Al-Liwa’ dan Ar-Rayah berkibar di Johor Bahru

PONTIAN, Johor 31 Mac 2013. Hizbut Tahrir cawangan Johor Bahru telah mengadakan Konvoi Al-Liwa’ & Ar-Rayah Jelajah Johor 2013 yang diadakan bersempena memperingati detik hitam kejatuhan Khilafah umat Islam pada 3 Mac 1924. Perarakan kenderaan sambil membawa bendera dan panji Islam ini dianjurkan bertujuan untuk mengingatkan umat tentang bendera sebenar umat Islam yang wajib untuk dikibarkan, dan bukannya bendera-bendera negara bangsa assabiyah yang kecil, berpecah-belah dan serba lemah ini. Sejak kejatuhan Khilafah, bendera dan panji Islam ini bukan sahaja tidak lagi dikibarkan, malah ia langsung tidak dikenali lagi oleh kebanyakan generasi baru Muslim pada hari ini.
 
Dengan ketiadaan Khilafah sebagai kuasa dunia yang mengibarkan bendera dan panji Islam ini telah menyebabkan dunia menyaksikan pembunuhan dan penghinaan ke atas kaum Muslimin berlaku pada setiap saat dari setiap sudut tanpa sebarang pembelaan. Hizbut Tahrir ingin mengingatkan bahawa hanya Khilafah sahajalah satu-satunya institusi politik tunggal agung yang syar’ie yang mampu untuk mengembalikan Islam dan kaum Muslimin ke puncak kegemilangan mereka sepertimana yang pernah dikecapi di sepanjang 1400 tahun yang lalu.

Konvoi ini juga ingin mengingatkan seluruh umat Islam di Malaysia secara umumnya, dan di Johor Bahru khususnya, di saat mereka sedang tenggelam dalam pesta demokrasi menjelang PRU ke-13, mereka sebenarnya tidak sedar bahawa mereka membawa bendera dan panji yang memanifestasikan ideologi-ideologi yang memecah-belahkan mereka. Bendera dan panji Rasulullah saw yakni Al-Liwa’ dan Ar-Rayah yang dikibarkan dalam konvoi ini bertujuan untuk mengingatkan umat Islam di sini bahawa akidah mereka adalah satu, Tuhan mereka adalah satu, Rasul mereka adalah satu, kitab mereka adalah satu, kiblat mereka adalah satu, bendera mereka adalah satu, perjuangan mereka adalah satu dan mereka adalah umat yang satu.

Alhamdulillah, konvoi yang dijalankan telah berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang amat baik di kalangan penduduk tempatan apabila ada umat yang datang dan berkenalan serta bertanyakan tentang tujuan konvoi tersebut diadakan. Malah ada yang sangat terharu dengan kibaran bendera Rasulullah ini dan mendoakan agar dakwah Hizbut Tahrir mencapai kejayaan.
 

[youtube:http://www.youtube.com/watch?v=YeIuVm2pXXs&feature=share]