Al-Quran bakal tersimpan di hotel
Sebagai permulaan naskhah al-Quran tersebut akan ditempatkan di hotel-hotel bertaraf lima bintang, ujarnya. Katanya lagi, usaha penyebaran dakwah kepada penginap hotel itu telah mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia (MAH).
”Pendekatan sebegini bertujuan menyebarkan ajaran Islam kepada para pelancong untuk membolehkan mereka memahami dan mengkaji isi kandungan Islam itu sendiri. Jika selama ini kita tahu adanya kitab Injil diletakkan dalam bilik hotel, apa usaha kita pula untuk menempatkan al-Quran untuk memberi informasi kepada mereka bahawa Islam menganjurkan keamanan bukan keganasan,” katanya.
Sekali imbas memanglah bagus usaha dakwah yang cuba dijalankan oleh kerajaan ini. Namun persoalannya efektifkah bentuk dakwah begini? Bagaimana dengan suasana sekitaran yang langsung tidak mengikut Al-Quran, bahkan di hotel itu sendiri seperti hidangan arak, hiburan yang menggaulkan lelaki-wanita ajnabi, peluang-peluang zina dan sebagainya? Bagi mereka yang pernah ke hotel, apatah lagi hotel lima bintang, semua orang akan tahu bahawa pelbagai jenis arak biasanya sudah sedia tersimpan di dalam setiap bilik hotel. Amat pelik sebuah negara Islam Hadhari yang cuba meletakkan Al-Quran di dalam laci bilik hotel yang mana di dalam peti sejuk di sebelah laci tersebut dipenuhi arak yang mahal-mahal.
Kenapa tidak ada ‘usaha dakwah’ untuk membersihkan hotel dari arak, supaya pelancong yang datang ke Malaysia tahu bahawa Malaysia berpegang teguh dengan Islam dengan tidak membenarkan arak dihidangkan secara terbuka di hotel-hotel. Kenapa tidak ada usaha dakwah yang sebenar untuk menghapuskan hiburan, night club atau apa sahaja aktiviti maksiat yang selama ini dibenarkan di hotel-hotel, namun diwujudkan pula ‘usaha dakwah’ untuk meletakkan Al-Quran di dalam keadaan tersimpan kemas di dalam laci-laci dengan tujuan agar pelancong-pelancong ini mengenal Islam?
Sesungguhnya Al-Quran merupakan risalah dari Allah Azza wa Jalla kepada umat manusia sebagai panduan hidup. Ia mengandungi peraturan hidup yang lengkap bagi seluruh umat manusia, bukan sekadar kaum Muslimin. Bagi umat Islam, Al-Quran wajib diimani terlebih dahulu sebelum setiap ajarannya difahami, di amal dan disebar-luaskan. Al-Quran bukan sekadar tulisan atau bahan bacaan seperti yang difahami oleh golongan kafir dan sekular, bahkan ia tidak setaraf Injil (apatah lagi sesudah ia diubahsuai oleh tangan-tangan kafir), malah penurunan Al-Quran itu sendiri telah mengalahkan/menghapuskan semua ajaran yang terkandung di dalam kitab selainnya. Firman Allah,
“Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengatasi kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran…” [TMQ al-Ma’idah (5):48]
Penurunan Al-Quran adalah untuk umat manusia berhukum dengannya, tidak kira Muslim mahupun kafir. Dalam sebuah Negara Islam, hukum Al-Quran bukan sahaja wajib dilaksanakan ke atas orang-orang Islam malah wajib dilaksanakan ke atas orang kafir sekalipun. Ajaran Islam yang terkandung di dalam Al-Quran wajib dizahirkan di dalam kehidupan individu, masyarakat mahupun negara. Barulah ia menunjukkan izzah (kemuliaan) Islam dan umatnya. Sekali gus, Al-Quran itu mampu merubah dunia dan mengajak manusia memeluk deen suci ini dan menjadi adidaya dunia menggantikan ideologi-ideologi/agama-agama rosak yang wujud tatkala ini.
Usaha untuk mencetak 50,000 Al-Quran amatlah bagus namun motifnya hendaklah selari dengan ajaran Al-Quran itu sendiri yakni mestilah agar segala isi kandungannya dipelajari, difahami, diamalkan dan disebar luaskan, bukan hanya sekadar untuk ‘disimpan’ kemas dihotel namun ajarannya ‘dibuang’. Janganlah hendaknya ada motif lain dari itu, apatah lagi jika ada motif untuk memberi kekayaan kepada syarikat yang bakal mencetaknya atau hanya untuk ‘menunjukkan’ bahawa Malaysia adalah sebuah kerajaan Islam kerana Al-Quran berjaya telah diletakkan di hotel-hotel setelah lebih 50 tahun merdeka!