Akta Pindaan Kewarganegaraan India, Umat Islam Terancam

Suasana politik di India kembali bergolak ekoran tindakan pembuat dasar negara tersebut meluluskan Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) pada 11 Disember lalu. Akta tersebut digubal bagi memudahkan pendatang dalam kalangan penganut agama minoriti selain Islam yang didakwa ditindas di tiga negara majoriti umat Islam iaitu Afghanistan, Pakistan, dan Bangladesh untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui proses naturalisasi. Tindakan ini mencetuskan bantahan daripada pihak yang melihatnya sebagai suatu bentuk diskriminasi serta selari dengan agenda nasionalis Hindu yang didakwa cuba meminggirkan lebih daripada 200 juta umat Islam di negara tersebut.

Perkara ini turut mendapat perhatian di Malaysia apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mempertikaikan kewajaran akta tersebut serta mengkritiknya kerana ‘menafikan hak kewarganegaraan sebilangan rakyatnya yang beragama Islam’. Sehubungan itu, India telah bertindak memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India bagi menyatakan bantahan terhadap kenyataan tersebut [Sinar Harian, 22/12/2019]. Dalam laporan berasingan, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy pula menafikan wujudnya diskriminasi terhadap umat Islam di India di samping mempersoalkan jika benar India semakin cenderung menjadi sebuah negara Hindu, mengapa mereka tidak meninggalkan India? [Malaysiakini, 30/12/2019].

Wujudkah diskriminasi terhadap umat Islam di India?

Bagi menjawab persoalan Ramasamy itu, kita sewajarnya bertanya kembali kepadanya, mengapa umat Islam di India perlu meninggalkan negara itu, sedangkan mereka sememangnya berasal dari sana? Tambahan pula Islam sememangnya mempunyai sejarah yang panjang di benua India. Selain itu, umat Islam di sana turut bersama-sama bangkit membantah pelaksanaan akta tersebut sekali gus mempertahankan hak mereka selaku penduduk asal daripada terancam. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka menyedari perancangan licik kerajaan India untuk meminggirkan dan mendiskriminasi umat Islam termasuklah dalam dasar-dasar yang dilaksanakan selama ini.

Apabila CAA digandingkan dengan pelaksanaan Daftar Populasi Kebangsaan (NPR), ia juga boleh membuka ruang kepada diskriminasi terhadap sebahagian umat Islam. Pelaksanaan NPR ini selanjutnya akan memudahkan pelaksanaan Daftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NCR) yang sebelum ini dirancang untuk dilaksanakan di seluruh India.

Melalui CAA, pendatang haram bukan Islam daripada tiga negara jiran boleh memohon kewarganegaraan dengan lebih mudah, sedangkan yang beragama Islam dikecualikan daripadanya. Keadaan ini boleh menyebabkan hanya umat Islam yang tidak memenuhi kriteria NCR sahaja menghadapi kesukaran dalam urusan permohonan kewarganegaraan, serta menjadikan kemungkinan mereka untuk diusir lebih tinggi. Kebimbangan ini bukanlah suatu yang tidak berasas, apabila Bangladesh dilaporkan mendesak agar India memberikan jaminan bertulis bahawa India tidak akan menghantar imigran ke negara tersebut setelah CAA dilaksanakan. [The Print, 30/12/2019].

Hanya setelah berhadapan dengan tekanan daripada bantahan di banyak kawasan berhubung CAA, akhirnya Modi menafikan kewujudan sebarang perbincangan untuk melaksanakan NCR di seluruh negara, sebaliknya menyatakan bahawa NCR hanya dilakukan di Assam atas perintah mahkamah [India Today, 22/12/2019].

India cuba mempertahankan keputusan pengecualian umat Islam dalam CAA dengan hujah bahawa mereka bukanlah minoriti yang tertindas di ketiga-tiga buah negara tersebut. Dengan kata lain, mereka cuba mempertahankan bahawa keputusan tersebut bukanlah atas satu bentuk diskriminasi terhadap umat Islam. Namun persoalannya, mengapa perkara yang sama tidak dilaksanakan kepada umat Islam yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar dan Sri Lanka, di mana mereka merupakan kelompok minoriti di kedua-dua buah negara yang majoriti penduduknya menganut agama Buddha?

