Syabab Hizbut Tahrir yang diarahkan ke JAINJ masih belum dilepaskan

Johor Bahru 2 November – Seorang anggota Hizbut Tahrir, Luqman Rosdidi yang hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pagi semalam, sampai ke waktu berita ini ditulis (jam 8.15 pagi), masih belum “dilepaskan” oleh pihak JAINJ. Beliau dipercayai telah ditahan semasa memberi keterangan, tetapi belum dapat dipastikan atas kesalahan apa.

Beliau yang pada asalnya mendapat notis arahan dari JAINJ untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasaan JAINJ untuk memberi keterangan sebagai saksi di bawah Seksyen 58 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997, tetapi petang semalam telah dibawa secara paksa ke rumah beliau oleh pihak JAINJ di mana mereka (JAINJ) telah bertindak menggeledah rumah beliau dan merampas beberapa barangan. Beliau kemudian dibawa semula ke JAINJ untuk disambung siasatan, dan sehingga kini masih belum diketahui apa yang berlaku ke atasnya.

Difahamkan terdapat waran geledah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah untuk proses penggeledahan tersebut. Setakat maklumat yang diterima, antara barangan yang dirampas dari rumah beliau petang semalam ialah sebuah laptop, beberapa buah buku, baju dan sticker.

Maklumat lanjut akan menyusul insya Allah..