“Ancaman” DAP kerana demokrasi!

dapKebimbangan parti Islam terhadap keupayaan DAP iaitu parti yang didominasi oleh kaum Cina menguasai pemerintahan negara menunjukkan betapa demokrasi di Malaysia bukan sahaja membolehkan, malah memungkinkan orang-orang kafir naik ke tampuk pemerintahan dan menguasai orang-orang Islam. Justeru, umat Islam seharusnya sudah lama sedar dalam melihat dan merasai racun yang dibawa oleh sistem kufur ini.

Malangnya parti Islam yang bergelumang dalam demokrasi masih tidak dapat melihat jerat yang ada dalam demokrasi ini. Dalam satu masa mereka tidak mahu kaum non-Muslim berkuasa, tapi dalam masa yang sama merekalah yang selama ini bertahaluf dengan non-Muslim dan bersetuju untuk berkongsi kuasa dengan kaum kafir itu. Merekalah yang mengundi non-Muslim dalam pilihan raya sebagai rakan tahaluf mereka. Malah mereka menyuruh kesemua ahli mereka dan rakyat mengundi non-Muslim tersebut yang bersekutu dengan mereka semasa pilihan raya! Kini, setelah tahaluf mereka dibubarkan, mereka menganggap non-Muslim ini sebagai “musuh” yang perlu diperangi, bukan lagi untuk didakwahi.

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, mereka kononnya berpegang teguh dengan demokrasi, tetapi dalam masa yang sama mereka cuba menyekat kemaraan parti non-Muslim yang mematuhi segala lunas demokrasi! Sepatutnya sebagai pejuang demokrasi, mereka bersama-sama bersaing secara sihat dengan kaum non-Muslim yang juga merupakan pejuang demokrasi!

Sungguh menyedihkan apabila pemimpin dan pengikut parti Islam yang taksub masih tidak dapat melihat racun demokrasi yang ditanam oleh Barat ini.

Perjuangan DAP setakat ini dilihat sebagai “patuh demokrasi” dan mereka tidak melangkaui sistem yang mereka puja ini. Untuk itu, pelbagai cara mereka gunakan bagi merealisasikan agenda mereka, sesuai dengan peruntukan demokrasi. Justeru, secara logiknya, parti Islam yang berjuang dalam demokrasi dapat menerima hakikat ini dan berlapang dada serta tidak perlu bimbang dengan kemaraan parti non-Muslim ke tampuk pemerintahan. Mereka tidak sepatutnya merasa terancam selama mana setiap parti masih mematuhi lunas-lunas demokrasi.

Jika semasa tahaluf dulu mereka sedikit pun tidak merasa terancam, malah mengharapkan parti-parti tahaluf bersama-sama melangkah ke Putrajaya, kenapa pula kini mereka merasa terancam, sedangkan pendirian parti non-Muslim itu tetap tidak berubah sejak dulu hingga kini?

Inilah masalahnya apabila sistem kufur demokrasi dijadikan sebagai pegangan, tetapi dalam masa yang sama mereka mahukan Islam. Mereka gagal memisahkan di antara keduanya. Justeru, mereka mengahwinkan demokrasi dengan Islam dengan mengharapkan kemenangan Islam dan keredhaan Allah SWT daripada perkahwinan haram itu. Akhirnya, mereka bukan sahaja gagal, malah berkali-kali gagal dan tetap sanggup mengulangi kegagalan demi kegagalan. Tetapi mereka masih tetap mahu mencampurkan minyak dan air dan mengharap keduanya akan bercampur!!!

Islam tidak pernah mengharamkan kaum Cina menjadi pemerintah, dengan syarat mereka adalah Muslim! Islam tidak mengenal batas-batas assabiyyah dalam pemerintahan negara. Syarat untuk menjadi pemerintah adalah Muslim, tanpa mengira asal-usul, tempat, bangsa atau keturunan seseorang itu, kerana faktor yang diambil kira hanyalah agamanya, bukan bangsanya.

Rasulullah SAW berketurunan Quraisy dan berasal dari Mekah tetapi baginda menduduki jawatan ketua Negara Islam di Madinah, dalam keadaan masyarakat Arab waktu itu berpegang kuat kepada perkauman. Begitu juga dengan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali (radhiallahu anhum), yang kesemuanya berasal dari Mekah, tetapi mereka menjadi ketua negara di Madinah yang bukan merupakan negeri asal mereka dan memerintah orang yang tidak seketurunan dengan mereka. Inilah ajaran Islam yang mulia.

Jika perpecahan yang berlaku dalam pakatan politik di Malaysia pada hari ini adalah kerana faktor bangsa, yakni kerana Melayu ingin mempertahankan Melayu dan mahukan ketuanan Melayu dan begitulah juga dengan bangsa-bangsa lain, maka ini bermakna mereka mengamalkan fahaman assabiyyah yang diharamkan oleh Islam.

Apa yang jelas, assabiyyah memang tumbuh subur dalam negara demokrasi, kerana demokrasi membenarkan perjuangan assabiyyah, sebagaimana demokrasi membenarkan orang-orang kafir menjadi pemerintah dan menguasai orang-orang Islam.

Sedarlah wahai para pejuang Islam sekalian. Sesungguhnya demokrasi itu berbeza dengan Islam dan sesungguhnya haram untuk mengambil, menerapkan dan menyebarluaskan demokrasi. Islam itu adalah agama yang sempurna dan demokrasi itu merupakan sistem yang rosak, gagal dan haram. Tinggalkanlah demokrasi dan jadikan Islam, Islam semata-mata sebagai perjuangan dan cara hidup kita. Insya Allah, Allah akan pasti menurunkan kemenanganNya kepada para pejuang Islam dan bukannya kepada para pejuang demokrasi!