Antara Bot Rohingya dan Kapal Perang China, Mana yang Lebih Bahaya?

Dalam kekalutan negara berperang dengan virus yang tidak kelihatan dengan mata kasar serta di saat berada di penghulu kepada segala bulan yang amalan baik di bulan ini dilipat gandakan ganjarannya, umat Islam di Malaysia berbalah sesama sendiri kerana isu pelarian Rohingya. Bukan setakat caci-maki dan ejekan yang dilontarkan kepada saudara seakidah ini, tetapi ancaman pengusiran serta segala ugutan turut mereka terima.

Cerita bermula apabila diberitakan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia telah menghalang serta menghalau bot yang sarat dengan pelarian Rohingya untuk mendarat di Malaysia. Ramai yang memuji tindakan ini dengan alasan pelarian Rohingya ini sudah cukup ramai di Malaysia, serta juga alasan seperti ia bakal menularkan Covid-19 di negara ini jika mereka ini diterima masuk dan menjejak kaki di bumi Malaysia.

Namun dalam masa yang sama, sedar atau tidak, pada awal minggu ini kapal-kapal perang China serta kapal eksplorasi mereka sudah berada kira-kira 180 batu nautika dari pantai Malaysia. Provokasi mereka bukannya setakat itu sahaja, mereka turut mengeluarkan notis penamaan serta menyatakan koordinat terhadap 80 pulau, terumbu, dasar laut, beting dan rabung di mana 55 daripadanya berada di dasar Laut China Selatan yang sebenarnya masih menjadi tuntutan beberapa negara tetangga.

Kapal perang dan eksplorasi China ini tidak diambil apa-apa tindakan, tetapi bot yang sarat dengan Muslim Rohingya yang tidak memiliki apa-apa bahaya lebih menarik perhatian. Padahal bot yang membawa pelarian Rohingya itu bukanlah tindakan pencerobohan sebuah ‘negara asing’ ke perairan Malaysia. Ia hanya membawa ratusan pelarian yang tidak bermaya yang bersabung nyawa mencari tempat perlindungan.

Kecaman ke atas pelarian Rohingya ini semakin panas apabila sekelompok puak yang asal dulunya turut merupakan pendatang ke Tanah Melayu sudah mula bersuara. Dahulu, tatkala ada di antara mereka ini datang ke Tanah Melayu sebagai tukang kayu berbekalkan hanya kasut buruk dari Tanah Besar, ternyata kemudian mampu menjadi antara manusia terkaya di Malaysia dengan empayar perniagaan terbesar, kerana “layanan” yang mereka terima daripada penguasa tanah ini juga. Kini, setelah mereka diberi kerakyatan dan hidup mewah di Malaysia, mereka pula mempersoalkan dan mengecam serta meminta penguasa tanah ini agar tidak menerima Rohingya yang disifatkan mereka sebagai “pendatang”!

Ada juga dulunya kaum yang datuk nenek moyang mereka datang ke Tanah Melayu dari sebuah anak benua dan bekerja di ladang-ladang getah. Tetapi sekarang anak cucunya yang sudah memiliki banyak kapal di udara dan juga kapal-kapal di lautan, turut mengecam dan mempersoalkan kaum lain yang kini ingin memasuki bumi Malaysia.

Adakah fakta ini masih belum mampu membuka mata semua pihak bahawa bumi Malaysia ini merupakan sebahagian daripada bumi Allah Yang Maha Kaya, yang diamanahkan kepada kaum Muslimin untuk menjaganya, dan bukan menjadi milik kaum tertentu secara mutlak!? Malah bumi ini turut meraikan kedatangan orang-orang kafir sekalipun yang ingin bernaung di bawahnya, asalkan mematuhi syariat-Nya.

Bagi Muslim yang sanggup menentang kemasukan pelarian Rohingya ini dan sanggup membiarkan mereka mati di tengah-tengah laut daripada memasuki negara ini, sungguh menyedihkan apabila hilang sudah segala sifat kemanusiaan dan ruh persaudaraan sesama Muslim yang disifatkan oleh Rasulullah (saw) umpama tubuh yang satu.

Sungguh jijik sikap dan seruan asobiyyah dan wathaniyyah, yang merupakan suatu yang sangat dicela oleh Nabi (saw). Di mana hilangnya persaudaraan Islam yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya?

Memang tidak dinafikan ada segelintir Rohingya yang membuat onar di Malaysia. Tetapi, adakah kerana seekor kerbau terpalit lumpur, maka yang lain pun terpalit sama? Bangsa Melayu memang terkenal dengan bangsa pemalas, inilah yang sering disebut-sebut. Adakah jika dikatakan seperti ini bermakna semua bangsa Melayu itu adalah pemalas? Bersifat adillah dan pandanglah Muslim Rohingya dengan pandangan Islam, bukan dengan pandangan assobiyyah dan wathaniyyah.

Berbalik kepada persoalan bot Rohingya dan kapal perang China, yang manakah yang lebih bahaya untuk negara ini? Apa yang paling bahaya ialah apabila rosaknya pemikiran yang ada pada suatu kaum. Apabila sudah rosak, pastinya kaum itu tidak akan mampu membezakan di antara kaca dan permata, di antara musuh dan saudara, di antara kebatilan dan kebenaran, dan di antara pahala dan dosa. Sesungguhnya pemikiran merupakan aset yang paling berharga bagi sesuatu kaum. Sekiranya pemikiran kaum tersebut sudah rosak, maka bukan hanya sifat dan ruh persaudaraan akan hilang, malahan sifat kemanusiaan pun boleh terbang entah ke mana.

Ir. Yusuf M