang berkuasa, malah ketika mereka di sedang berada di puncak kekuasaan dengan segala kekuatan ada pada mereka, mereka tidak pernah pun menerapkan Islam. Sebaliknya, mereka dengan jelas menolak hukum Islam daripada pemerintah, dan mereka sangat “memusuhi” gerakan Islam yang ingin menegakkan Islam secara kaffah bukan melalui jalan demokrasi.

Mereka sanggup bergabung dengan parti non-Muslim yang terkenal “anti-Islam” demi kuasa. Mereka bekerjasama rapat dengan parti ini, dan memberikan segala kelebihan, malah sanggup berkongsi kuasa dengan parti ini yang jelas menolak Islam. Mereka sedar bahawa Islam tidak akan dimartabatkan melalui gabungan mereka ini. Anehnya, dalam masa yang sama mereka menyeru kepada wacana Islam!

Mengangkat apa yang didakwa sebagai “agenda Islam” yang diuli dengan acuan Melayu di dalam sistem demokrasi sekular bukan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah umat Islam, sebaliknya hanyalah satu perangkap yang akan terus menghanyutkan dan melemahkan umat Islam dalam sebuah perjuangan bangsa yang diharamkan oleh Islam.

Sesungguhnya masalah umat Islam tidak akan dapat diselesaikan oleh parti-parti politik demokrasi yang telah terbukti tidak menerapkan Islam apabila berkuasa. Penyelamat sebenar umat Islam bukanlah pembelaan hak-hak keistimewaan bangsa, tetapi penerapan syariat Islam secara kaffah (menyeluruh).

Agenda tertinggi yang wajib dijulang oleh umat Islam adalah mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah di bawah naungan Daulah Khilafah. Ini kerana Daulah Khilafah ialah Daulah Islam, dan satu-satunya negara yang akan menerapkan hukum Al-Quran dan As-Sunnah secara kaffah, yang akan mempersatukan umat Islam atas dasar akidah, yang akan menjaga nyawa, darah, harta dan maruah umat Islam, baik di dalam mahupun di luar negeri, tanpa sebarang diskriminasi perkauman.

Wallahu a’lam.