Inilah wajah sebenar parti yang memerintah India ketika ini…sudah terang lagi bersuluh. Kebencian terhadap Islam dan umatnya menjadi dasar kepada penguasaan BJP pimpinan Modi. Mereka telah mendapati bahawa politik kebencian telah menjadi tulang belakang kepada cengkaman politik mereka ke atas India. Mereka tanpa segan silu terus memperkenalkan dasar-dasar yang akan memencilkan umat Islam di India.

Demikianlah perkembangan terkini dasar kerajaan India yang saban hari semakin ketara menunjukkan kecenderungan ke arah nasionalisme Hindu haluan kanan, terutamanya setelah BJP pimpinan Modi berjaya memenangi pilihanraya 2019. Bagi pihak yang beriya-iya cuba menafikan sikap anti-Islam BJP dan golongan ekstremis haluan kanan Hindu di India, mereka ternyata gagal menyembunyikannya kerana kebencian Modi dan nasionalis Hindu terhadap Islam begitu ketara seandainya kita meneliti sejarahnya dari dahulu sehinggalah ke hari ini.

Islamofobia dan Nasionalisme Hindu Haluan Kanan di India

BJP merupakan sayap politik bagi pertubuhan Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) yang mempunyai aspirasi untuk menjadikan India sebagai sebuah kerajaan Hindu (Hindu Rashtra) dan menjadikan umat Islam yang berada di negara tersebut sebagai warganegara kelas kedua. Sepanjang penggal pertama pentadbiran Modi, keganasan terhadap umat Islam semakin berleluasa dengan terjadinya ratusan insiden pembunuhan individu Muslim oleh gerombolan ekstremis Hindu kerana memakan atau menjual daging lembu. Kejayaan BJP dalam pilihanraya parlimen pada 2019 mendorong Modi untuk menggalakkan lagi agenda Hindu Rashtra dalam penggal kedua pentadbirannya.

Dasar anti-Islam BJP turut diteruskan di bawah pentadbiran Modi melalui keputusan-keputusan lain seperti pemansuhan Perkara 370 yang mengukuhkan cengkaman kerajaan India di Kashmir pada tahun lalu. Perkembangan ini disusuli keputusan Mahkamah Agung November lalu untuk menyerahkan tapak bekas Masjid Babri kepada penganut Hindu, dan membenarkan pembinaan kuil di lokasi tersebut. Masjid Babri dirobohkan oleh sekumpulan besar aktivis fanatik dari Vishva Hindu Parishad pada 1992 dan mencetuskan ketegangan yang menyaksikan lebih 2,000 orang umat Islam terkorban.

Kebencian melampau terhadap Islam juga dapat dilihat dalam ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin parti tersebut. Seperti Vajpayee, Modi juga mempunyai sejarah hitam ekoran ucapannya yang mengapi-apikan sentimen kebencian terhadap penganut Islam sehingga mencetuskan rusuhan dan pembunuhan ratusan umat Islam pada 2002 di Gujarat sewaktu ia menjadi Ketua Menteri di wilayah itu. Firman Allah (swt), “… Telah nyata (tanda) kebencian mereka dari mulut-mulut (ucapan) mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi…” [TMQ Ali Imran (3): 118].

Perkembangan terkini di India merupakan rentetan daripada agenda nasionalis Hindu yang lahir daripada kebencian mereka terhadap Islam dan keinginan mereka untuk menjadikan ajaran Hindu dominan di negara tersebut.

Pandangan Islam Dalam Isu Kewarganegaraan

Pihak yang menyokong keputusan India meluluskan akta ini mengaitkan Islamisasi di negara-negara Muslimin seperti Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan sebagai punca kepada diskriminasi terhadap penganut agama minoriti di sana. Bahkan ia juga merupakan alasan utama mengapa CAA diluluskan oleh parlimen India. Namun, benarkah Islamisasi menjadi punca berlakunya diskriminasi dan penindasan?

