Aktiviti memancing dalam kalangan ahli politik – GPS makan umpan?

Sebut sahaja memancing, semua orang akan tahu bahawa ia memerlukan umpan. Umpan yang sememangnya digemari dan menarik, biasanya sudah pasti akan dapat menarik objek yang dipancing, tidak kiralah sama ada ikan, udang, sotong dan sebagainya. Begitulah juga dengan aktiviti memancing dalam politik. Untuk menarik objek yang ingin dipancing, sudah pasti umpan yang digunakan mestilah umpan yang digemari oleh mangsa. Wang ringgit, harta, jawatan, kemewahan dan bermacam-macam lagi, merupakan umpan politik yang hampir mustahil tidak dimakan oleh politikus dalam sistem demokrasi. Pemancing yang mempunyai joran dan umpan yang lebih banyak biasanya akan mendapat hasil pancingan yang lebih banyak, begitulah sifirnya.

Mengulas apabila ditanya oleh wartawan mengenai aktiviti memancing Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bersama blok yang satu lagi, Ketua Menteri Sarawak berkata, “Bagi saya isu jawatan Perdana Menteri perkara kedua penting. Apa yang kita perlukan sekarang ialah kerajaan yang stabil di peringkat Persekutuan. Yang kita fokuskan adalah urusan pembangunan negeri”.

Ya memang benar, pembangunan di negeri Sarawak sewajarnya menjadi fokus. Dalam masa yang sama, kenyataan ini “membuktikan” bahawa kerajaan selama ini, yang memerintah lebih daripada 60 tahun, masih gagal membawa pembangunan di negeri ini. Ya benar isu pembangunan merupakan sebahagian daripada urusan politik dan urusan politik bukan hanya terbatas kepada pemilihan pemimpin dan perebutan kuasa sahaja.

Malangnya sekarang, politik tanahair hanya disibukkan dengan permainan “nombor majoriti” dan permainan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri. Ini semua adalah permainan orang atasan yang tidak pernah menguntungkan rakyat di peringkat bawah. Dalam masa yang sama, permainan inilah yang telah menjadikan kerajaan tidak stabil, kerana kerajaan dan ahli-ahli politik hanya sibuk untuk merampas dan mempertahankan kuasa. Natijahnya, berlakulah aktiviti pancing-memancing, lompat-melompat, khianat-mengkhianati dan sebagainya dalam kalangan Ahli Parlimen atau ADUN demi mengejar manfaat peribadi atau manfaat parti, demi menjamin kelangsungan politik mereka, tanpa menghiraukan rakyat, yang realitinya merupakan mangsa kepada kerakusan mereka.

Cadangan untuk menjadikan wakil dari Borneo sebagai calon Perdana Menteri, walaupun dihias dengan pelbagai alasan yang menarik, realitinya hanyalah untuk menampal keretakan Parti Warisan di Sabah yang turut tidak terkecuali dalam permainan pancing-memancing dan lompat-melompat ini. Dalam pada itu, ia juga menjadi umpan kepada GPS. Cuma bezanya, percaturan politik GPS terus dipengaruhi bekas Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia. Sama ada GPS ingin melompat ke kiri atau ke kanan, ia sangat tergantung kepada beliau.

Tatkala Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal dijalankan pada bila-bila masa sekarang, GPS sudah tentu akan memastikan dirinya berada di dalam kubu yang paling bermanfaat untuk memenangi PRN kali ini. Di sinilah proses memancing memainkan peranan penting, apatah lagi dalam keadaan gelora politik yang tidak menentu sekarang ini. Perkembangan politik mutakhir di negeri yang terbesar di Malaysia ini menyaksikan banyak majlis pecah tanah untuk membina jambatan dan jalan-jalan telah diadakan. Masyarakat dapat menyaksikan “kerajinan” yang luar biasa para ADUN turun ke bendang-bendang, yang sanggup berkorban apa sahaja demi rakyat dan demi bertemu dengan rakyat. Semua ini merupakan petanda bahawa PRN sudah semakin dekat.

Sebagai Muslim, kita mesti ingat bahawa selagi kita tidak memahami politik dengan cara yang benar sebagaimana yang diajar oleh Islam, dan selagi kita tidak melibatkan diri dalam politik sesuai dengan ajaran Islam, maka selagi itulah kita akan terus menjadi bahan atau mangsa politikus sekular yang mementingkan diri dan parti masing-masing. Kita mesti ingat bahawa kebaikan dan kestabilan negara bukan hanya terletak kepada adanya seorang ketua kerajaan yang baik, tetapi sistem yang digunakan hendaklah sistem yang baik (Islam). Apatah lagi jika ketua kerajaan adalah buruk dan sistem yang digunakan bukannya sistem Islam, maka keburukan akan terus berleluasa. Permainan “nombor majoriti” dan juga perebutan kuasa yang kita saksikan sekarang ini merupakan natijah kepada politik sekular yang diamalkan yang menyerlahkan keburukan ahli politik dalam sistem demokrasi yang berasal dari Barat ini.

Kita wajib kembali kepada sistem yang datangnya daripada wahyu dan bukannya sistem yang datangnya daripada Barat yang cuba disolek dengan solekan yang indah bagi menyembunyikan segala kehodohannya. Sesungguhnya solekan itu tidak akan kekal lama dan lambat laun semakin terserlahlah wajah hodohnya sebagaimana kini yang dapat kita lihat hari demi hari.

Ir. Yusuf M.