Boikot pilihan raya adalah satu perbuatan yang mengancam demokrasi?

Persoalan 10

Boikot pilihan raya adalah satu perbuatan yang mengancam demokrasi.

 Jawapan:

Sungguh aneh dengan dakwaan bahawa boikot pilihan raya merupakan satu tindakan yang tidak demokratik, mensia-siakan peluang demokratik, bertentangan dengan demokrasi atau mengancam demokrasi. Tidakkah penganut demokrasi tahu bahawa boikot merupakan satu pilihan yang diberi oleh demokrasi itu sendiri?

Boikot pilihan raya atau tidak keluar mengundi atau merosakkan kertas undi, atau “menghasut” orang lain supaya melakukan hal yang sama, semua ini merupakan hak yang diberikan oleh demokrasi kepada setiap pengundi. Bukankah dalam demokrasi seseorang itu bebas untuk memilih dan bebas untuk tidak memilih? Lalu kenapa orang yang memilih untuk tidak mengundi dikatakan mengancam demokrasi? Aneh..

Tambahan lagi, tidak ada undang-undang yang mewajibkan seseorang itu mengundi, dan berdasarkan fakta pilihan raya sejak puluhan tahun lamanya, memang sentiasa terdapat orang yang tidak keluar mengundi kadang-kadang 10%, kadang-kadang 20%, kadang-kadang 30% dan kadang-kadang lebih daripada itu.

Selain merupakan hak, setiap orang juga mempunyai sebab tersendiri untuk tidak keluar mengundi atau merosakkan undi, yang mana sebab dan hak ini seharusnya dihormati oleh orang lain. Sebagaimana orang yang keluar mengundi mempunyai hak dan sebabnya tersendiri, begitulah juga dengan orang yang tidak keluar mengundi. Justeru seharusnya tidak perlu dipermasalahkan mengenai hak dan sebab ini, kerana ia tidak melanggar demokrasi dan tidak melanggar undang-undang pun.

Apatah lagi jika seseorang itu memboikot pilihan raya atas dasar memahami bahawa hukumnya adalah haram kerana ia merupakan sebahagian daripada proses untuk manusia mengambil hak Allah sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum), maka hal ini perlu lebih dihormati lagi. Jika hal ini dikatakan mengancam demokrasi, ya mungkin ada benarnya kerana Islam memang merupakan ancaman kepada demokrasi.

Demokrasi merupakan sebuah sistem pemerintahan kufur yang berasal dari Barat yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia (as-siyadah li asy-sya’bi), dan mengandungi pelbagai idea kebebasan dan bermacam prinsip yang bertentangan dengan Islam. Oleh kerana pertentangan demokrasi dengan Islam itu sangat ketara dan sangat banyak, maka sudah tentu Islam merupakan ancaman kepada demokrasi.

Jadi, yang merupakan ancaman kepada demokrasi itu bukanlah orang yang memboikot pilihan raya, tetapi agama Islam itu sendiri. Jika Islam dilaksanakan secara kaffah oleh umatnya, apatah lagi dalam aspek pemerintahan, maka demokrasi sudah pasti akan terhapus dengan sendirinya. Atas dasar itulah Barat sangat takut naiknya Islam dan sangat takut apabila melihat umat Islam mula menilai dan melakukan sesuatu berdasarkan hukum Islam, kerana mereka tahu apabila hal itu terjadi, demokrasi yang diciptanya akan berkubur.