Apakah perbezaan antara pilihan raya dalam sistem demokrasi dan sistem Islam?

Persoalan 12

Apakah perbezaan antara pilihan raya dalam sistem demokrasi dan sistem Islam?

Jawapan:

Demokrasi merupakan sebuah sistem pemerintahan kufur yang berasal dari Barat. Pertentangannya dengan Islam cukup banyak dan ketara sekali. Begitulah juga dengan pilihan raya dalam sistem demokrasi yang cukup banyak dan ketara perbezaannya dengan pilihan raya dalam sistem Islam (Khilafah). Di antaranya:-

(1) Asas – Pilihan raya dalam demokrasi diasaskan pada falsafah dasar demokrasi itu sendiri, iaitu faslu deen anil hayah (pemisahan agama dari kehidupan – sekularisme) sedangkan pilihan raya dalam Islam diasaskan pada akidah Islam yang mana agama dan kehidupan tidak terpisah.

(2) Prinsip – Pilihan raya dalam sistem demokrasi didasarkan pada prinsip as-siyadah li asy-sya’bi (kedaulatan di tangan rakyat). Rakyat bukan sahaja memiliki hak memilih penguasa, tetapi juga berhak membuat hukum. Sebaliknya pilihan raya dalam Islam didasarkan pada prinsip as-siyadah li asy-syar’ie (kedaulatan di tangan syarak). Rakyat (melalui Ahlul Halli Wal Aqdi) berhak memilih penguasa (Khalifah), namun tidak berhak, malah haram, untuk membuat hukum.

(3) Pilihan raya sebagai thariqah (metode) – Dalam sistem demokrasi, pilihan raya menjadi thariqah (metode) yang “wajib” dan bersifat tetap untuk meraih kekuasaan dan mewujudkan kedaulatan rakyat. Sedangkan dalam sistem Islam, pilihan raya bukan merupakan thariqah, tetapi hanya merupakan salah satu uslub (cara/sarana) memilih wakil rakyat ke Majlis Wilayah dan Majlis Umat (Majlis Syura) untuk menyampaikan muhasabah dan memberi input kepada Khalifah. Kewujudan dan kedudukan Majlis Syura itu sendiri adalah sunat, walaupun ia turut berfungsi untuk memilih calon Khalifah.

(4) Tujuan pilihan raya – Dalam sistem demokrasi, pilihan raya bertujuan untuk memilih wakil rakyat yang akan duduk di lembaga legislatif (Dewan Rakyat) yang akan membuat hukum (kononnya) berdasarkan keinginan rakyat, sebagai bentuk manifestasi kedaulatan rakyat. Sedangkan dalam sistem Islam, pilihan raya bertujuan untuk memilih wakil rakyat ke Majlis Umat (bukan badan legislatif) yang berfungsi sebagai majlis syura. Begitu juga dengan tujuan pelantikan penguasa dalam sistem demokrasi iaitu (kononnya) untuk melaksanakan kehendak rakyat. Sedangkan dalam Islam, tujuan pelantikan penguasa ialah untuk melaksanakan kehendak Allah (menerapkan Al-Quran dan As-Sunnah).

(5) Keterlibatan rakyat dalam pilihan raya – Demokrasi menetapkan syarat umur tertentu, yang bercanggah dengan Islam, untuk membolehkan rakyat mengundi. Mereka juga berhak memilih wakil rakyat tidak kira Muslim mahupun kafir, sehinggakan berapa ramai daripada golongan kafir memenangi pilihan raya dan seterusnya dilantik menjadi pemerintah, suatu hal yang jelas haram menurut Islam. Sedangkan dalam sistem Islam, seluruh rakyat yang mencapai umur baligh (15 tahun) berhak mengundi, manakala non-Muslim hanya berhak mengundi wakil mereka yang non-Muslim sahaja, ke Majlis Umat, dan fungsi mereka hanya terhad kepada hal memuhasabah penguasa dalam perkara yang menyangkut kezaliman penguasa ke atas mereka. Orang-orang kafir tidak dibenarkan memberi apa-apa pendapat tentang hal-ehwal Islam.

(6) Orang yang berhak dipilih, fungsi dan tugasnya – Syarat atau kriteria orang yang berhak dipilih dalam demokrasi ditentukan oleh undang-undang buatan manusia seperti mencapai umur tertentu, tidak bankrap, tidak pernah dipenjarakan, pemegang kad pengenalan biru dan seumpamanya. Sedangkan dalam Islam, syarat kelayakan wakil rakyat ditentukan oleh hukum syarak yang digali dari nas.

(7) Ketua negara yang akan dipilih – Setelah memenangi pilihan raya dalam demokrasi, parti yang menang majoriti akan melantik ketua kerajaan yang dikenali sebagai Perdana Menteri atau Presiden, yang akan menerapkan hukum buatan manusia. Demokrasi membenarkan seseorang menjadi ketua negara walaupun dia terkenal fasik atau zalim, seorang perempuan mahupun non-Muslim. Sedangkan menurut Islam, ketua negara ialah Khalifah, bukan Presiden, bukan Perdana Menteri. Islam menetapkan syarat Khalifah hendaklah seorang Muslim, lelaki, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu. Hal ini ditambah dengan syarat-syarat keutamaan seperti seorang yang ahli dalam peperangan, mujtahid, berasal dari kalangan Quraisy, pemberani dan sebagainya. Syarak menetapkan bahawa ketua negara tidak boleh seorang perempuan, apatah lagi orang kafir. Non-Muslim tidak dibolehkan (haram) untuk memegang apa sahaja jawatan pemerintahan dan mereka juga tidak diberikan hak mengundi (untuk melantik) Khalifah.

Inilah antara perbezaan yang sangat nyata antara pilihan raya dalam sistem demokrasi dan Islam. Sungguh tidak ada ruang sedikit pun untuk menyamakan keduanya, apatah lagi bila melihat dari sudut hukum.