Syabab Hizbut Tahrir sah ditahan JAINJ, dan telah dilepaskan

JOHOR BAHRU 3 November – Seorang syabab Hizbut Tahrir, Luqman Rosdidi yang diambil keterangan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada hari ahad lepas (01/11/2020), sah ditahan oleh pihak berkuasa agama negeri itu. Penahanan beliau berlaku sekitar jam 6.10 petang pada hari ahad tersebut, dan beliau telah bermalam di lokap JAINJ sehinggalah dibebaskan sekitar jam 11.50 pagi semalam.

Sebelum diisytihar ditangkap, pegawai penguatkuasa JAINJ telah pun terlebih dahulu memasukkan beliau ke dalam lokap iaitu sekitar jam 10.50 pagi pada hari ahad, sedangkan pengisytiharan tangkapan beliau dibuat oleh pegawai berkenaan sekitar jam 6.10 petang hari yang sama. Ini merupakan satu tindakan yang jelas menyalahi undang-undang.

Setelah lebih kurang sejam dimasukkan ke dalam lokap, beliau dikeluarkan dan dibawa ke tempat letak kereta di mana pegawai JAINJ telah menggeledah kereta beliau, tetapi tidak menjumpai apa-apa yang mereka mahukan. Semasa penggeledahan ini, tidak ada apa-apa waran geledah yang ditunjukkan oleh mereka.

Luqman kemudiannya dibawa secara paksa balik ke rumahnya di mana penggeledahan telah dilakukan di rumah beliau dan beberapa barangan telah dirampas antaranya sebuah laptop, lima buah buku, 2 helai baju, beberapa keping pelekat dan satu borang kaji selidik.

Beliau kemudian dibawa kembali ke ibu pejabat JAINJ untuk disambung soal siasat sehinggalah ke jam 6.i0 petang di mana beliau diisytiharkan ditahan oleh pegawai penguatkuasa JAINJ. Beliau ditahan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 iaitu kesalahan menghina pihak berkuasa agama.

Esoknya (Isnin) soal siasat ke atas beliau disambung lagi sehinggalah ke jam 11.50 pagi apabila beliau dibebaskan dengan jaminan pegawai penguatkuasa JAINJ. Beliau diminta untuk datang semula ke JAINJ bagi menyambung siasatan dalam masa sebulan.

Apa yang pasti, tahanan dan siasatan ke atas beliau adalah terkait dengan fatwa fitnah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Johor ke atas Hizbut Tahrir.