Ancaman Tidak Hanya Datang Dari Pluralisme

pluralisme-utusanPluralisme ancaman baru

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Fahaman pluralisme kini muncul sebagai ancaman terbaru di kalangan umat Islam di negara ini dan justeru mereka wajib menghindarkannya kerana ia jelas bertentangan dengan akidah serta syariat Islam.  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi mengekang pengaruhnya beliau mahu para ulama, guru-guru agama, pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama-sama bertanggungjawab menyedarkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan fahaman itu.  Beliau berkata, hakikatnya Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana agama yang benar di sisi Allah hanya Islam sahaja. 

”Apatah lagi sekiranya ada umat Islam yang membawa fahaman pluralisme. Perkara-perkara seperti ini mesti kita betulkan. Kita boleh hormat agama lain kita jangan hina agama lain.  ”Namun dari segi akidahnya dan dari segi kebenarannya di sisi Allah tidak boleh disamakan dengan agama Islam,” katanya ketika berucap pada merasmikan Multaqa Guru Takmir seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.  Najib berkata, selain fahaman pluralisme umat Islam turut terdedah dengan pengaruh liberalisme serta hindonisme yang jika dibiarkan boleh menyebabkan mereka terpesong daripada syariat serta akidah Islam.  ”Mahu tidak semua pihak termasuk ulama, guru-guru agama serta guru-guru takmir menegakkan kebenaran agama dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.  Dalam sidang akhbarnya selepas itu Najib sekali lagi menegaskan, semua pihak perlu menghormati agama-agama lain sama ada dari segi haknya atau dari segi undang-undang menurut Perlembagaan Persekutuan.  ”Namun begitu ia tidak boleh sama dari segi akidah. Jangan ada salah faham. Nanti ada orang akan salah faham bahawa saya merendahkan kedudukan agama lain, tidak.  ”Saya cuma mahu bezakan dari segi akidah kerana fahaman pluralisme ini adalah salah dari segi agama Islam dan itu fakta yang saya hendak jelaskan,” katanya.  Ketika ditanya sejauh mana seriusnya pengaruh fahaman itu di Malaysia, beliau berkata, fahaman itu perlu segera dibendung.  ”Jika kita tidak berbuat sesuatu ia boleh merebak. Pada peringkat sekarang ia masih terbatas cuma di kalangan pihak tertentu sahaja. Sesuatu (tindakan) perlu dilakukan kerana fahaman ini boleh mengeliru dan menyesatkan umat Islam,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 18/02/11

Pluralisme ancaman baru! Bagaimana pula dengan ancaman-ancaman sekularisme, nasionalisme, demokrasi, kapitalisme dan liberalisme?

Najib kononnya  seolah-olah prihatin dengan keadaan Islam dan umat Islam apabila mengingatkan mereka akan bahayanya ancaman pluralisme. Tetapi apakah beliau sedar atau tidak ataupun sengaja buat-buat tidak sedar dengan fahaman-fahaman bahaya lain seperti sekularisme, nationalisme, demokrasi, kapitalisme dan sebagainya yang juga merupakan pemikiran-pemikiran kufur yang turut berkembang di kalangan umat Islam hari ini? Bukankah fahaman-fahaman seperti sekularisme, nationalisme, demokrasi, kapitalisme, liberalisme dan lain-lainnya telah digunapakai oleh beliau sendiri semenjak beliau memegang tampuk pemerintahan Malaysia? Dan bukankah beliau begitu taat dan patuh mewarisi dan menjaga dengan baiknya fahaman-fahaman tersebut dari pemimpin yang terdahulu?

Bukankah faktanya saat ini sistem pemerintahan yang diamalkan di Malaysia adalah sistem kufur demokrasi di mana manusia mengambil hak Allah SWT sebagai musyarri’ (pembuat hukum)? Bukankah ikatan yang digunapakai untuk mengikat sesama umat dan masyarakat di Malaysia adalah ikatan nationalisme dan patriotisme? Dan pemikiran yang dominan yang berkembang dengan meluasnya di kalangan umat Islam khususnya adalah pemikiran sekular iaitu suatu pemahaman yang memisahkan agama dari kehidupan? Bukankah sistem ekonomi yang dijalankan oleh Najib selaku orang yang paling berkuasa saat ini adalah sistem ekonomi kapitalisme sementara gaya hidup yang disuburkan oleh pemerintah hari ini adalah gaya hidup yang bersifat liberal dan hedonis? Bukankah kesemua ini juga merupakan ancaman bagi umat Islam? Maka apakah situasi ini juga tidak dilihat oleh beliau sebagai perkara yang bahaya bagi umat Islam?

Wahai Najib! Kesemua fahaman kufur samada namanya pluralisme, sekularisme, nationalisme, demokrasi atau kapitalisme adalah berhala-berhala moden yang wajib kamu tinggalkan. Jika di zaman jahiliyyah dahulu masyarakat Arab  menyembah al-Latta, al-Uzza, Manaath dan lain-lainnya, kini ‘berhala-berhala’ moden dalam bentuk pemikiran seperti yang disebutkan di atas, yang hakikatnya adalah juga merupakan produk dari akal dan pemikiran manusia, adalah sama seperti berhala-berhala di zaman jahiliyyah. Kedua-duanya lahir dan dihasilkan dari produk ciptaan manusia itu sendiri. Kerana itulah Allah SWT mengaitkan persoalan jahiliyyah ini dengan persoalan hukum dan pemerintahan sepertimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran: “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah. [TMQ al-Maidah (5) : 50].

Untuk itu adalah sewajarnya Najib menyeru seluruh umat Islam terutama dirinya sendiri agar meninggalkan berhala-berhala moden ini dan merangkul Islam sebagai satu-satunya rujukan dalam setiap aspek kehidupan.
Lihat: SN205 – AGAMA BARU ITU BERNAMA PLURALISME! &  SN062 – PLURALISME AGAMA – Jerat Makan Tuan