Pindaan Akta 164

Akta Pembaharuan Perkahwinan 1976 atau dikenali sebagai Akta 164 merupakan undang-undang yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia bagi mengatur urusan perkahwinan dan perceraian bagi masyarakat non-muslim di Malaysia. Oleh itu pada dasarnya Akta 164 adalah undang-undang yang berkaitan dengan urusan perkahwinan dan percerain masyarakat non-muslim sahaja, tiada kena mengena dengan orang Islam. Namun, timbul kelemahan dalam Akta 164 apabila perceraian berlaku disebabkan salah seorang daripada pasangan suami isteri telah memeluk agama Islam.

Kelemahan yang dimaksudkan ialah berlakunya perdindihan kuasa antara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah. Pertindihan tersebut berlaku apabila permohonan perceraian dilakukan di dua mahkamah yang berbeza. Seorang membuat permohonan perceraian di mahkamah sivil, manakala pasangan yang telah memeluk agama Islam pula membuat permohonan perceraian di mahkamah syariah. Keadaan sedemikian telah menyebabkan tiada penyelesain muktamad dapat dihasilkan terhadap penceraian tersebut. Akhirnya menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan tuntutan hak penjagaan dan agama anak-anak yang berusia bawah daripada 18 tahun.

Berdasarkan beberapa kes yang telah berlaku terhadap tuntutan hak jagaan dan agama anak-anak, ianya memihak kepada  pasangan yang telah memeluk agama Islam. Dengan kata lain, ibu atau bapa yang telah memeluk agama Islam lebih berhak terhadap penjagaan dan menukar agama anak-anak mereka yang berada dibawah umur 18 tahun kepada agama Islam. Ini kerana terdapat satu Fatwa Kebangsaan dan peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kelebihan kepada pasangan suami/isteri yang telah memeluk agama Islam terhadap hak penjagaan dan penukaran agama anak yang berusia kurang dari 18 tahun. Fatwa Kebangsaan yang dimaksudkan ialah:

“Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk agama Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan dibawah ibu atau bapa yang beragama Islam.” (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009).

Manakala, dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 12(4) menyatakan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. Perkataan atau membawa maksud salah seorang ibu atau bapa boleh menukar agama anak dibawah umur 18 tahun. Perkara ini telah menimbulkan rasa tidak puashati dikalangan masyarakat non-muslim di Malaysia sehingga mendorong mereka membawa kes tersebut ke mahkamah tinggi untuk diputuskan semula. Namun masih belum ada penyelesaian muktamad yang dapat dihasilkan  kerana tiada peruntukan undang-undang yang khusus dalam perlembagaan Malaysia bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Oleh itu, masyarakat non-muslim telah mengorak  langkah seterusnya dengan dibantu oleh NGO dan ahli politik non-muslim mendesak pihak kerajaan agar meminda Akta 164. Pindaan yang dituntut ialah, pertama, apabilah berlaku perceraian atas perkahwinan yang didaftarkan mengikut undang-undang sivil mestilah diselesaikan mengikut undang-undang sivil. Kedua, pertukaran agama anak-anak yang berumur bawah dari 18 tahun mestilah mendapat persetujuan daripada kedua-dua ibu dan bapa, tanpa persetujuan keduanya, maka agama anak kekal dengan agama yang asal. Dengan kata lain, pindaan tersebut bertujuan untuk menghalang seorang muallaf yang pasangannya masih kekal dengan agama asal daripada menukar agama anak-anak mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun kepada agama islam.

Selain itu, pindaan tersebut juga akan turut menjadi rujukan bagi menyelesaikan  beberapa isu perebutan penjagaan dan menentukan status agama anak yang menjadi pertikaian sebelum ini. Ini bermakna jika pindaan tersebut berjaya dilakukan, maka anak-anak yang masih berusia dibawah umur dan  telah diislamkan perlu ditukar semula ke agama asal ibubapanya sekiranya pertukaran agama tidak mendapat persetujuan daripada kedua-dua ibu dan bapa. Setelah mendapat sokongan daripada Perdana Menteri sendiri, proses pindaan tersebut telah pun berjalan dan sepatutnya diselesaikan prosesnya pindaannya dalam sidang parlimen baru-baru ini seperti yang telah dijanjikan oleh pihak kerajaan, namun atas tentangan daripada beberapa tokoh dan NGO Islam, proses pindaan tersebut telah ditangguhkan ke sidang parlimen akan datang.

Situasi ini menunjukkan bahawa perlindungan aqidah anak seorang muallaf di Malaysia adalah sangat rapuh. Perkembangan semasa terutamanya berkaitan dengan usaha untuk meminda akta 164 seharusnya dapat membuka mata umat Islam di Malaysia bahawa Perlembagaan Persekutuan sudah sememangnya daripada asasnya lagi tidak dapat menjaga atau melindungi aqidah anak-anak seorang muallaf. Oleh itu, adalah satu perkara yang sangat tidak munasabah bagi seorang muslim untuk meletakkan pengharapan dan kepercayaan kepada Perlembagaan Persekutuan ciptaan Lord Reid sebagai perisai untuk menjaga atau melindungi aqidah anak-anak seorang muallaf.

