Amerika Dan Israel Bagai Aur dan Tebing

Sesuatu yang tidak mengejutkan apabila Amerika membekalkan senjata kepada Israel dalam menjayakan misi negara haram tersebut untuk terus membunuh umat Islam di Gaza. Umum telah lama mengetahui bahawa Amerika adalah ‘bapa angkat’ kepada Israel yang mana ia pasti akan memastikan keselamatan anak angkat haramnya akan tetap terjaga dan terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman daripada musuh-musuhnya, khususnya umat Islam. Inilah wajah hipokrit sebenar Amerika. Malangnya para pemimpin umat Islam masih lagi terus membisukan mulut-mulut mereka, memekakkan telinga-telinga mereka dan terus membutakan mata-mata mereka terhadap nasib dan keadaan umat Islam di Palestin. Erdogan sekadar berkabung dengan memerintahkan agar bendera Turki diturunkan separuh tiang. Najib pula meminta agar segera dilakukan gencatan senjata sedangkan sudah terbukti bahawa Israel adalah negara yang tidak pernah menepati janji, apatah lagi untuk memenuhi sebarang bentuk gencatan senjata yang dipersetujui. Mesir di bawah pimpinan pemimpin sekular As-Sisi terus menutup pintu sempadan Rafah. PBB yang kononnya sebagai sebuah pertubuhan dunia yang diharapkan untuk menyelesaikan sebarang konflik yang berlaku di dunia ini hanya sekadar mampu mengutuk tindakan kejam yang dilakukan oleh Israel tersebut. Resolusi ‘main-main’ yang diusulkan oleh PBB untuk mengutuk  tindakan kejam Israel dikatakan telah ditolak oleh Amerika dengan menggunakan kuasa vetonya.

Apa yang menjadi persoalan besar di sini adalah jika Amerika mampu dan sanggup untuk membekalkan senjatanya bagi membantu Israel dalam operasi pembunuhan besar-besaran ini, maka mengapakah para pemimpin umat Islam yang juga memiliki kelengkapan persenjataan yang lengkap dan tentera yang ramai hanya diam membisu tanpa ada sebarang tindakan fizikal dalam mempertahankan nyawa dan tanah umat Islam di sana? Mengapakah para pemimpin umat Islam tidak mampu dan sanggup untuk melakukan perkara yang sama sepertimana para musuh mereka lakukan? Umat Islam di Palestin dibiarkan berjuang bersendirian tanpa ada sebarang bantuan daripada para tentera umat Islam yang lain. Apakah perasaan para pemimpin umat Islam ini langsung tidak tersentuh dan terpanggil sedikit pun tatkala melihat ratusan umat Islam dibunuh setiap hari tanpa adanya pembelaan daripada tentera-tentera kaum Muslimin? Di manakah hilangnya aqidah para pemimpin umat Islam ini? Jika dahulu kita boleh berbangga dengan kisah keberanian Khalifah Muktasim yang menggerakkan bala tentera Islam untuk membela kehormatan seorang muslimah yang telah dicabul oleh kaum kafir pada ketika itu, tetapi kini peristiwa tersebut hanya menjadi titipan sejarah yang berlalu begitu sahaja. Hakikatnya kesemua para pemimpin umat Islam pada hari ini terutamanya mereka yang berpegang teguh dengan sistem kufur demokrasi sudah dihinggapi dengan penyakit wahn, yakni cinta kepada dunia dan takut kepada mati. Walhal syarak dengan jelas lagi nyata telah meletakkan bahawa keberadaan dan kewajipan seorang pemimpin itu adalah sebagai perisai yang berfungsi untuk melindungi umat yang berada di belakangnya. Sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya Imam/Khalifah itu merupakan perisai, di belakanganya umat berperang dan dengannya umat berlindung.” [HR Muslim].

Dengan apa yang berlaku di Gaza saat ini, sudah terpampang menjadi bukti yang nyata bahawa para pemimpin di seluruh dunia umat Islam pada hari ini bukan sahaja bacul dan tidak berperikemanusiaan, bahkan mereka adalah pengkhianat utama kepada Islam dan umatnya. Kita sudah sama sekali tidak boleh meletakkan sebarang harapan kepada mereka untuk membela Islam dan umatnya. Sudah sampai masanya untuk umat Islam bergerak segera bagi menegakkan kembali Daulah Khilafah kerana inilah satu-satunya solusi sebenar bagi Palestin yang paling tuntas.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/global/as-bekal-senjata-untuk-israel-1.303888