Ambil demokrasi, selamanya parti Islam menjadi mangsa
Lihatlah apa yang berlaku kepada FIS di Algeria, Refah di Turki, Ikhwanul Muslimin di Mesir dan tidak terkecuali PAS di Malaysia. Kini sekali lagi kita dapat menyaksikan bagaimana Ikhwanul Muslimin di Mesir dijadikan mangsa. Selepas presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi di jadikan ‘santapan enak’, kini parti Islam Ikhwanul Muslimin pula menerima nasib yang sama. Ikhwanul Muslimin kini dicop sebagai pengganas, walhal ia merupakan parti yang menang melalui proses demokrasi! Begitulah nasib parti Islam yang percayakan demokrasi dan menganggap bahawa demokrasi adalah yang terbaik dan merasakan yang demokrasi akan menyebelahi mereka. Sudahnya, ia berakhir dengan tragedi demi tragedi. Begitulah apa yang telah terjadi kepada FIS di Algeria dan nasib lebih kurang sama menimpa PAS di Malaysia. Namun sayangnya, parti-parti Islam ini masih belum sedar-sedar yang mereka hanya dipermainkan oleh demokrasi!
Ambillah iktibar wahai para pejuang Islam pencinta demokrasi! Sedarlah bahawa demokrasi bukanlah jalan untuk menerapkan Islam. Memang benar demokrasi boleh memberikan jalan untuk ahli-ahli gerakan Islam menang pilihan raya, malah sampai ke tahap menjadi Presiden sekalipun. Namun, lihatlah (bekas) Presiden Mursi, yang bukan sahaja tidak dapat menerapkan Islam, malah telah menjadi ‘punching bag’ kepada demokrasi! Lihatlah berapa ramai Ahli Yang Berhormat dari parti Islam di Malaysia yang ternyata telah menang pilihan raya, namun hakikatnya Islam tetap tidak dapat diterapkan. Lebih buruk, parti Islam sebenarnya terus tenggelam dalam arus sekular bawaan demokrasi!
Untuk itu, wahai seluruh pejuang Islam, campakkanlah demokrasi. Demokrasi bukan sahaja sistem kufur, malah telah terbukti gagal dan membawa pelbagai malapetaka. Ambillah thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam menegakkan sebuah Negara Islam dan jangan kalian ambil jalan demokrasi yang ditunjukkan musuh Allah. Thariqah Rasulullah SAW adalah satu-satunya thariqah yang benar dan satu-satunya jalan untuk merealisasikan cita-cita bagi melihat Islam itu berkuasa dan dapat diterapkan di tengah-tengah kehidupan. Sedarlah bahawa demokrasi itu sudah basi dan hanya Khilafah satu-satunya solusi.