Pertamanya, dalam soal kewarganegaraan, Islam melindungi umat Islam dan golongan kafir yang menjadi warganegara (ahlu zimmah) secara saksama. Hak-hak warganegara kafir selaku ahlu zimmah dijamin oleh Islam. Mereka tidak dipaksa untuk menukar agama mereka, mereka juga dibenarkan untuk beribadah dan mengikuti aturan agama mereka dalam urusan makanan dan pakaian. Bahkan mereka turut mempunyai wakil di dalam Majlis Umat bagi mengemukakan pendapat dalam menyatakan perlanggaran dari sudut penerapan hukum-hukum Islam berkaitan mereka dan atas kezaliman yang menimpa mereka yang dilakukan oleh pemerintah [Struktur Negara Khilafah Dari Sudut Pemerintahan dan Pentadbiran, Hizbut Tahrir].

Seorang kafir dzimmi tidak ada bezanya berbanding seorang Muslim dalam hal penjagaan terhadap darah, harta dan kehormatannya oleh Negara Islam. Darah mereka haram atas kaum Muslimin seperti halnya darah seorang Muslim sebagaimana sabda Rasulullah (saw), “Barangsiapa membunuh kafir mu’ahid, maka ia tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu boleh tercium dari jarak 40 tahun perjalanan” [HR Bukhari].

Imam Qarafi berkata ketika menyentuh tentang tanggungjawab negara terhadap ahlu zimmah, “Kaum Muslimin memiliki tanggungjawab terhadap para ahlu zimmah untuk menyantuni, memenuhi keperluan orang-orang miskin mereka, memberi makan mereka yang kelaparan, menyediakan pakaian, memperlakukan mereka dengan baik, bahkan memaafkan kesalahan mereka dalam kehidupan bertetangga walaupun kaum Muslimin memang memiliki kedudukan yang lebih tinggi dari mereka. Umat Islam juga harus memberikan masukan-masukan kepada mereka berkenaan dengan masalah yang mereka hadapi dan melindungi mereka dari siapa pun yang bermaksud menyakiti mereka, mencuri dari mereka atau merampas hak-hak mereka”.

Justeru, bukanlah Islam atau dasar Islamisasi yang menjadi punca kepada penindasan ke atas penganut agama lain. Sebaliknya, penindasan berlaku apabila sistem Islam tidak diterapkan secara kaffah seperti mana yang dituntut oleh Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw). Malangnya, terdapat sebilangan umat Islam yang mencampur-adukkan sentimen assabiyyah dan kesukuan lalu dikaitkan dengan Islam sehingga akhirnya mendatangkan fitnah kepada Islam. Sedangkan Islam dengan jelas melarang penindasan terhadap orang-orang kafir dalam Negara Islam.

Dalam masa yang sama, biarpun banyak pihak cuba menafikan diskriminasi yang terjadi di India terhadap umat Islam, namun semakin banyak bukti-bukti yang menunjukkan sebaliknya. Meskipun India berbangga dengan amalan demokrasi yang diamalkannya, namun hakikatnya terlalu banyak ketidakadilan dan penindasan yang berlaku bukan sahaja ke atas umat Islam, bahkan termasuklah kepada warganegaranya yang bukan beragama Islam. Di samping itu, BJP juga memainkan sentimen Hindu bagi meraih sokongan majoriti penganut Hindu di negara tersebut, seperti mana yang disaksikan dalam kempen-kempen pilihanraya. Kesannya, Islamofobia dan penularan fahaman ekstremisme Hindu semakin berleluasa dalam kalangan penganut Hindu, sekali gus menggugat hak dan keselamatan umat Islam di negara tersebut. Kezaliman yang berlaku dalam institusi demokrasi sekular sebegini tidak akan dapat dihentikan, melainkan dengan tegaknya Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang akan mengeluarkan umat Islam dari kezaliman penguasa kuffar. Khilafah yang kelak bukan hanya akan memastikan penindasan yang menimpa umat Islam dihentikan, bahkan akan menegakkan keadilan yang membawa kemakmuran kepada umat manusia sejagat.