Akademi Fantasia Program Maksiat

Norman KRU Pengetua AF8

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Diberi tanggungjawab besar menggalas tugas sebagai Pengetua Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) merupakan satu penghormatan buat Norman Abdul Halim, 37. Atas alasan itu, dia berazam untuk membimbing dan membentuk bakat-bakat baru dalam mencari hala tuju mereka dalam seni khususnya bidang muzik.  “Saya mahu melakukan satu perubahan baru dalam AF8 iaitu mencari muzik yang sesuai untuk setiap pelajar yang terpilih nanti.  “Seperti mana yang kita tahu, bukan semua boleh menjadi penyanyi versatil dan semua ini harus dilakukan di peringkat awal agar mereka tidak akan tercari-cari arah apabila keluar dari akademi.  “Saya percaya dengan bantuan barisan tenaga pengajar, impian ini dapat direalisasikan dalam mencari penghibur negara yang disegani,” jelas Norman ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman pengetua, tenaga pengajar dan pengacara AF8 di sini malam ini.  Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah dan Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi.  Pemilihan Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios itu dilihat bertepatan sekali memandangkan trek rekod cemerlang yang pernah dicipta bersama kumpulannya, KRU.  Namun begitu, Norman sudah bersedia untuk berhadapan dengan kritikan dan menganggapnya sebagai satu cabaran sebagai Pengetua AF8.  “Apa yang boleh saya katakan, saya akan menerajui AF8 sebaik mungkin berdasarkan pengalaman saya selama 18 tahun bersama KRU,” ujar Norman yang mengesahkan kedudukannya sebagai Pengetua AF8 pada pertengahan bulan Januari lalu.  Sementara itu, Sarimah Ibrahim terus diberi kepercayaan untuk mengendalikan program baru, Debaran Akademi Fantasia.

Sumber : Utusan Malaysia, 10/02/10

Akademi Fantasia Program Maksiat

Inilah realiti kehidupan sebahagian dari umat Islam hari ini. Bangga untuk menjadi penyumbang kepada aktiviti-aktiviti maksiat seperti rancangan akademik fantasia. Persoalan halal dan haram sudah tidak ada dalam minda majoriti umat Islam hari ini terutama mereka yang memilih hiburan sebagai kerjaya. Persekitaran yang ada saat ini juga menjadi pendorong kepada semaraknya maksiat yang muncul dari program-program hiburan ini. Benar, Islam tidak menghalang umatnya untuk berhibur tetapi telah membatasinya dengan syarat bahawa segala bentuk hiburan itu mestilah bebas dari unsur maksiat.  Fakta yang tidak dapat ditutup kini ialah,dalam dunia Kapitalisme, maksiat dan hiburan itu adalah sesuatu yang seiring dan berjalan serentak. Dalam dunia Kapitalisme, adalah sesuatu yang biasa apabila para penghibur yang bergelumang dengan maksiat ini diberikan liputan meluas di dada-dada akhbar. Kehidupan para artis ini cukup glamour. Pemerintah sekular hari ini juga secara langsung mahupun tidak langsung merupakan pencetus kepada semaraknya hiburan-hiburan maksiat ini. Inilah yang memungkinkan semakin ramai umat Islam yang berlumba-lumba berbangga melakukan keharaman ini. Ternyata sudah hilang dalam diri pelaku maksiat ini “ruh” Islam. 

Wahai para pelaku maksiat! Janganlah kamu berbangga dengan maksiat yang kamu lakukan! Kelak kebanggaan dan kegembiraan itu akan membawa penyesalan kepada kamu di hari akhirat.  Renungilah firman Allah SWT ini:

“(Iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna. Kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih”.
  [TMQ asy-Syu’ara (26) : 88-89]