Antara BR1M dan Penyelesaian Islam
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pemberian BR1M daripada kerajaan merupakan suatu bentuk yang dapat meringankan beban bagi sesiapa sahaja yang menerimanya. Namun perlu difikirkan dengan saksama, adakah pemberian BR1M ini telah dan akan dapat menyelesaikan masalah ekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhannya? Jika dilihat daripada aspek pemberian BR1M itu sendiri, kita dapat melihat bahawa terdapat kecacatan dan ketidakadilannya. Misalnya, jika keperluan bagi sesebuah keluarga yang hanya mempunyai seorang anak adalah berjumlah RM500, maka ia sudah semestinya tidak sama dengan jumlah keperluan bagi sebuah keluarga yang mempunyai lima orang anak. Ini jika dilihat dari satu aspek yang paling asas. Daripada aspek yang lain, jumlah pendapatan isi rumah yang berjumlah RM3000 sudah tentu berbeza dengan yang berpendapatan RM900 dari segi tahap kesusahan dan keperluannya dan ia tidak cukup dengan wang RM500. Hakikatnya, pemberian RM500 itu sebenarnya masih tidak mencukupi bagi sesiapa yang menerimanya untuk menjalankan kehidupan sehari-hari dengan melihat kepada aspek peningkatan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat tanpa kesudahan.
Pada faktanya, pemberian BR1M semata-mata tidak akan dapat menyelesaikan masalah ekonomi rakyat yang miskin dan dalam kesusahan. Ini adalah kerana Malaysia masih menerapkan sistem kapitalis yang serba pincang dan rosak. Dominasi para pemilik modal di dalam sistem kapitalis masih tetap menguasai ekonomi negara dan memonopoli segala hasil kekayaan negara. Yang kaya akan menjadi semakin kaya dan yang miskin akan tetap miskin serta terus tertindas di dalam sistem kapitalis. Itulah realiti yang bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi di seluruh dunia yang mengamalkannya.
Berbeza dengan penerapan sistem Islam, ia akan mendatangkan kesejahteraan dalam semua aspek jika diterapkan secara kaffah di dalam kehidupan dan negara. Pendapatan bagi sebuah Daulah Islam tidak boleh bersumber daripada sumber-sumber yang haram seperti kutipan cukai dan riba sepertimana yang diamalkan oleh sistem kapitalis pada hari ini. Terdapat banyak sumber-sumber pendapatan bagi sebuah Negara Islam yang telah digariskan oleh syariat dalam menjana pendapatan Negara Islam. (Baca artikel lengkap berkenaannya di dalam SN Edisi 279 : PENDAPATAN DAN PERBELANJAAN DALAM NEGARA ISLAM)
Justeru, umat harus sedar bahawa pemberian BR1M oleh kerajaan Barisan Nasional ini bukanlah penyelesaian bagi permasalahan ekonomi yang menimpa mereka. Pemberian BR1M sebenarnya menunjukkan dengan jelas kepada kita tentang kecacatan dan kepincangan negara sebagai pengusung ideologi kapitalis dalam menyelesaikan masalah ekonomi rakyatnya.
“Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Akan tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan seksa kepada mereka disebabkan apa yang mereka telah kerjakan”. [TMQ al-A’raf (7): 96].
Sumber Berita: Utusan Malaysia, 24/1/13