Sebaliknya, umat Islam wajib menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan dan panduan dalam mencari penyelesaian terhadapat isu ini. Dalam islam apabila berlaku perceraian disebabkan oleh salah seorang pasangan suami isteri memeluk agama Islam, maka ada dua perkara yang perlu dibincangkan mengenai hak penjagaan dan agama anak yang belum mencapai usia baliq iaitu hadhanah (pengasuhan) dan perwalian.

Berkenaan dengan hak pengasuhan, hukum-hakam islam menetapkan bahawa jika anak masih kecil dan memerlukan penyusuan maka hak pengasuhan adalah pada  ibunya, walaupun si ibu orang kafir. Manakala bagi anak yang belum balig dan tidak tahu untuk menguruskan dirinya sendiri, namun sudah dapat berfikir dan mampu membezakan kelakuan ibubapanya, maka anak itu diberi hak untuk memilih antara keduanya.

Abdul Hamid bin Ja’far meriwayatkan dari bapaknya, dari datuknya, yaitu Rafi’ bin Sinan, yang mengatakan bahwa ia telah masuk Islam, sedangkan istrinya menolak masuk Islam. Istrinya lalu datang kepada Nabi saw. dan berkata, “ Ini anak perempuanku. Ia telah disapih (berhenti susu) atau seumpamanya.’ Rafi’ berkata, ‘Ini adalah anak perempuanku.’ Nabi SAW lantas berkata kepada Rafi, ‘Duduklah di sebelah sana.’ Beliau juga berkata kepada si isterinya, ‘Duduklah di sebelah sana.’ Setelah itu, beliau meletakkan si anak di tengah-tengah di antara keduanya seraya berkata kepada keduanya, ‘Cuba panggillah anak ini oleh kalian berdua.’ Si anak ternyata condong kepada ibunya. Selanjutnya, Nabi SAW berdoa, ‘Ya Allah, berilah anak itu petunjuk.’ Setelah Nabi SAW berdoa, si anak pun kemudian condong kepada ayahnya sehingga diambillah ia oleh ayahnya itu. (HR Ahmad dan Abu Dawud).

Namun jika perceraian berlaku ketika ada anak pasangan tersebut telah melepasi tempoh hadhanah,maka yang berlaku keatas anak tersebut ialah hukum perwalian. Islam menetapkan dengan tegas bahawa perwalian adalah milik orang Islam. Dengan kata lain anak tersebut mesti diserahkan kepada orang Islam, hanya orang Islam sahaja yang berhak untuk menjaganya. Allah SWT berfirman:

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin.” (TQS an-Nisâ’ [4]: 141)

الإِسْلامُ يَعْلُو وَلا يُعْلَى

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.” (HR Ad-Daruquthni)

Begitulah secara umum bagimana Islam menyelesaikan pertikaian yang timbul terhadap pertikaian penjagaan anak-anak apabila berlaku perceraian disebabkan salah seorang pasangan suami isteri memeluk agama Islam. Namun, apa yang kita perhatikan dalam beberapa kes yang berlaku di Malaysia penyelesaian yang tunjukkan oleh ajaran Islam tidak dijadikan panduan atau rujukan utama dalam menyelesaikan masalah tersebut. Sebaliknya Perlembagaan Pesekutuan ciptaan Lord Reid yang menjadi rujukan tertinggi, manakala penyelesaian yang berasaskan Islam seperti Fatwa Kebangsaan dapat dilaksanakan jika ianya selari dengan peruntukan yang termaktup dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan kata lain, jika pindaan terhadap Akta 164, maka Fatwa Kebangsaan tersebut sudah tidak dapat digunakan lagi kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Asasnya ialah dalam pentadbiran Malaysia, Perlembagaan Persekutuan lebih tinggi daripada segala-galanya termasuklah Al-Quran dan As-Sunnah. Umat Islam hanya boleh mengamalkan ajaran yang terkandung dalam AL-Quran dan As-Sunnah sebatas yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Wahai kaum muslim, sedar dan bangkitlah daripada lena yang panjang. Kita mempunyai kewajipan yang besar untuk menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai undang-undang hidup bagi mengatur seluruh kehidupan manusia. Tanpa adanya penerapan undang-undang Islam secara kaffah, maka usaha untuk melindungi aqidah umat Islam tidak akan dapat bertahan lama daripada usaha berterusan yang dilakukan  oleh  orang kafir. Dan kita juga harus sedari bahawa udang-undang Islam tidak akan dapat diterapkan secara kaffah tanpa adanya Daulah Khilafah. Oleh, itu sudah menjadi kewajipan kepada kepada seluruh umat Islam diseluruh dunia untuk berusaha bersama-sama menegakkan kembali Daulah Khilafah.

Mus’ab
Pimpinan Pusat HTM